Polis soal siasat Raja Petra di United Kingdom

POLIS Malaysia sudah mengambil keterangan Raja Petra Kamaruddin di United Kingdom awal minggu ini berkaitan dua laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

Satu pasukan terdiri daripada tiga pegawai Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur merekodkan keterangannya pada pertemuan selama lima jam Rabu lalu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengesahkan yang pasukan polis dihantar ke UK untuk menyoal siasat Raja Petra.

“Untuk ambil keterangan dia,” kata Fuzi dalam mesej pesanan ringkas .
Polis terpaksa pergi ke UK untuk mengambil keterangan Raja Petra kerana penulis blog pro-Umno itu tinggal dalam buangan di sana.

Dia melarikan diri dari Malaysia selepas didakwa dengan dakwaan hasutan dan fitnah pada 2006 susulan siri rencana yang diterbitkannya mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Monglia, Altantuya Shaariibuu.

Laporan polis Apandi yang diklasifikasikan sebagai jenayah fitnah dibuat ke atas Raja Petra yang menuduh peguam negara itu terlibat dalam korupsi menerusi dua rencananya- "Strong rumours surrounding the AG: part 1 and part 2" – yang disiarkan dalam blognya, Malaysia Today.

Antara dakwaan Raja Petra terhadap Apandi adalah peguam negara itu meminta RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan Cina yang dikenal pasti sebagai “rakan niaga” Sultan Johor dalam sebuah kes yang dimenanginya.

Raja Petra juga menulis tentang pertemuan yang dikatakan berlaku pada 2015 antara hakim kanan- iaitu bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria, Ketua Hakim Negara Md Raud Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin- dengan seorang ahli politik kanan membincangkan plot menjatuhkan kerajaan.

Apandi menafikan dakwaan korupsi Raja Petra dan bagaimana kononya dia memperolehi jawatan peguam negara dalam rencana itu menambah yang dia akan menyaman Raja Petra “sampai ke akhirat”.

Dia membuat laporan polis di Kuantan, Pahang dan Jabatan Peguam Negara pula membuat laporan polis kedua di Putrajaya bulan lepas.

Pejabat Apandi juga membuat laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap blognya, Malaysia Today.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan