Pemimpin BN pun tak percaya Robert Kuok taja DAP

Dua pemimpin BN Johor nampaknya tidak mempercayai dakwaan individu terkaya di Malaysia Tan Sri Robert Kuok memberi dana kepada pembangkang.

Menurut muka depan akhbar China Press hari ini, anggota parlimen Johor Bharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata beliau mengenali Kuok sebagai seorang peniaga yang tidak masuk campur dalam politik.

Katanya, Kuok berasal dari Johor Bharu dan penduduk di sana mengenali keluarganya.

Justeru beliau berkata tidak tahu mengapa anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Tajuddin Abdul Rahman meminta Kuok agar mengenang jasa BN terhadapnya.

"Saya tidak tahu rentetan peristiwa (isu ini). Saya belum baca memoir Kuok...saya tak pasti mengapa Tajuddin meminta Kuok agar tidak menjadi kacang lupakan kulit," katanya.

Selain Tajuddin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri berkata Kuok tidak akan menempa kejayaan seperti hari ini jika bukan peluang yang diberikan kerajaan.

Sebelum ini laman web Malaysia Today milik Raja Petra Kamaruddin mendakwa Kuok menyalurkan dana kepada DAP dan portal The Malaysian Insight bagi tujuan menjatuhkan Umno.

Dua artikel yang diterbitkan laman web itu mendakwa Kuok menjadikan anak saudaranya, James Kuok, sebagai perantara dengan DAP dan menerbitkan gambar pertemuan James dengan sejumlah pemimpin DAP.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong (gambar) pula menyifatkan sumber dakwaan terhadap Kuok iaitu Malaysia Today sebagai tidak boleh dipercayai.

"Apa yang dinyatakan di blog itu hanya putar belit dan tiada bukti. Ia tidak meyakinkan," katanya.
Sehari selepas artikel tersebut diterbitkan, James dalam wawancara bersama Malaysiakini menafikan dirinya menjadi orang tengah antara Kuok dan DAP.

Beliau menjelaskan gambar tersebut diambil di restorannya di Petaling Jaya yang memang sentiasa dikunjungi ramai ahli politik di negara ini.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang juga menafikan menerima "walau satu sen" daripada hartawan itu sepanjang penglibatannya dalam politik.










Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan