Guan Eng: P Pinang ada wang, bonus dibayar tahun ini

GEORGE TOWN: Pembayaran bonus RM2,000 kepada penjawat awam Pulau Pinang yang akan dilakukan Disember ini diambil daripada dana yang disimpan daripada Belanjawan Pulau Pinang 2017, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata wang itu perlu diberikan pada tahun ini juga memandangkan ibu bapa antara lain perlu berbelanja untuk sesi persekolahan tahun depan, katanya.

Lim berkata demikian selepas pembangkang mempertikaikan pembayaran bonus itu sebagai tidak logik. Pembangkang berkata bonus perlu dibayar tahun depan jika ia sebahagian daripada Belanjawan Pulau Pinang 2018.

Bonus minimum RM1,000 akan dibayar kepada semua kakitangan perkhidmatan awam negeri dan tambahan RM1,000 akan diberikan keapda mereka yang mempunyai rekod displin yang bersih.

“Kita semua tahu Januari bulan yang penting, iaitu bulan anak-anak kita kembali ke sekolah. Jadi kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan bonus pada Disember tahun ini juga untuk meringankan beban kakitangan perkhidmatan awam.

“Oleh kerana kita mampu, mengapa tidak kita bayar bonus tahun ini juga. Sudah tentu, wang bonus yang diberi tahun ini diambil dari belanjawan 2017. Hanya apabila anda tiada wang, anda guna belanjawan tahun depan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ketua Pembangkang Muhammad Farid Saad tidak percaya Lim mengumumkan pemberian bonus tahun ini tetapi mengumumkannya sebahagian daripada Belanjawan Pulau Pinang 2018.
“Lim mahu melemahkan pemberian bonus kerajaan persekutuan yang akan diberikan sebelum Hari Raya tahun depan.

“Sedangkan belanjawan itu untuk tahun depan, bukan tahun ini. Jadi mengapa umum bonus untuk tahun ini?

“Ternyata kerajaan Pulau Pinang cuba menunjukkan mereka lebih hebat daripada kerajaan persekutuan,” kata Farid ketika ditemui pemberita di sidang dewan undangan negeri semalam.
Lim bagaimanapun mengingatkan pembangkang bahawa kerajaan negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam soal pemberian bonus.

“Jangan cuba sabotaj usaha kerajaan negeri beri bonus. Ternyata pembangkang tidak buat kajian. Kalau ada masalah, ia akan disuarakan Ketua Audit Negara.”
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan