DALAM tampalan di
dinding Facebook saya semalam, saya menulis: “Di Konvensyen Pakatan Harapan
2018. Calon PM: Dr Mahathir Mohamad. Calon TPM: Dr Wan Azizah Wan Ismail.”
Suara penghebah, ((Datuk)
Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH)) tenggelam apabila dewan
persidangan IDCC, Shah Alam, meledak dengan sorak rosai dan tepukan gemuruh perwakilan
disertai dengan asakan para jurugambar media untuk merakamkan “the best shot of
the occasion”.
Tun Dr Siti Hasmah Mohd
Ali menitiskan air mata sambil didakap oleh Dr Wan Azizah. Tetapi bukan Dr Siti
Hasmah seorang yang menitiskan air mata. Ramai yang turut dilanda emosi dan
mengalirkan air mata gembira.
Yang tidak gembira adalah Umno dan Barisan Nasional serta alat-alat propaganda mereka.
Maka tidak hairanlah apabila
seorang laskar siber mereka pantas menjawab tampalan saya dengan komen: “Apa fasal
tidak pilih Dr Chen Man Hin sebagai DPM ll? Umur dia dalam band umur PM pasca
PH menang majoriti PRUXIV nanti.”
Bukan dia sahaja malah
keseluruhan gerombolannya - daripada yang duduk “berwassap” di warung tepi longkang
sambil minum kopi murah hingga yang duduk di kerusi empuk cigar bar sambil menghisap
cerut Cohiba buatan Cuba yang amat mahal harganya - pasti kecewa dengan
perkembangan itu.
Walaupun mereka melambakkan sosial media dengan caci maki dan carta warna-warni memuji kehebatan
Umno-Barisan Nasional, realitinya mereka dilanda ketakutan yang amat
sangat.
Mereka menggeletar dan boleh jadi ada anggota badan mereka yang kecut ibarat lelaki gagah yang tiba-tiba
diserang sindrom koro. Sesiapa yang berminat mengenai sindrom koro boleh baca di sini.
Dua Doktor Dalam Parti
Gandingan dua orang doktor
perubatan itu bererti penjelmaan semula – selepas hampir 20 tahun - gabungan luar
biasa Mahathir-Anwar Ibrahim.
Sebagai seorang yang
bernasib baik (atau buruk) berada dalam kedua-dua era itu (1982-1988 dan
sekarang), saya rasa saya cukup faham dengan sentimen yang melanda Umno-BN dan
rakan pilihan raya mereka, Parti Islam se-Malaysia (PAS) berikutan Konvensyen PH
itu.
Presiden Umno merangkap
Pengerusi BN dan Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung
Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak pasti lebih
daripada sedar implikasi gabungan itu kerana beliau sendiri adalah serpihan era
gemilang Mahathir-Anwar.
Saya berada dalam sidang
akhbar di Jabatan Perdana Menteri lama di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur apabila
Dr Mahathir memperkenalkan Anwar sebagai “the newest member of Umno” (ahli
terbaharu Umno) pada awal tahun 1982.
1982: Sidang akhbar penyertaan Anwas dalam Umno |
Saya berada di Rumah Sabah,
Jalan Ampang pada malam pilihan raya umum 1982 – PRU sulung Dr Mahathir sebagai
Perdana Menteri – apabila beliau menyifatkan kejayaan Anwar merampas Permatang
Pauh daripada PAS sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat tetapi sudah
diterima rakyat.
Malangnya, saya juga
berada di situ apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998.
Seboleh-bolehnya Dr Mahathir tidak mahu memecat Anwar. Tetapi dalam kepanasan
keadaan pada waktu itu, banyak perkara yang sepatutnya berlaku tidak berlaku
dan yang tidak sepatutnya berlaku telah berlaku.
Sedikit sebanyak saya terperangkap
dalam peristiwa itu atas kapasiti saya sebagai Pengarang Kumpulan akhbar-akhbar
berbahasa Inggeris Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) dan “empat budak Melayu”
yang terlibat membuat pembelian pengurusan (management buy-out/MBO) ke atas
NSTP.
Pada tahun 2000 saya meletak jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP kerana saya merasakan bahawa “tuntutan”
oleh sebahagian kepemimpinan Umno mengenai cara menangani “isu Anwar” adalah di
luar kemampuan saya untuk melaksanakannya tanpa mengorbankan idealisme dan etika
kewartawanan.
Janji perpisahan saya kepada
Dr Mahathir apabila saya memaklumkan kepada beliau keputusan saya untuk
meletak jawatan adalah “we shall remain friends” (kita akan kekal bersahabat).
Saya juga berada di situ
apabila Anwar dibebaskan daripada penjara pada tahun 2004 atas keputusan mahkamah.
Saya mengunjungi beliau pada sebelah petang hari beliau dibebaskan dan menulis
sebuah rencana dalam majalah Business Times mengatakan bahawa ini bukan kali
terakhir kita melihat Anwar.
Tetapi apa yang berlaku
semalam adalah lebih daripada “sequel” kepada apa yang selama ini saya labelkan
sebagai “cinta lara Mahathir-Anwar.”
Ia pastinya bukan
mengenai Dr Mahathir dan Anwar semata-mata. Bukan nostalgia tentang hari-hari
yang telah berlalu apatah lagi kerana gilakan kuasa. Dan tidak sekali-kali kerana
cemburukan Najib yang merah bibirnya dan mewah hidupnya.
Ia adalah kemuncak kepada
satu siri percambahan minda, tolak ansur dan pengorbanan yang melibatkan banyak
pihak - daripada kalangan politik kepada badan-badan bukan kerajaan, cendekiawan
dan seorang ilmuwan buta yang dalam kegelapan dunianya percaya wajib ada cahaya
di hujung terowong.
Semua itu atas landasan
dan kesedaran bahawa Malaysia dan rakyat jelatanya perlu diselamatkan daripada pemerintahan
oleh pencuri (kleptokrasi) yang sedang memufliskan negara dan menjadikan Malaysia
negara paria.
Pakatan Harapan adalah
jawapan mutakhir kepada segala percubaan yang sebelum ini menemui jalan buntu –
daripada usaha mengubah dari dalam kepada titah Raja-raja Melayu, undi tidak
percaya dan akhir sekali Deklarasi Rakyat oleh lebih sejuta peserta yang semuanya
dibakulsampahkan oleh Kleptokrat MO1 dan konco-konconya.
Malah melihat kepada apa
yang telah dan sedang dilakukan oleh kleptokrat - daripada melacurkan institusi
pentadbiran kepada menjual dan menggadaikan harta negara, membebankan rakyat
jelata dengan hutang dan cukai, menyogok peneroka Felda dan orang kampung dengan
dedak sambil merompak harta yang diamanahkan untuk mereka, tidur sebantal
dengan Parti Komunis China dan menafikan kuasa Parlimen membincangkan skandal
1MDB – kalau BN menang juga, samalah dengan kita mengucapkan selamat jalan kepada
Malaysia negara tercinta.
Tanah Semenanjung yang dibaratkan
sebagai permata nilam oleh seniman aktivis Aishah dalam dendangannya di konvensyen
semalam akan menjadi permata kaca murahan yang berkecai di lantai menunggu
untuk melukakan kaki anak-anak kecil yang bermain bunga api.
Justeru itu, pilihan
raya kali ini adalah pertarungan rakyat jelata yang tertindas melawan kleptokrasi
Umno-BN yang menindas.
PH hanyalah pemudah cara
bagi rakyat jelata yang pedulikan hari ini dan masa depan mereka, anak mereka
dan cucu-cicit mereka untuk melakukan perubahan.
Wallahuaklam.
0 comments:
Catat Ulasan