Oleh OOI HENG, ELIJAH dan YASMIN
Kami merujuk kepada Konvensyen Kebangkitan Ummah (KKU) baru-baru ini
pada 13 Januari 2018, di mana Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH),
Ismail Mina Ahmad mendakwa bahawa hanya kaum Melayu sahaja yang
menentang penjajah British dan Jepun serta pemberontak komunis tanpa
penglibatan kaum lain.
Kami ingin menyatakan bahawa adalah tidak benar bahawa hanya kaum
Melayu sahaja yang menentang penjajah dan komunis. Sepanjang sejarah
Malaysia, walaupun kebanyakan usaha penentangan penjajah British di
Tanah Melayu adalah dibuat oleh kaum Melayu, tetapi terdapat juga
penglibatan kaum lain.
Kami ingin membawa kepada perhatian terhadap pembunuhan Residen
British Perak yang pertama, JWW Birch, yang dilakukan oleh Dato’
Maharajalela pada 2 November 1875. Ketika JWW Birch sedang mandi pada
sebatang sungai di Pasir Salak, Maharajalela dibantu oleh Sepuntum,
seorang yang dipercayai ialah Orang Asli.
Kami juga menganggap bahawa Ismail Mina Ahmad telah melupakan bahawa
Sabah dan Sarawak jugalah sebahagian daripada Malaysia, sedangkan
terdapat usaha-usaha menentang British yang dilakukan oleh kaum bukan
Melayu.
Di Sabah, semasa zaman pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara
British, suatu pemberontakan berlaku di bawah pimpinan Datu Muhammad
Salleh (dikenali sebagai Mat Salleh) dari tahun 1894, dan biarpun Mat
Salleh meninggal dunia pada tahun 1900, pemberontakan ini berterusan
sehingga tahun 1905. Datu Mat Salleh bukanlah seorang Melayu, tetapi
seorang Suluk dengan ibunya yang merupakan Orang Bajau. Adakah Ismail
Mina Ahmad menganggap kedua-dua kaum Suluk dan kaum Bajau sebagai
“Melayu”?
Malah Pemberontakan Mat Salleh ini bukan sahaja disokong oleh kaum
Suluk dan kaum Bajau, tetapi juga kaum lain terutamanya Kadazan-Dusun,
yang mendominasikan kaum pribumi di Sabah. Kadazan-Dusun tentulah tidak
layak digelar sebagai “Melayu” sepertimana dalam Perkara 160
Perlembagaan Persekutuan, kerana kira-kira 75% daripada mereka adalah
beragama Kristian, dan mereka yang beragama Islam hanyalah 23%.
Selain itu, pada tahun 1915, suatu pemberontakan terhadap Syarikat
Berpiagam oleh kaum Murut berlaku di bawah pimpinan Ontoros Antanum.
Kaum Murut tentulah juga bukan “Melayu”, memandangkan kira-kira 80%
daripada kaum Murut pada zaman kini adalah beragama Kristian dan hanya
18% daripada mereka beragama Islam.
Bagi Sarawak pula, semasa zaman pemerintahan Kerajaan Brooke, dari 18
hingga 24 Februari 1857 suatu pemberontakan oleh 600 Orang Cina berlaku
di Kuching di bawah pimpinan Liu Shan Bang, seorang pelombong emas di
Bau. Sejarah ini seolah-olahnya telah lenyap dan hilang.
Selepas itu, dari tahun 1853 hingga 1863, satu lagi pemberontakan
dilakukan oleh Rentap, seorang Iban. Pemberontakan yang berpangkalan di
Bukit Sadok ini menjadi suatu episod yang penting dalam sejarah Sarawak.
Kaum Iban tentulah bukan “Melayu” juga, memandangkan pada zaman kini
kira-kira 76% daripada mereka adalah beragama Kristian, 13.63% beragama
animisme, dan hanya 1.54% beragama Islam.
Pada masa yang sama, dari tahun 1859 hingga 1860, suatu pemberontakan
di bawah pimpinan Syarif Masahor berlaku. Beliau adalah berketurunan
Hadhramaut (di Yaman), walaupun dianggap sebagai “Melayu”.
Semasa penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Kedua
dari tahun 1941 hingga 1945, walaupun terdapat kaum Melayu yang
menentang Jepun di bawah payung Force 136 (dengan sokongan British) dan
Gerila Wataniah (kini Rejimen Askar Wataniah), terdapat juga orang
Melayu yang menyertai Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) yang
dikaitkan dengan Parti Komunis Malaya.
MPAJA yang mempunyai anggota pelbagai kaum ini tidak wajar
dilenyapkan daripada sejarah, memandangkan mereka merupakan kumpulan
anti-Jepun yang terbesar ketika itu. Lagipun, sebenarnya bukan semua
anggota MPAJA adalah komunis, kerana terdapat ramai yang menyertai MPAJA
semata-mata atas semangat anti-Jepun mereka.
Malah bukan semua di kalangan kaum Cina adalah berfahaman komunis,
memandangkan semasa itu di China telahpun berlaku perang saudara antara
kerajaan Kuomintang (yang berundur ke Taiwan pada tahun 1949 sehingga
kini) dan pemberontak Parti Komunis China (yang menguasai Tanah Besar
China sejak tahun 1949 sehingga kini), dan kedua-dua Kuomintang dan
Parti Komunis China juga mempunyai penyokong masing-masing di kalangan
masyarakat Cina di luar negara termasuk Tanah Melayu.
Kita juga tidak boleh melenyapkan Lim Bo Seng, seorang peniaga Cina
dari Singapura yang menentang Jepun di bawah Force 136. Beliau telah
memimpin usaha seperti memboikot barangan Jepun dan menggalakkan pekerja
kaum Cina syarikat-syarikat Jepun di Tanah Melayu untuk memogok, dan
akhirnya menyertai Force 136, mengendalikan suatu rangkaian pengintip.
Selepas ditangkap oleh pihak Jepun di Gopeng, Perak pada tahun 1944,
nyawa beliau terkorban pada 29 Jun 1944 akibat penyakit dan pelbagai
penderaan oleh pihak Jepun kerana enggan membongkarkan sebarang maklumat
mengenai Force 136. Beliau bukan sahaja disambut sebagai seorang wira
oleh rakyat Singapura, malah di Ipoh terdapat sebuah jalan di pekan baru
yang dinamakan sempenanya, iaitu Jalan Lim Bo Seng.
Seorang lagi wira bukan Melayu anti-Jepun yang patut dilihat ialah
Sybil Medan Kathigasu, seorang jururawat berketurunan Eropah di Ipoh
yang membekal pelbagai bekalan perubatan serta maklumat perisikan bagi
para penentang Jepun, sebelum ditangkap oleh pihak Jepun pada tahun
1943.
Walaupun didera oleh pihak Jepun seperti Lim Bo Seng, beliau juga
enggan membekal sebarang maklumat dan dipenjarakan di Batu Gajah,
sehingga menerima rawatan di Britain selepas penyerahan Jepun pada Ogos
1945. Sebuah jalan di Fair Park, Ipoh dinamakan “Jalan Sybil Kathigasu”
sempenanya.
Di Sabah pula, seorang doktor Cina, Albert Kwok, memimpin Gerila
Kinabalu untuk melawan Jepun dari tahun 1943 hingga 1944. Gerila ini
terdiri daripada pelbagai kaum di Sabah.
Di Sarawak, terdapat mereka di kalangan kaum Dayak yang dilatih oleh
pihak Perikatan (yang dianggotai British) khususnya Australia untuk
menentang Jepun di sana.
Pada masa yang sama, terdapat juga mereka di kalangan kaum Melayu di
Tanah Melayu yang menyokong Jepun, atas kebencian mereka terhadap
penjajah British. Antaranya terdapat Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang
dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Ishak Haji Mohammad, sebuah kumpulan
nasionalis Melayu berhaluan kiri.
Selepas Perang Dunia Kedua, memandangkan penjajah British telah
kembali, usaha anti-British dilakukan khususnya oleh kumpulan-kumpulan
berhaluan kiri terdiri daripada pelbagai kaum, antaranya bekas ahli KMM
menubuhkan gerakan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),
Angkatan Pemuda Insaf (API), dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang
anti-British.
Sebenarnya bukan sahaja kaum Melayu yang menentang komunis, malah
terdapat juga kaum lain termasuk Cina dan Gurkha, sama ada dalam tentera
British mahupun tentera Malaya/Malaysia dan polis. Pada 13 November
1975, Ketua Polis Perak ketika itu, Tan Sri Khoo Chong Kong dibunuh oleh
dua orang anggota komunis.
Kesemua ini menunjukkan bahawa usaha menentang penjajah dan komunis
bukanlah suatu yang boleh dimonopolikan oleh kaum Melayu, tetapi
dikongsi oleh pelbagai kaum.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan