Keluarga ditahan polis kerana anak sebut ‘Allah’ dan ‘boom’ dalam kelas

Sebuah keluarga Islam Amerika Syarikat ditahan pihak polis selepas anak lelaki mereka yang menghidap Sindrom Down menyebut perkataan “Allah” dan “boom” di dalam kelas.

Media AS melaporkan guru sekolah Mohammad Suleiman, 6, menghubungi pihak polis selepas kanak-kanak itu terus mengulangi perkataan tersebut di dalam kelas.

Mohammad bersekolah di Sekolah Rendah CJ Harris di Pearland, Houston.

Bagaimanapun ibu bapanya mendakwa perkara itu tidak benar kerana anak mereka “tidak boleh bercakap” dan mempunyai “keupayaan mental kanak-kanak berusia setahun.”

Tuduhan tersebut menyebabkan keluarga kanak-kanak itu disiasat pihak polis dan penyiasat perkhidmatan sosial.

“Itu tidak benar, dia tidak boleh bercakap,” kata bapa kanak-kanak terbabit, Maher Suleiman kepada saluran berita Fox26.

“Mohammad dilahirkan dengan Down’s Syndrome Chromosome 21. Dia memerlukan penjagaan setiap masa.

“Guru itu mendakwa anak saya pengganas. Ini sangat bodoh, ini adalah diskriminasi. Ia bukan diskriminasi tersirat, ia sebenar-benarnya diskriminasi.”

Maher menambah, 3 hingga 4 minggu lalu adalah waktu paling getir dalam kehidupannya.
“Isteri dan anak-anak saya menangis beberapa hari lalu dan saya memberitahu mereka semuanya baik-baik saja.

“Saya berpendapat, berdasarkan semua yang saya dengar daripada jabatan polis dan bercakap dengan pentadbir sekolah, cerita ini direka oleh guru ganti yang mendakwa anak saya mengganggunya dan dilihat mungkin boleh jadi pengganas,” kata Maher yang juga aktivis komuniti kulit hitam Quanell X.

Jabatan Polis Pearland berkata pihaknya menyelesaikan siasatan dan mendapati tiada keperluan untuk tindakan lanjut.

Tetapi Jabatan Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak di rantau itu berkata penyiasatannya sedang berjalan.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan