Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya lihat sesetengah pihak berlebihan mengkritik seakan orang Melayu langsung tiada toleransi dengan agama dan kaum lain.
Padahal, saya rasa sukar dalam dunia untuk mencari bangsa yang begitu
bertoleransi dengan kaum lain seperti bangsa Melayu. Sejak dahulu, di
tengah-tengah kampung Melayu di serata negeri-negeri boleh wujud kedai
cina berniaga dengan majunya.
Orang melayu tidak memusuhi kaum cina yang berkedai dalam kampung
mereka, bahkan mereka memanggil 'taukeh' kepada empunya kedai, satu
konotasi yang baik.
Apabila Jepun memasuki Tanah Melayu dan memburu orang Cina, ramai keluarga Melayu melindungi orang Cina dari Jepun.
Apabila orang Melayu memerintah sendiri Tanah Melayu, mereka berpakat
dengan kaum lain secara aman. Pelbagai peluang dibuka dan berikan
kepada kaum lain sehingga kalangan Melayu sendiri puas hati.
Isu-isu
perkauman akhir-akhir ini memang berlaku disebabkan kerana suasana
politik Melayu itu sendiri.
Maka ada pihak yang cuba menjadikan isu
perkauman sebagai senjata dalam permainan politik mereka.
Pun begitu
masih terkawal walaupun keadaan tidak sebaik dahulu.
Raja-Raja Melayu
Raja-Raja Melayu walaupun dikaitkan dengan kalimah 'Raja Melayu' dan
mereka semua beragama Islam, namun sikap mereka terhadap kaum dan agama
lain sentiasa mesra bahkan kadang-kadang merisaukan kaum Melayu itu
sendiri.
Suara Raja-Raja Melayu itu selalu harmoni untuk semua. Dalam 7 Amanah
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin kepada seluruh rakyat Perlis, Amanah
Ketujuh berbunyi : "Pegangan Islam dalam Negeri Perlis hendaklah
harmoni untuk semua pihak; tanpa mengira bangsa dan agama."
Islam yang diajar dalam negeri Perlis hendaklah bersifat universal yang kebaikan dan rahmatnya merangkami semua kaum dan agama.
Pendekatan Islam yang diajar kepada anak-anak di sekolah dan rakyat
jelata hendaklah bebas dari unsur perkauman dan permusuhan antara rakyat
disebabkan perbezaan kaum dan agama semata".
Suara
Tuanku Sultan Nazrin yang merupakan Sultan Perak juga sentiasa moderat
dan mengambil kira masyarakat berbilang agama dan kaum.
Dalam isu dobi hanya untuk orang Islam, Sultan Johor dengan tegas menolak pendekatan tersebut.
Saya sendiri dititahkan oleh pihak Istana Perlis untuk mengatasi isu
tersebut yang juga berlaku di Perlis. Demikian prihatin sultan dan Raja
Melayu terhadap hak penganut agama lain.
Isu agama
Dalam isu-isu agama yang kelihatan boleh menimbulkan salah faham
penganut agama lain terhadap Islam khususnya tentang hak dan amalan
agama mereka yang jamin ruangnya oleh Islam, akan ada tokoh-tokoh agama
Islam kalangan orang Melayu yang membela hak agama dan kaum lain.
Kenyataan demi kenyataan sering dikeluarkan bagi menjamin ke arah
keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa. Saya rasa saya
juga ada menyumbang ke arah hal itu. Saya mufti yang dilantik oleh raja
Melayu.
Parti-parti politik Melayu, sekali ada banyak perkara yang boleh
dipertikaikan dalam hal lain, namun soal keharmonian hidup masyarakat
majmuk, setiap mereka cuba menjaganya.
Umno sejak
awal membentuk kerjasama dengan kaum lain. Banyak faedah yang kaum lain
dapat melalui Umno. PAS walaupun dilihat sempit namun jangan lupa PAS
pernah menyatakan 'melayu bukan syarat menjadi pemimpin negara'.
PAS pernah membuat slogan muktamar mereka 'Menggempur Pemikiran
Asabiyah (kebangsaan)'.
Bahkan PAS pernah bekerjasama dengan DAP. Lebih
ganjil lagi, semasa memerintah Kedah, PAS langsung tidak mempertikaikan
arak di Langkawi. Walaupun hari ini parti itu berubah disebabkan cuaca
politik, namun ruang toleransi pernah ada dan 'mungkin' boleh kembali
ada.
Sampai hari ini parti itu masih berinteraksi dengan non-muslim.
Politik kepartian satu permainan merebut kuasa. Ia berubah jika ada
keperluan.
Parti-parti politik lain seperti PKR, AMANAH dan selainnya memang
secara jelas memberikan ruang dan hak kepada agama dan kaum lain. Bahkan
parti AMANAH, Pertubuhan Ikram, Abim dan selain mereka membuat pelbagai
program dan seminar bagi memahamkan orang Melayu Islam mengenai hak dan
tolenrasi dengan agama lain di sisi Islam.
Demikian tokoh-tokoh moderat dan progresif Melayu
.
Badan rasmi dikuasai Melayu
Badan-badan rasmi yang dikuasai oleh orang Melayu kebanyakan sering
mengambil kira sisi pandang orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Jakim, sekali pun sering dianggap oleh bukan muslim sebagai tidak
mesra dengan bukan muslim, saya yang juga kadang-kala berbeda pandangan
dengan Jakim ingin memberitahu anda bahawa Jakim juga dalam mesyuarat
mereka mengambil soal masyarakat pelbagai agama dan kaum ini.
Saya
menghadiri mesyuarat-mesyuarat Jakim, saya tahu hal ini. Walaupun ada
individu-individu yang ekstrem namun, secara umumnya sisi pandang pihak
agama lain diambil kira oleh Jakim.
Cumanya, kadang kala keadaan menyebabkan suasana menjadi berbeza dengan apa yang dihajati.
Pertubuhan-pertubuhan yang bersifat perkauman kalangan kaum Melayu
sering mendapat bantahan dan kritikan dalam orang Melayu sendiri.
Demikian adil sikap majoriti Melayu.
Minoriti muslim di negara lain
Anda tahu bahawa saya juga sering memberikan pandangan mempertahankan
hak anda jika saya rasa hak anda dilanggar. Saya pun orang Melayu.
Saya rasa di samping kekurangan yang ada, banyak nilai toleransi Orang Melayu Islam yang patut juga anda hargai.
Lihatlah nasib umat Islam minoriti di China, India dan terdekat di Myanmar.
Mereka
diperlakukan dengan segala perlanggaran bukan sahaja hak beragama, tapi
hak asasi manusia itu sendiri. Dibunuh, diseksa dan dinafikan segala
hak kemanusiaan.
Di sini, majoriti ramai yang lebih kaya daripada minoriti. Tiada
pertumpahan darah dan kekejaman dan penafian hak secara jelas seperti
yang berlaku di negara lain.
Hargailah
Di sini, di Malaysia, di tanah asal Melayu memang ada kelemahan, ada kekurangan.
Ya benar, namun jauh bahkan ribuan kali lebih baik dibandingkan
minoriti muslim yang ada di negara-negara seperti China, India, Myanmar
dan selainnya.
Muslim di Malaysia tidak menjadikan isu di sana untuk melunaskan dendam dan permusuhan di sini.
Marilah kita hidup dengan aman dan berusaha menunaikan hak
masing-masing. Toleransi yang wujud selama ini perlu dihargai.
Kekurangan kita baiki, namun jangan sampai lupa untuk menghargai.
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN merupakan Mufti Perlis.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan