WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu
mengancam untuk menarik balik bantuan kewangan daripada negara yang
menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak
pengiktirafan AS dalam isu Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor
agensi berita China Xinhua.
“Mereka mengambil beratus-ratus juta dolar, bahkan berbilion dolar,
dan mereka mengundi menentang kami,” kata Trump kepada pemberita pada
mesyuarat kabinet di White House.
“Kita sedang memerhatikan undi-undi tersebut. Biarkan mereka mengundi
menentang kita. Kita akan menjimatkan wang yang begitu banyak. Kita
tidak peduli,” katanya.
Kenyataan Trump dibuat selepas Duta AS ke PBB, Nikki Haley, menerusi
akaun Twitter beliau menyatakan: “AS akan mengambil nama” mereka yang
mengkritik pilihan AS di Perhimpunan Agung PBB.
Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sesi mesyuarat tergempar yang
jarang dilakukan bagi membincangkan status Baitulmaqdis pada Khamis
selepas AS menggunakan kuasa vetonya terhadap gesaan awal yang digubal
oleh Mesir agar Washington menarik balik keputusannya mengiktiraf
Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
AS pada Isnin menggunakan kuasa vetonya terhadap satu draf resolusi Majlis Keselamatan berhubung status Baitulmaqdis.
Semua 14 ahli Majlis Keselamatan mengundi untuk menyokong teks draf yang digubal oleh Mesir itu.
Bagaimanapun, memandangkan AS, yang merupakan ahli tetap Majlis
Keselamatan, mempunyai kuasa veto, resolusi itu tidak dapat diterima
pakai.
Sebelum undian, Duta Mesir ke PBB, Amr Abdellatif Aboulatta
menjelaskan draf resolusi itu bertujuan memastikan sebarang percubaan
untuk mengubah ciri-ciri atau komposisi demografik Kota Lama
Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan, batal serta tidak sah dan hendaklah
dimansuhkan.
Draf resolusi itu turut menggesa semua pihak tidak mewujudkan misi diplomatik di Baitulmaqdis, katanya.
Menurut sumber PBB, Duta Palestin Riyad Mansour berkata negaranya
berharap Perhimpunan Agung tersebut akan merangka satu resolusi bagi
menggesa penarikan balik langkah AS itu.
Pada 6 Disember, Trump mengisytiharkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis
sebagai ibu kota Israel dan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv
ke Baitulmaqdis, yang mencetuskan kemarahan besar-besaran dalam kalangan
dunia Arab dan Islam.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan