Lewat lulus pendaftaran, mahkamah benar PH cabar kerajaan

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Pakatan Harapan (PH) mencabar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) susulan kelewatan meluluskan permohonan pendaftaran gabungan itu untuk pilihan raya umum akan datang.

Peguam mewakili gabungan pembangkang, Gobind Singh dan Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita perkara ini selepas Hakim Datin Azizah Nawawi memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman di kamarnya.

“Kami memfailkan semakan kehakiman untuk mendesak JPPM memberi respons berkenaan pendaftaran kami dan kami juga mahu mendesak mereka mendaftarkan PH seperti mana dalam permohonan.

“Mahkamah membenarkan kami mencabar JPPM dan menetapkan 15 Mac. Kami akan meminta tarikh pendengaran lebih awal memandangkan pilihan raya semakin hampir,” kata Gobind.
Tambahnya, keputusan mahkamah selepas pendengaran penuh penting kepada pembangkang dalam mempersiapkan diri untuk pilihan raya.

Gobind juga berkata Jabatan Peguam Negara membantah bida mereka untuk memperoleh kebenaran mahkamah tetapi mahkamah menggugurkan bantahan mereka.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Setiausaha Agung PH, Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Salleh, Timbalan Setiausaha Agung Amanah, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Pengerusi DAP Tan Kok Wai.

Pada 21 Februari lalu, PH memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi terhadap JPPM bagi mendesak badan itu menjawab pernyataan tentang status permohonan pendaftaran gabungan parti pembangkang itu.

Gobind berkata tindakan berdiam diri di pihak JPPM boleh dianggap “mala fide” (berniat jahat) dan berkata dengan permohonan ini badan itu akan terpaksa menjawab pertanyaan mereka.

“Tiada sebab untuk JPPM melewatkan pendaftaran PH.”

Tindakan itu difailkan secara bersama oleh Saifuddin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Ahmad Kerdee dan Shahruddin.

Pembentukan PH diumumkan tahun lepas. PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, dan PPBM.

Parti-parti itu berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bawah satu logo.
Bulan lepas, gabungan itu menamakan bekas perdana menteri yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada PRU14.

JPPM sebelum ini berkata kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama serta pertikaian tentang status jawatankuasa eksekutif pusat DAP antara sebab kelewatan itu.

Bagaimanapun, PPBM sudah mengadakan mesyuarat agung tahunan dan ia tidak dipertikaikan JPPM, dan JPPM juga sudah mengiktraf barisan baharu kepimpinan DAP.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan