'Masya-Allah apa kena mengena politik dan isteri?'

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria mempersoalkan tindakan PAS yang ingin melaksanakan sumpah baiah menjelang pilihan raya umum ke-14.

Menurut Harussani lafaz sumpah yang hanya melibatkan janji bersama parti politik dibenarkan, namun yang menjadi persoalan ialah sekiranya ia melibatkan lafaz cerai isteri, lapor Sinar Harian.
“Masya-Allah apa kena mengena politik dan isteri?

“Tak sepatutnya wujud taklik lafaz cerai terhadap isteri, kalau nak berpolitik boleh, tak salah tapi sehingga ceraikan isteri, apa benda?

“Kalau nak baiah atau janji untuk tidak menentang, tidak belot kepada perjuangan parti politik itu boleh,” katanya yang dipetik daripada laporan akhbar berkenaan.

Harussani berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Majlis Syura Ulama PAS Sabtu lalu yang menetapkan untuk mengekalkan lafaz sumpah baiah kepada calon mereka menjelang pilihan raya akan datang.

Pada Sabtu lalu, Berita Harian melaporkan, Majlis Syura Ulama akan selaraskan sumpah baiah semua calon yang bertanding pada pilihan raya ke-14.

Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sebarang penambahan termasuk lafaz taklik penceraian talak tiga bergantung kepada keperluan dan ia akan diteliti sebelum dimuktamadkan.

Kata Nik Zawawi lagi, setiap calon- termasuk yang bukan beragama Islam yang bertanding menggunakan nama PAS juga perlu melafazkan baiah atau sumpah taat setia sebagai janji untuk mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan parti.

"Begitupun, lafaz baiah akan diselaraskan, hanya akan ada satu lafaz kecuali sekiranya ada keperluan yang difikirkan perlu bagi negeri tertentu maka Majlis Syura Ulama membenarkan kepada mereka (PAS negeri) untuk membuat sebarang penambahan.

"Namun, sebarang penambahan kepada baiah (termasuk taklik perceraian talak tiga) perlu dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama dan majlis akan meneliti sama ada ia perlu atau tidak sebelum dimuktamadkan," katanya yang dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, laporan media menyebut PAS mungkin mengkaji semula baiah dalam kalangan calon pilihan rayanya selepas timbul kontroversi terutama membabitkan taklik talak tiga.









Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan