PUTRAJAYA: DAP menggesa firma audit bebas, Grant Thornton, yang
dilantik untuk menyelia dan menjalankan pemilihan semula Jawatankuasa
Eksekutif Pusat (CEC) parti itu 12 November lalu segerakan laporan untuk
dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata DAP tidak mahu
melengah-lengahkan proses pendaftaran Pakatan Harapan (PH), selepas
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan proses pendaftaran gabungan parti
pembangkang itu tergendala kerana isu dengan DAP dan PPBM.
“Di bawah Akta Pendaftaran Pertubuhan ada tempoh 60 hari untuk
kemukakan laporan pemilihan kepada JPPM. Bagaimanapun saya difahamkan
syarikat audit akan siapkan laporan secepat mungkin.
Kita harap boleh
selesaikan dalam minggu ini, kita juga tidak mahu lengah-lengahkan
proses pendaftaran,” katanya kepada pemberita di KDN di sini hari ini.
Tan bersama-sama Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden
PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden
PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertemu dengan Ketua Setiausaha
KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berhubung status permohonan pendaftaran PH
yang belum diputuskan JPPM sejak 24 Julai lalu.
Selepas pertemuan itu, Dr Mahathir memberitahu media permohonan
gabungan itu belum boleh diluluskan berikutan isu kesahan pemilihan CEC
DAP, dan nama sayap Pemuda dan Wanita PBBM yang tidak diiktiraf JPPM.
“Parti saya akan minta audit segerakan semua laporan dan hantar
kepada JPPM dengan kadar segera,” kata Tan, dan menambah laporan
pemilihan semula itu diuruskan sepenuhnya oleh Grant Thornton tanpa
campur tangan pimpinan parti.
Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim pada Jumaat berkata DAP masih
belum menyerahkan laporan pemilihan semula CEC kepada badan itu,
walaupun hampir seminggu berlaku sejak kongres khas 12 November lepas.
Perwakilan DAP melantik anggota CEC baharu selepas JPPM pada 7 Julai
lalu mengarahkan parti mengadakan pemilihan baharu kerana pemilihan
sebelum ini, 29 September 2013, tidak mengikut undang-undang.
Pemilihan itu menyaksikan perwakilan mengekalkan 90% kepimpinan
terdahulu dalam CEC, termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Gobind Singh
Deo dan Tony Pua.
Manakala PPBM didakwa gagal menyelesaikan masalah berkaitan nama
Pemuda PPBM iaitu “Angkatan Bersatu Anak Muda” (Armada) dan nama Wanita
PPBM atau “Srikandi PPBM” yang didapati tidak dinyatakan dalam
perlembagaan parti.
JPPM juga mempersoalkan kegagalan mengadakan mesyuarat agung tahunan
melibatkan ahli bawahan seperti yang ditetapkan perlembagaan parti.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan