Bicara kes Wisma Tok Guru ditangguh

Bicara Saman Pemula kes Wisma Tok Guru yang dijadualkan untuk dijalankan hari ini di Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu telah ditangguhkan ke 17/12/2017.

Penangguhan ini adalah kerana pihak peguam yang mewakili Datuk Husam Musa baharu sahaja menerima Affidavit Jawapan bagi Saman Pemula Datuk Husam Musa terhadap proksi Pas, Mohd Yasin bin Yusoff pada hari Khamis lepas.

Mohd Yasin sebelum ini telah mendapat persetujuan peguam Datuk Husam untuk menjawab di luar tempoh kebiasaan 14 hari kerana beliau baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah.
Ekoran itu, peguam yang mewakili Datuk Husam Musa memerlukan masa bagi menjawab balas Affidavit Mohd Yasin tersebut.

Mengikut peraturan mahkamah, Datuk Husam mempunyai 14 hari untuk membuat jawapan balas.
Prosiding yang sepatutnya dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Datuk Ahmad bin Bache’ itu telah dipanggil bersidang di hadapan Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu Wan Nor Aklima Wan Salleh.

Semasa Prosiding Mahkamah diberitahu bahawa satu kes lain telah difailkan oleh Mohd Yasin terhadap Dato’ Husam bagi mendapatkan perintah pengosongan hartanah yang sedang dipertikaikan di Salor itu.

Kes tersebut dijadualkan untuk pengurusan kes kali pertama pada 17/12/2017 ini. Justeru, mahkamah menetapkan tarikh 17/12/2017 untuk kedua-dua kes dipanggil serentak.

Datuk Husam diwakili pasukan peguam yang diketuai Norazham Yahaya manakala Mohd Yasin diwakili sepasukan peguam diketuai Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan