Umno tak pernah berbalah dengan Pas


BACHOK – Umno Kelantan tidak pernah berbalah dengan Pas sejak dari dahulu lagi dan sentiasa memegang asas untuk berbuat baik kepada semua orang.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, BN mempunyai 13 parti komponan dan tidak pernah berbalah dengan mereka mahupun berbeza agama.

Beliau percaya, jika sentiasa berbuat baik dengan sabar ia akan membawa keberkatan seperti mana BN kekal memerintah negara hari ini.

“Kalau dengan yang bukan Islam pun kita berbaik tak kan dengan parti Islam kita nak bergaduh. Kita tak pernah berbalah dengan Pas, tak pernah kata yang bukan- bukan terhadap Pas Hanya mereka (Pas) sahaja tak mahu berbaik.

“Asas kita ialah sentiasa berbuat baik seperti mana yang kita buat di Kelantan iaitu bina sekolah, hospital, buat jalan, buat lebuh raya, beri bekalan air dan sebagainya.

"Bila kita buat baik dengan sabar, lama-lama orang akan baik dengan kita. Kitaorang Melayu tak boleh berpecah terutamanya dalam perkara asas seperti agama, Raja- Raja Melayu, hal tanah dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan hadirin mengenai hubungan Umno dan Pas di Kelantan, pada majlis Bicara minda dan sesi dialog perjuangan ‘For All’ di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok malam tadi.

Manakala, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa ketika mengendalikan sesi bicara itu berkata, kini ancaman fitnah semakin menular untuk membentuk persepsi negatif melalui media baru yang menjadi dimiliki semua orang.

Beliau berkata, ia menjadi kempen mudah untuk membenci dan membina gambaran negatif seperti mana yang berlaku terhadap kepimpinan BN.

“Pelbagai isu ditimbulkan di media maya untuk mengutuk kepimpinan BN termasuk isu RM2.6 bilion. Nama negara Arab Saudi tidak boleh dipergunakan sesuka hati dan jika itu berlaku tentu hubungan diplomatik antara negara akan rosak.

“Datuk Seri Najib mempunyai hubungan baik dengan Raja Salman dan diundang untuk ke Mekah, boleh masuk kaabah dan ziarah makam Rasulullah. Saya percaya Perdana Menteri antara yang rapat dengan Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Sesi bicara minda itu turut melibatkan dua ahli panel lain iaitu Ahli Parlimen Pendang, Kedah, Datuk Seri Othman Abdul dan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Manakala, Ahli Parlimen Pendang, Kedah, Datuk Seri Othman Abdul yang berjaya mengalahkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu (ketika itu Timbalan Presiden Pas) pada PRU13 berkata, ahli Umno perlu berhati kental seperti mana  Khalid al Walid, yang walaupun dipecat dalam perang oleh Saidina Umar al Khatab, namun dia tetap setia.

“Sama macam sayalah dulu zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya direhatkan 10 tahun. Itu kehendak ALLAH S.W.T. Kita kena patuh, jangan berkelahi sesama sendiri, jangan kafir mengkafir sesama sendiri. Orang Islam yang baik yang mensejahterakan orang Islam lain melalui lidah dan tangannya,” tegasnya.

Program yang berlangsung dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam itu turut dihadiri Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Ilias Husain dan Naib Ketua Umno Bahagian Bachok, Mohd Radzuan Hamat serta kepimpinan Umno empat peringkat.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan