OLEH FAHMI FADZIL
Semalam dalam program sambutan ulang tahun ke-50 Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) mengumumkan peruntukan segera RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM yang berperanan menjaga kebajikan warga badan itu.
Peruntukan segera RM5 juta ini dibuat selang beberapa hari selepas
Najib mengumumkan yang beliau telah menyerahkan senarai sebahagian calon
BN untuk Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) untuk disaring SPRM.
Peruntukan segera ini juga dibuat pada ketika Jabatan Peguam Negara
belum lagi menerima kertas siasatan SPRM berkenaan RM
42 juta wang SRC
International Bhd yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Malah pembongkaran ketua pembangkang minggu lalu terhadap jumlah kompaun RM115.8 juta
yang dikenakan Bank Negara Malaysia terhadap entiti-entiti berkait
skandal mega 1Malaysia Development Bhd (1MDB) turut melibatkan Najib.
Ini kerana pada ketika kesalahan tersebut berlaku, Najib merupakan
Perdana Menteri yang perlu memberi kebenaran bertulis kepada sebarang
komitmen kewangan (termasuk pelaburan) berdasarkan Artikel 117
Memorandum & Artikel Pertubuhan 1MDB pada yang terpakai pada ketika
itu.
Mengambil kira perkara-perkara ini, dan mengambil kira SPRM akan
membuat saringan tidak wajib terhadap calon BN di mana Najib adalah
pengerusi dan juga salah seorang calon, peruntukan segera RM5 juta
kepada Yayasan Prihatin SPRM ini bakal mengundang pelbagai spekulasi
tidak sihat di kalangan orang ramai.
Malah sukar mengelak kemungkinan peruntukan segera ini dilihat sebagai suatu hadiah atau derma yang mungkin bermotif politik.
Justeru untuk mengelak spekulasi atau persepsi tidak sihat, SPRM
wajar mengambil pendirian moral yang jelas dan memulangkan 'derma' RM5
juta ini kepada pihak kerajaan.
Dengan memulangkan wang ini, SPRM akan menjadi contoh terbaik kepada
rakyat Malaysia bahawa bukan sahaja rasuah yang perlu ditolak, malah
sebarang hadiah atau derma yang mungkin dilihat sebagai rasuah juga
perlu ditolak.
Pada masa sama, saya berharap anggota parlimen pembangkang dan juga
kerajaan akan mengambil maklum isu peruntukan serta kebajikan SPRM ini,
dan membahasnya pada sidang akan datang.
Parlimen sebagai badan perundangan merupakan forum terbaik untuk
mengumumkan peruntukan kepada SPRM dan Yayasan Prihatin SPRM, berbanding
pengumuman oleh Perdana Menteri yang merupakan ketua eksekutif. Ini
adalah untuk mengelak persepsi SPRM tidak bebas dari pihak eksekutif.
Selain itu, Parlimen juga perlu mengeluarkan SPRM dari Jabatan
Perdana Menteri dengan menjadikannya badan bebas yang melapor terus
kepada Parlimen.
FAHMI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi PKR.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan