Muak PAS berpecah, rakyat Kelantan mahu BN, kata Mustapa

KOTA BARU,  — Rakyat Kelantan semakin jelas mahukan kerajaan Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir negeri ini dengan harapan berlakunya perubahan yang lebih baik, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ia disebabkan rakyat negeri ini sudah sedar kerajaan Kelantan pimpinan PAS  tidak berjaya melakukan perubahan kepada negeri itu sebagaimana yang diimpikan mereka.

“Mereka (rakyat) ingin melihat BN mengambil alih untuk melakukan perubahan dan membela mereka.

“Tempoh 28 tahun PAS memerintah tidak banyak perubahan, maka kami BN bekerja keras membela rakyat Kelantan termasuk melalui PRU14 (Pilihan raya Umum Ke-14) akan datang,” katanya kepada pemberita selepas program Sepetang Tok Pa (Mustapa) Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di sini, hari ini.

Pada program tersebut seramai 36 NGO di negeri ini hadir beramah mesra bersama Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mustapa berkata terdapat ramai di kalangan penyokong PAS menyatakan kesediaan untuk bersama-bersama dengan BN melakukan perubahan kepada negeri itu.

“Mereka sudah muak dengan perpecahan antara PAS dan Amanah (Parti Amanah Negara) yang semakin hebat serta tidak  memberikan keuntungan kepada rakyat dan kita berterima kasih ke atas kesediaan  mereka itu. Mereka tidak perlu menjadi anggota Umno, namun apa yang penting undi BN apabila tiba masanya nanti (PRU14),” katanya.

Katanya berikutan tanda perubahan yang semakin hari semakin hebat, Umno di Kelantan akan terus berusaha untuk melakukan perubahan yang diimpikan rakyat itu.

Sementara itu, Mustapa berkata NGO di Kelantan turut mempunyai peranan besar dalam menyampaikan  mesej  perubahan kepada rakyat negeri itu untuk memberikan sokongan kepada BN pada PRU14.

“Beberapa NGO telah menjelajah ke seluruh negeri ini untuk menyampaikan perubahan yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan BN di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata mesej yang disampaikan itu cukup memberikan kesan dan kesedaran kepada rakyat untuk menyokong BN melakukan perubahan termasuk pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan