Seramai 113 peneroka di bawah Rancangan Revolusi Hijau Peringkat II
dan II di Bukit Cerakah, Kuala Selangor hari ini memfailkan saman
terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan lima
yang lain atas dakwaan cuai menstrukturkan persetujuan penghakiman di
Mahkamah Persekutuan membabitkan tanah di rancangan berkenaan.
Dalam tuntutan saman tersebut, kumpulan peneroka berkenaan yang
diketuai Mohd Fadzil Ibrahim selaku plaintif, turut menamakan Kerajaan
Negeri Selangor, Menteri Besar Pemerbadanan (Menteri Besar Incorporated)
(MBI), Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah Daerah Kuala
Selangor, dan Pendaftar Hakmilik Negeri Selangor sebagai defendan.
Saman itu difailkan menerusi Tetuan Kamarudin & Partners di Kompleks Mahkamah Shah Alam, kira-kira 10 pagi.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif antara lain mendakwa, pada
2016 suatu Perintah Persetujuan telah direkodkan di Mahkamah Persekutuan
antara Kerajaan Negeri Selangor dengan tiga syarikat pemaju, Mujur
Zaman Sdn Bhd (MZSB), Liputan Canggih Sdn Bhd (LCSB), dan LBCN
Development Sdn Bhd, di mana plaintif tidak bersetuju serta tidak
dimaklumkan terma-terma terkandung dalam perintah persetujuan itu.
Menurut plaintif, di bawah perintah persetujuan tersebut, Mohamed
Azmin dan kerajaan negeri telah membenarkan MZSB dan LCSB terus memegang
tanah-tanah berjumlah kira-kira 800 hektar (2,000 ekar) yang terkandung
di bawah ketiga-tiga perjanjian jual beli antara kedua-dua syarikat
berkenaan dengan Paragon Pinnacle Sdn Bhd.
Melalui ketiga-tiga perjanjian jual beli bertarikh 22 Sept 2015 itu,
MZSB dan LCSB telah menjual tanah Bukit Cerakah seluas kira-kira 800
hektar yang terletak di mukim Ijok tersebut kepada Paragon Pinnacle
dengan harga RM943,791,639.
Perintah persetujuan itu bagaimanapun tidak terikat kepada baki 400
hektar daripada keseluruhan 1,200 hektar tanah Bukit Cerakah berkenaan
yang menurut plaintif, telah diberikan oleh kerajaan negeri di bawah
pentadbiran Barisan Nasional (BN) kepada plaintif bersama 987 peneroka
lain, di bawah Rancangan Revolusi Hijau Bukit Cerakah Peringkat II dan
III pada 1998.
Plaintif seterusnya mendakwa kerajaan negeri telah memindahkan baki
tanah seluas kira-kira 400 hektar (1,000 ekar) itu tanpa balasan kepada
MBI dan maklumat berkenaan tanah itu ada dalam rekod MBI serta pendaftar
hakmilik negeri Selangor.
Plaintif mendakwa, tindakan Mohamed Azmin dan kerajaan negeri
membenarkan kira-kira 800 hektar tanah Bukit Cerakah terus dipegang oleh
MZSB dan LCSB merupakan satu pengakuan bahawa kerajaan negeri telah
tersilap langkah dalam tindakan untuk mengambil alih tanah berkenaan
walaupun berjaya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Plaintif juga menuntut hak ke atas baki tanah Bukit Cerakah seluas
400 hektar yang masih dalam pegangan MBI dan menegaskan tidak pernah
hilang milikan ke atas 400 hektar tanah itu berikutan plaintif hanya
menandatangani perjanjian pengurusan dengan MZSB dan LCSB pada tahun
2000 bagi membolehkan kedua-dua syarikat itu menguruskan pembangunan di
tanah berkenaan.
Plaintif seterusnya mendakwa Mohamed Azmin bersama kerajaan negeri
dan MBI telah melakukan kesalahan ‘tort misfeasance’ dengan mengambil
alih tanah seluas 400 hektar berkenaan daripada keseluruhan tanah Bukit
Cerakah tanpa membayar sebarang pampasan kepada plaintif hingga
mengakibatkan plaintif mengalami kerugian.
Dalam perintah persetujuan dengan MZSB dan LCSB, Mohamed Azmin dan
kerajaan negeri juga didakwa secara salah laku gagal memelihara
kepentingan plaintif iaitu tiada langkah diambil untuk membayar faedah
kelewatan menyiapkan rumah teres dua tingkat bernilai RM180,000 yang
telah dijanjikan oleh kedua-dua syarikat itu kepada plaintif sebagai
balasan membenarkan mereka menguruskan pembangunan tanah itu.
Sehubungan itu, plaintif menuntut daripada kerajaan negeri Selangor dan
MBI suatu deklarasi bahawa plaintif dan peneroka-peneroka Revolusi Hijau
Bukit Cerakah Peringkat II dan III adalah berhak ke atas 400 hektar
tanah Bukit Cerakah yang didaftarkan atas nama MBI selain deklarasi
bahawa kerajaan negeri dan MBI memegang 400 hektar tanah berkenaan
sebagai pemegang amanah kepada plaintif serta peneroka-peneroka
berkenaan.
Plaintif juga menuntut suatu perintah melarang kerajaan negeri dan
MBI daripada melaksanakan sebarang urusan ke atas tanah berkenaan,
faedah atau ganti rugi penyerahan rumah secara lewat sebanyak RM230,000
setiap plaintif, kerajaan negeri membayar ganti rugi kepada plaintif,
faedah pada kadar lima peratus dari tarikh pemfailan sehingga
penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh
mahkamah.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman
Dahlan mendesak Mohamed Azmin memberikan penjelasan berhubung tindakan
tergesa-gesa kerajaan negeri Selangor menyerahkan tanah itu kepada MZSB
dan LCSB pada 2016 tanpa menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah
Persekutuan.
Beliau mempersoalkan justifikasi Azmin tidak menunggu kes berkenaan
dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan keputusan Mahkamah
Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan 2014 memihak kepada kerajaan
negeri dalam kes mengambil alih semula tanah daripada dua syarikat
berkenaan.
Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan turut membuat laporan
kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi meminta siasatan
dijalankan berhubung isu tanah tersebut.
Pada 2008, kerajaan negeri Selangor yang ketika itu di bawah
kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengambil
alih semula tanah seluas kira-kira 880 hektar yang dimiliki dua syarikat
berkenaan kerana pelanggaran syarat dan terma perjanjian. -Bernama
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan