Hentikan provokasi hormati undang-undang, teguran buat Pas

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed menasihatkan Pas supaya menghentikan tindakan provokasi, sebaliknya mematuhi serta menghormati undang-undang dalam isu pemilikan Wisma Tok Guru.

Beliau kecewa dengan beberapa individu dalam Pas yang menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh AMANAH Kubang Kerian baru-baru ini sebagai usaha untuk menghalang ahli Pas untuk bersolat hajat di Wisma Tok Guru.

“Suka saya maklumkan, mengikut Kanun Acara Jenayah, adalah menjadi tanggungjawab orang awam membuat laporan polis bila disyaki akan berlaku provokasi dan kekacauan sebagai maklumat awal kepada pihak polis untuk membuat penyiasatan dan mengambil langkah pencegahan.

“Kenyataan YB Dato Che Abdullah Mat Nawi, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan seperti yang disiarkan oleh akhbar dan diikuti dengan kenyataan Ahmad Fadli Syaari, Ketua Pemuda Pas Kelantan melalui status facebooknya adalah jelas bersifat provokasi yang bertujuan untuk menimbulkan kekacauan dan keresahan awam,” kata Che Ibrahim yang juga Pengarah Panel Syariah AMANAH Kelantan dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, walaupun Pas cuba berselindung di sebalik solat hajat, tetapi tindakan tersebut semakin menampakkan sikap Pas yang sering menunggang agama untuk tujuan politiknya.

“Masyarakat Islam amat faham dan sudah lama mengamalkan solat hajat tanpa menimbulkan apa-apa keresahan yang boleh menganggu ketenteraman awam, tetapi sikap Pas yang mengerahkan ahlinya dari seluruh negara untuk bersolat hajat hanya bagi tujuan memasuki bangunan di atas tanah yang baru dibeli, adalah jelas bersifat provokasi dan menggunakan agama untuk menyembunyikan hasrat sebenar mereka.

“Sikap mereka ini jelas membelakangkan undang-undang dan tidak menghormati proses mahkamah syariah yang masih membicarakan tuntutan pengesahan pusaka oleh waris si mati termasuk ke atas tanah yang telah dibeli oleh Pas ini.

Sehingga kini sambungnya, Pas tidak pernah menfailkan satu permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mendapat satu perintah mengusir AMANAH yang didakwa telah menduduki premis tersebut tanpa izin.

“Notis peguam supaya sesiapa yang menduduki bangunan tersebut keluar dan menyerahkan milikan kosong kepada tuan tanah yang baru tidak mempunyai apa-apa kuatkuasa undang-undang selagi ia tidak berbentuk satu perintah mahkamah.

“Oleh itu adalah wajar buat AMANAH Kubang Kerian dan orang awam yang lain membuat laporan polis bagi membolehkan pihak polis membuat siasatan awal sebagaimana kehendak undang-undang bagi menghalang sebarang bentuk provokasi dan kekacauan berlaku walaupun mereka cuba berselindung di sebalik ajaran beragama seperti solat hajat dan seumpamanya,” katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan