Oleh Timmy Say
Tidak lama lagi, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, iaitu Yang
Berhormat (YB), yang kalah di pilihan raya akan datang, akan dibayar
pencen sehingga akhir hayat mereka.
Untuk meningkatkan akauntabiliti, saya ingin mencadangkan agar sistem
pencen kepada Adun dan ahli Parlimen perlu dirombak semula.
Ini kerana pada tahun kebelakangan ini, gaji dan elaun Adun dan Ahli Parlimen sudah dinaikkan dengan kadar yang banyak.
Pada 2015, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen
(Saraan) (Pindaan) 2014 di mana gaji bulanan anggota Dewan Rakyat
dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM11,000, anggota Dewan Negara
(RM11,000 daripada RM7,000), Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan
Dewan Rakyat (RM22,000 daripada RM16,000) dan Yang Dipertua Dewan Negara
dan Dewan Rakyat (RM31,000 daripada RM20,000).
Bukan itu sahaja, semua DUN di seluruh Malaysia turut meluluskan kenaikan gaji bagi Adun mereka.
Umpamanya, pada tahun yang sama, sidang DUN Pahang meluluskan
kenaikan gaji 42 Adun daripada RM4,112 kepada RM11,000 sebulan, berkuat
kuasa 1 Januari lalu.
Di Selangor pula, penyelarasan gaji dilakukan pada 2013 lagi. Gaji
menteri besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota
Exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; Speaker DUN dari
RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker dari RM3,327.50 kepada
RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250.
Oleh itu, YB yang ada hari ini akan menikmati pencen yang jauh lebih
lumayan daripada bekas YB terdahulu. Amat tidak adil sekiranya mereka
dapat menikmati pencen pada tempoh yang sama seperti YB-YB terdahulu.
Ini belum diambil kira kesan kepada kos pengurusan negara untuk menampung pencen YB yang menikmati gaji baru ini.
Persoalan yang lebih menarik ialah mengapa rakyat harus menanggung kos pencen bekas YB ini sehingga ke akhir hayat mereka?
Apakah yang rakyat dapat daripada “pelaburan” ini, lebih-lebih lagi
jika ada YB-YB yang tidak berkhidmat dengan cemerlang ketika dipilih?
Oleh itu, tempoh pencen YB kini perlu dihadkan mengikut tempoh seseorang wakil rakyat itu berkhidmat.
Contohnya, YB yang berkhidmat hanya sepenggal patut hanya dibayar
pencen untuk tempoh yang sama sekiranya ia tewas di pilihanraya umum
seterusnya. Pencen harus mengikut tempoh seseorang YB berkhidmat dan
bukannya sehingga akhir hayat.
Untuk menikmati pencen yang berpanjangan, YB perlu terus berkhidmat
dengan cemerlang untuk mencapai kemenangan demi kemenangan di pilihan
raya.
Cadangan ini diharap dapat meringankan beban kos pengurusan negara
pada tahun depan yang saban hari semakin berat sehingga terjejasnya
peratusan yang dapat diperuntukan untuk pembangunan negara. Polisi ini
perlu disegerakan sebelum PRU14 diadakan.
Memandangkan YB ini selalu memberitahu rakyat bahawa mereka
berpolitik untuk kebaikan negara, maka anggaplah cadangan rombakan
semula pencen mereka sebagai satu pengorbanan yang kecil bagi membantu
negara mengawal kos pengurusan yang semakin meningkat di masa depan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan