SETIAP minggu, Dayang Mazlin Menun yang tinggal di flat Projek
Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang akan berjalan sejauh 2km untuk
mendapatkan barang keperluan dari Masjid Ara Damansara.
Barangan itu tidak banyak, sekadar sebotol kicap, 10 biji telur,
sebotol minyak masak, susu bayi dan kadang-kala beras sebanyak 5kg.
Bahan makanan keperluan itu ditempatkan dalam satu almari di satu sudut khas masjid tersebut yang diberi nama Gerobok Rezeki.
Sekiranya barangan itu dibeli di kedai runcit, beliau mungkin
menanggung kos sehingga RM50. Tetapi di Gerobok Rezeki, Dayang boleh
mengambilnya dengan percuma.
"Saya mula dapatkan barang-barang ini sejak tahun lepas. Kalau
diikutkan (hati) memang rasa malu nak ambil tapi buat muka tebal sebab
fikirkan anak-anak.
"Kalau diikutkan hati saya, tak payah makan pun tak apa tapi (bila
fikirkan) anak-anak, saya tak sampai hati," katanya
Suri rumah berusia 39 tahun itu mempunyai sembilan orang anak berusia antara satu hingga 14 tahun.
Gaji suaminya sebanyak RM1,500 sebagai pegawai keselamatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan sekeluarga, katanya.
Ini menyebabkan mereka sekeluarga sebelum ini pernah berlapar
sehingga empat hari dan hanya bertahan dengan air untuk tenaga, kata
Dayang.
Keadaan hampir serupa dihadapi oleh rakannya, Noraidah Abdul Hamid,
yang turut ditemui The Malaysian Insight di PPR Lembah Subang.
Katanya, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menahan malu meminjam
wang daripada kenalan dan jiran di sekeliling di pangsapuri tersebut
untuk membeli barangan keperluan.
Namun, dengan adanya Gerobok Rezeki, sekurang-kurangnya mereka tidak perlu lagi berbuat sedemikian, kata Noraidah, 36.
"Tapi kita tidak harapkan bantuan di Gerobok Rezeki saja. Malu juga.
Suami saya bekerja tapi kerja sendiri buat kerja-kerja penyelenggaraan
di rumah orang. Jadi pendapatan memang tak tentu, bawah RM1,000
sebulan,” katanya.
Suri rumah itu berkata, seboleh-bolehnya, beliau tidak akan
membiarkan lima orang anaknya berusia antara dua hingga 10 tahun itu
kelaparan.
“Memanglah kalau tak pernah sampai tak ada makan langsung, tapi dulu
kalau waktu sesak (waktu genting), kalau ada beras buat bubur nasi.
“Kalau tak, ada tepung gandum saja saya buat cucur," katanya ketika ditemui bersama rakannya Dayang dan anak-anak mereka.
Kedua-dua keluarga ini menerima bantuan zakat RM500 sebulan daripada Majlis Agama Islam Selangor.
Sasar golongan miskin bandar
Gerobok Rezeki ditubuhkan hampir dua tahun lalu oleh kumpulan NGO
Humanity dengan mensasarkan golongan miskin bandar dan yang memerlukan
bantuan.
Pengasas Humanity, Mohd Nizam Wahid berkata matlamat mereka adalah
untuk membina persepsi baik tentang Islam kerana itulah institusi Islam
yang paling hampir dengan masyarakat.
NGO ini turut mendapat kerjasama Baitulmal bawah MAIS dan juga
pertubuhan Kindness Malaysia, Skuad Prihatin Bintulu, dan
Preloved4Charity.
"Sebahagian Gerobok Rezeki di Lembah Klang juga sentiasa diisi oleh
pasukan saya, Humanity kerana dengan kerjasama antara Humanity, Kindness
Malaysia, Preloved4Charity dan Baitulmal.
"Baitulmal pula memberi dana untuk memberi barangan keperluan bagi
diletakkan pada Gerobok Rezeki sekitar Lembah Klang," katanya.
Di sudut ini, pengguna boleh mengambil barangan keperluan bayi
seperti lampin pakai buang, peralatan mandian, serta makanan seperti
milo, teh, gula, susu, kicap, perencah makanan, beras, sos, dan minyak
masak.
"Asasnya modal untuk permulaan dalam lingkungan RM800 hingga RM1,200.
Namun untuk isian semula, pihak masjid perlu uar-uarkan kepada jemaah
setiap kali solat Jumaat agar jemaah sendiri yang menyumbang barangan,”
katanya.
Selain bantuan NGO, masjid turut memperuntukkan sebanyak RM800 hingga RM900 untuk membeli barangan keperluan itu.
"Bayangkan, jika waktu solat Jumaat, 30 orang jemaah membawa satu
atau dua jenis item untuk diletakkan di gerobok, saya yakin kita tak
akan ada isu tentang keluarga kelaparan atau terpaksa mengemis di rumah
ibadah lain.
"Bermula hanya dengan setin sardin, susu atau sekilo dua beras.
Bayangkan daripada ratusan jemaah, hanya 30 hingga 40 orang saja yang
menyumbang, itu sendiri sudah cukup," katanya.
Alternatif ketika hujung bulan
Satu lagi masjid yang menempatkan sudut Gerobok Rezeki adalah Masjid
Amru Ibni Al'As di Bandar Baru Sentul, yang turut dikunjungi The
Malaysian Insight.
Salah seorang penggunanya adalah seorang suri rumah, Syariza Johari, 33, yang menetap di kawasan Bandar Baru Sentul.
Ibu kepada dua orang anak itu menyifatkan Gerobok Rezeki tersebut sebagai penyelamat bagi golongan yang benar-benar memerlukan.
Kata Syariza, suaminya meraih pendapatan bawah RM3,000 sebulan, tidak
mencukupi untuk menampung perbelanjaan isi rumah empat ahli keluarga
mereka sehingga akhir bulan.
"Saya ambil mungkin dalam hujung bulan atau pada saat-saat yang
betul-betul memerlukan. Sebab saya memang memerlukan ketika itu, duit
tidak mencukupi untuk beli semua keperluan.
"Mungkin ada orang malu (nak minta) tapi bagi saya saat seseorang itu
sangat lapar dan kesusahan dan kita fikirkan pula anak kecil, soal malu
itu kita buang ke tepi," katanya.
Pegawai masjid bertanggungjawab ke atas Gerobok Rezeki di masjid itu
adalah bilal Reza Iskandar yang memerhatikan kalangan penggunanya datang
untuk mendapatkan bantuan makanan di situ ketika hujung bulan.
"Mereka yang datang selalunya daripada golongan anak ramai, asnaf dan gelandangan,” katanya.
Pada kebiasaannya, golongan miskin bandar ini akan mendapatkan
barangan di waktu hujung bulan katanya yang bersyukur kerana rakyat
negara ini amat bermurah hati memberi sumbangan pada Gerobok Rezeki.
Beliau melihat program itu sebagai satu kejayaan apabila melihat
kalangan pengguna yang menikmati bantuan itu kemudiannya dapat
menyumbang semula kepada Gerobok Rezeki.
“Ada satu kes di mana terdapat seorang wanita merayu untuk mengambil
barangan dan akhirnya dia menyumbang semula sebagai tanda terima kasih
atas bantuan," kata Reza.
Tambah Reza, pihak masjid turut merekod butiran penerima bantuan bagi
pemantauan dan mengelak golongan tidak bertanggungjawab mengambil
kesempatan ke atas bantuan berkenaan.
Jelasnya lagi, beliau sering mengingatkan pengguna agar turut
bertimbang rasa bagi membolehkan bantuan itu dinikmati oleh ramai
pengguna.
“Saya selalu pesan ingat orang lain juga. Jadi setiap kali ambil
boleh empat jenis barang saja. Kekerapan pun dalam seminggu mungkin ada
jarak dua, tiga hari dan bergantung kepada jumlah ahli keluarga mereka
dan kesusahan mereka.
"Kalau mereka betul-betul susah sangat, kami akan datang melawat dan pertimbangkan barang untuk mereka," katanya.
Elak salah guna
Mengulas mengenai keadaan itu, pengasas Gerobok Rezeki Mohd Nizam
berkata situasi sama juga dapat dilihat di Masjid Ara Damansara.
"Ada penerima suka ambil kesempatan – ambil berdasarkan nafsu. Ada juga yang tak memerlukan tapi masih nak ambil barang.
“Bila berlaku kes ambil kesempatan, ambil bukan keperluan, penyumbang jadi kecewa dan tawar hati," katanya.
Jelasnya lagi, beliau sering mengingatkan pengguna agar turut
bertimbang rasa bagi membolehkan bantuan itu dinikmati oleh ramai
pengguna.
“Saya selalu pesan ingat orang lain juga. Jadi setiap kali ambil
boleh empat jenis barang saja. Kekerapan pun dalam seminggu mungkin ada
jarak dua, tiga hari dan bergantung kepada jumlah ahli keluarga mereka
dan kesusahan mereka.
"Kalau mereka betul-betul susah sangat, kami akan datang melawat dan pertimbangkan barang untuk mereka," katanya.
Nizam berkata, masjid tersebut hanya membenarkan pengguna mengambil
bantuan selepas waktu solat Zuhur sehingga selepas solat Isyak.
Menurutnya, peraturan itu ditetapkan bagi mengelakkan situasi tidak
diingini seperti kecurian atau salah guna barang, yang pernah dialami
ketika Gerobok Rezeki mula diperkenalkan lebih setahun yang lalu.
"Dulu pernah ada orang ambil barang banyak-banyak, esok pagi dah
licin alamari, dan kita dapat tahu dia nak jual barang-barang itu,"
katanya sambil menunjukkan almari yang dilengkapi besi jeriji.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan