Maaf, Azmin bukan badut cuma kenyataannya lawak, jelas AMANAH Selangor

Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim tidak pernah mempertikaikan kelayakan Menteri Besar (MB) Selangor sekarang tetapi menegur keberkesanan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor dalam menangani isu-isu semasa berhubung peranan PH termasuk isu pengagihan kerusi Dun.

Sehubungan itu beliau juga menafikan ada mengeluarkan perkataan “joker” atau badut seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Demikian kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Selangor, Jamzari Ardani dalam satu kenyataan media hari ini.

Apa yang beliau sebutkan kata Jamzari ialah, adalah lawak apabila disebut mesyuarat agihan kerusi sudah berlangsung empat kali dan sudah 80% pembahagian kerusi selesai sedangkan rakan-rakan komponen PH tidak tahu menahu.

“Perkataan “lawak” ini telah ditafsirkan sebagai “joker” atau badut,” katanya.

Menurut beliau lagi, AMANAH pada asalnya sekadar membangkitkan persoalan status penubuhan Jawatankuasa Rundingan Kerusi Dun PH Selangor dengan niat murni agar perkara ini diselesaikan segera melalui proses rundingan yang jelas dan teratur.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa terdapat kekeliruan berkenaan siapa sebenarnya yang diberi mandat untuk membuat rundingan tersebut, katanya.

“Rata-rata berfahaman bahawa peranan Biro Pilihan Raya hanyalah dalam menguruskan persiapan pilihan raya PH.

“Justeru, perkara ini dibangkitkan, bukan sahaja di dalam mesyuarat tetapi juga secara surat bertulis kepada Pengerusi PH.

“Sejak dari awal Biro Pilihan Raya bermesyuarat, persoalan mandat ini dibangkitkan dan tiada jawapan yang jelas. Jadi kalau 10 kali mesyuarat sekali pun, tiada ertinya sekiranya persoalan asas ini tidak diputuskan dengan jelas,” katanya lagi.

Tuduhan YB Zuraida Kamarudin yang mengatakan AMANAH membangkitkan isu ini berkali-kali di media adalah juga tidak benar, sambungnya.

“Perkara ini hanya dibangkitkan sekali sahaja di media apabila wartawan bertanya kepada saya berkenaan status rundingan kerusi di Selangor di mana saya menjawab Jawatankuasa Rundingan Kerusi masih belum ditubuhkan.

“Pihak AMANAH telah menghantar surat meminta Jawatankuasa Khas ini dibentuk segera memandangkan Majlis Presiden sendiri yang memberikan tarikh akhir rundingan pada 31 Januari 2018, sebelum diberi tempoh tambahan sehingga 7 Februari 2018 sepertimana keputusan di dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan yang terakhir awal minggu ini,” katanya.

Setakat ini kata beliau, Pengerusi Biro Pilihan Raya PH Selangor, YB Dr Xavier Jeyakumar tidak pernah dapat membuktikan bahawa biro yang dipengerusikan oleh beliau telah mendapat apa-apa mandat secara konsensus daripada pimpinan PH sama ada di peringkat Negeri Selangor mahupun di peringkat Nasional untuk membincangkan agihan kerusi Dun di Selangor.

“Ia tidak pernah diputuskan di dalam mana-mana mesyuarat. Tanpa mandat yang jelas, rundingan yang panjang akan menjadi sia-sia kerana keputusan itu boleh dipertikaikan semula nanti.

“Atas alasan itulah maka AMANAH mengambil sikap proaktif membangkit persoalan mandat.
“Ianya bukan soal nama jawatankuasa seperti yang dinyatakan oleh YAB Dato Seri Azmin Ali, tetapi lebih kepada persoalan mandat.

“Kami telah merujuk kepada rakan-rakan komponen PH lain di Selangor dan masing-masing juga keliru berkenaan jawatankuasa sebenar yang diberi mandat untuk merunding agihan kerusi tersebut.
“Ini bukan persoalan perebutan kerusi seperti yang cuba didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi lebih kepada persoalan membaiki proses rundingan dan penentuan mandat yang jelas,” jelas beliau.

Jamzari berkata, pihaknya berharap agar semua pihak tidak bertindak menyerang rakan sendiri kerana ia akan membawa kepada serangan balas pihak yang diserang.

“Kita perlu tumpukan kepada usaha memperkasakan PH bagi menghadapi musuh utama Barisan Nasional (BN) dan sekutu mereka supaya Selangor dapat dipertahankan dan Malaysia diselamatkan.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan