Pembongkaran isu Wang Kelian, Felda ‘kebetulan’ terancang?

Oleh T

Minggu lalu, musim tengkujuh di Malaysia tidak dapat menurunkan suhu politik negara apabila terbongkarnya dimensi baru di dalam skandal pembunuhan beramai-ramai di Wang Kelian pada 2015 dan juga Felda yang kehilangan tapak ibunya di Jalan Semarak.

Lebih menarik ialah kedua-dua isu ini dibongkar akhbar pro-kerajaan, iaitu New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) secara bergilir-gilir pada 20 Disember dan 21 Disember lalu.

Wang Kelian merupakan sebuah bandar di Perlis. Ia berada dalam kawasan sempadan Malaysia-Thailand, berhampiran bandar Satun di Thailand.

Wang Kelian pernah menjadi isu sensasi ekoran terbongkar penemuan kubur-kubur manusia dan kem pemerdagangan manusia melibatkan 139 mayat terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak oleh polis di lokasi itu.

Selepas menyiasat isu Wang Kelian selama 2 tahun, NST mendedahkan polis sebenarnya mengetahui kem pemerdagangan manusia itu sejak 19 Januari 2015, bukannya 25 Mei 2015 ketika polis mengumumkan mereka menemui 28 kem sementara pemerdagangan manusia yang dipenuhi rangka manusia di Wang Kelian.

Laporan itu turut mendedahkan kem tersebut masih beroperasi ketika ditemui polis dan bukannya dikosongkan 3 minggu sebelum ditemui sepertimana yang didakwa polis sebelum ini.
Pendek kata, di dalam laporan tersebut, NST mempertikaikan mengapa polis membiarkan kes tersebut terbiar sejurus ditemui pada Januari tanpa sebarang tindakan selama hampir setengah tahun lamanya.

Bukan itu sahaja, hasil siasatan NST juga mendakwa wujudnya cubaan menutup kes berprofil tinggi berkenaan, termasuk mengubah fakta kes. NST juga mendakwa polis mengeluarkan arahan agar kem-kem berkenaan dimusnahkan sebelum siasatan forensik dijalankan.

NST juga menimbulkan beberapa persoalan menarik. Antaranya, kenapa penemuan kem itu dirahsiakan? Siapa yang memberikan arahan agar dimusnahkan dan dibersihkan lokasi kejadian?

Sehari selepas negara digemparkan dengan pendedahan Wang Kelian, Berita Harian tampil mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Menurut sumber BH, perkara itu terjadi setelah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Dan semua ini berlaku di zaman Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik pengerusi Felda oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Isa dilantik menjadi pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Pendedahan ini terus memberikan tekanan terhadap BN dan memaksa Pengerusi Felda baru, Tan Sri Shahrir Samad membuat sidang media tergempar untuk menjawab isu berkenaan.

Di dalam jawapannya, Shahrir berkata, beliau sudah mengetahui isu ini sejak akhir Januari dan mengambil beberapa langkah untuk cuba mendapatkan kembali hak milik tanah tersebut kepada Felda. Namun, sehingga kini belum berhasil.

Malah, menurut Shahrir, laporan polis sudah dibuat. Cuma yang peliknya, ia hanya dibuat pada Disember, selepas 11 bulan isu ini diketahui Shahrir.

Apakah Shahrir ada memaklumkan perkara ini kepada PM apabila beliau mengetahui isu ini?

Persoalan ini ditanya kerana ramai yang mempersoalkan mengapakah PM baru mengarahkan siasatan ke atas Felda, sekiranya perkara ini sudah diketahui Shahrir sebegitu lama? Ataupun ada unsur percubaan untuk menyelesaikan perkara ini di belakang takbir tanpa pengetahuan umum?

Terdapat banyak persamaan dalam kes pendedahan Wang Kelian dan Felda.

Pertama, kedua-dua skandal ini kini di bawah tanggungjawab polis.

Kedua, kedua-dua skandal ini terletup di waktu yang sebegitu hampir dengan pilihan raya, dan akhbar yang membongkar kedua-dua isu ini pula ialah akhbar pro-kerajaan. Mengapa kedua akhbar ini sebegitu berani di saat begitu getir bagi BN menjelang pilihan raya umum ke-14?

Ketiga, kedua-dua isu ini merugikan Umno-BN dan memberi kelebihan kepada pembangkang, sama ada PAS mahupun Pakatan Harapan.

Di dalam politik, tiada asap tanpa api dan tiada perkara yang bersifat kebetulan. Semuanya terancang.
Pendedahan skandal Wang Kelian “kebetulan” memberikan tekanan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri dalam negeri yang bertanggungjawab terhadap polis.

Pendedahan kehilangan tanah Felda pula “kebetulan” memberikan tekanan kepada PM selaku orang yang melantik Isa. Apakah ini bukan “kebetulan” yang dirancang?

Kedua-dua isu ini bakal menjadi hangat pada PRU14, terutamanya isu kehilangan tanah Felda di mana ia dijangka menjadi sehangat isu NFC (National Feedlot Corporation) pada PRU13 dulu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan