'Biarkan Amiruddin pergi'
Oleh Muhammad Shamsul Abd Ghani
SHAH ALAM - Yang pergi biarkan pergi dan kafilah perjuangan terus melangkah.
Itu reaksi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim berhubung tindakan Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah menyertai Bersatu kelmarin.
Katanya, dalam Pas, pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi.
"ALLAH akan menentukan bahawa perjuangan meninggikan agamaNYA akan terus dipacu oleh satu kelompok hambaNYA yang istiqamah.
"Kita sayangkan sahabat kita yang pernah bersusah payah bersama. Bila tiba di simpang, akhirnya sahabat memilih arah perjalanan yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Kedah dari Pas itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas menerima borang keahlian Amiruddin di Alor Setar, kelmarin.
Amiruddin berkata, keputusan menyertai Bersatu dibuat setelah Pas bertegas dengan pendirian parti itu untuk bersendirian dan tidak bersama Pakatan Harapan dalam PRU14.
Mengulas lanjut tindakannya itu, Azman mengingatkan Amiruddin mengenai tanggungjawab dalam bai'ah.
"Akhirnya YB pilih untuk naik bahtera lain. Cuma sedikit ingatan sahabatku yang dikasihi, antara kita sama-sama melafazkan bai'ah ketika memikul amanah parti menjadi calon dalam PRU," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan