PADA mulanya, Ahmad Lutfi Othman bercadang mahu menulis sendiri
memoirnya, terutama menyentuh pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia
penerbitan dan kewartawanan. Namun faktor keuzuran membataskannya.
Untuk mendekati sosok yang ternyata telah menempuh pelbagai cabaran
dan tekanan ini – bermula sebagai aktivis kampus, penulis buku, wartawan
atau editor untuk majalah serta tabloid politik, juga bertindak sebagai
penerbit yang ditakuti KDN – bekas pengarang Merdeka Review edisi
bahasa Melayu, Lim Hong Siang berpeluang menemubual Ahmad Lutfi, di
kediamannya, Taman Bukit Ampang, Selangor pada April 2016.
Mengapa saudara memilih pena sebagai senjata dalam perjuangan
politik? Apakah ia memberi kelebihan kepada saudara, atau dalam konteks
masyarakat yang kurang membaca, malah mungkin lebih tertarik atau
terpukau dengan karisma berpidato, sedangkan penulisan sebenarnya agak
terhad pengaruhnya?
Minat terhadap dunia penulisan bermula sejak kecil. Saya kagum bagaimana
seorang penulis boleh menghasilkan buku yang tebal, ratusan halaman,
dengan susunan kata yang menarik, bahasa yang indah, dapat menarik emosi
pembaca, boleh menyebabkan kita menangis dan ketawa. Mampu membakar
semangat dan menyuntik inspirasi.
Saya terdorong untuk meniru gaya bahasa mereka, menyalin patah-patah
perkataan yang memukau. Tentu sekali bermula dengan bermain-main
mencipta sajak, yang tidak pernah menjadi sampai hari ini. Ya, saya
tertarik sekali dengan kuasa luar biasa yang ada pada bahasa. Ia bagai
satu misteri. Di rumah saya, di Kampung Raja, Jitra, koleksi buku-buku
yang ditinggalkan abang sulung, Dinsman, cukup memadai untuk ditelaah.
Ditambah kumpulan buku seorang lagi abang, Adnan. Ada banyak novel yang
baik, seingat saya, seperti Desa Pingitan karya Ibrahim Omar, Subuh
(Atan Long), Musafir (Hasan Ali), Atheis (Achdiat K Mihardja), Keluarga
Gerilya (Pramoedya Ananto Toer), Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
(Hamka), juga novel-novel Shahnon Ahmad dan A Samad Said, serta
cerpen-cerpen Azizi Haji Abdullah. Ada majalah-majalah yang bagus,
seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan yang paling terkesan,
majalah Dian, dalam tulisan jawi, yang memuatkan artikel-artikel
bermutu, termasuk mengupas isu-isu antarabangsa dan konflik serantau,
misalnya imperialisme Amerika Syarikat di Vietnam. Saya masih ingat,
pernah disiarkan skrip opera Cina, tentang kisah raja zaman silam,
begitu panjang sekali, mungkin hampir 40 muka, tetapi amat menarik.
Saya juga terjumpa koleksi guntingan daripada akhbar lama. Cerpen dan
sajak yang difail rapi Dinsman, begitu juga manuskrip dramanya, seperti
Jalan Pulang, yang dihasilkan semasa menuntut di Maktab Mahmud, Alor
Setar, pada akhir tahun 60-an. Namun, apa yang lebih merangsang minat
menulis adalah kelemahan saya dalam bertutur. Semasa belajar sekolah
rendah di kampung berdekatan, Pulau Timbul, khususnya dalam Darjah 6,
saya mula berdepan masalah gagap. Bukan saja sukar bercakap tetapi
menimbulkan rasa rendah diri yang keterlaluan.
Ditambah dengan perwatakan semulajadi sebagai pendiam, dunia terasa
kecil dan menghimpit. Saya juga dikecualikan daripada mengambil aktiviti
yang melibatkan pertuturan. Dalam peperiksaan SRP di Tingkatan 3, pada
tahun 1978, saya dikecualikan daripada ujian lisan bahasa Inggeris.
Masalah ini berterusan sehinggalah saya melanjutkan pelajaran di
Universiti Teknologi Malaysia. Dunia yang terasa kecil itu menjadi luas
apabila saya dapat mencurahkan isi hati melalui tulisan. Minat terhadap
pergolakan politik saya luahkan melalui pena.
Di kampus Jalan Gurney itu, di kaki lima jalan menuju perpustakaan,
tabloid politik yang saya tunggu-tunggu pada setiap keluaran mingguannya
adalah Mingguan Bumi, terbitan Allahyarham Pak Hussein Yaakob, Mingguan
Tanahair, Allahyarham Ikhwan Nasir, dan Watan di bawah syarikat
Karangkraf, selain majalah bulanan Sarina, yang diterbitkan Amir
Enterprise.
Bukan sekadar untuk mengetahui isu-isu terbaru dan komentar menarik, tetapi untuk memastikan apakah tulisan saya disiarkan.
Puas bila dapat membaca tulisan sendiri. Berbekalkan keratan artikel
itulah, saya fotostat banyak-banyak dan sebarkan bila saya berkempen
sebagai calon pilihan raya kampus, pertama kali pada tahun 1984, untuk
kerusi Fakulti Kejuruteraan Awam, semasa dalam tahun keempat. Saya
berkempen tanpa menggunakan lisan.
Alhamdulillah, menang, walaupun saya tidak pernah muncul berucap di
hadapan khalayak, seperti calon-calon lain. Saya dilantik menjadi Exco
Penerbitan, yang kemudiannya mengendalikan majalah persatuan, Nada
Kampus dan Suara Siswi. Mungkin ada yang pelik, bagaimana saya boleh
bekerja berkali lipat dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan penerbitan?
Jawabnya, itulah kemampuan yang saya ada apabila dilanda masalah gagap.
Dengan menulis, kita tidak ada batasan masa dan ruang seperti berpidato.
Cuba bayangkan, kalau saya tak mampu bercakap dan juga tak boleh
menulis, bagaimana mahu meluahkan apa yang terpendam di hati dan terbuku
di dada? Dan saya perlahan-lahan menjadi syok sendiri dengan dunia saya
yang sunyi itu (ketawa).
Mengapa saudara memilih PAS sebagai wadah perjuangan, bukan Umno? Dan
mengapa saudara masih berada dalam PAS sehingga hari ini, meskipun
mempunyai alternatif seperti KeADILan, Amanah malah DAP?
Keluarga saya, dan masyarakat di kampung kelahiran saya, hampir semuanya
penyokong kuat PAS. Pada tahun 1969, saya berumur 6 tahun, tapi sedikit
sebanyak dapat merasai keseronokan orang kampung bila mereka dapat
mengalahkan calon Perikatan, yang juga seorang menteri, Senu Abd Rahman.
Faktor persekitaran seolah-olah tidak memberi ruang saya untuk memilih
parti selain PAS. Menyokong parti Islam adalah tuntutan agama yang tiada
pilihan. Ia diterapkan juga melalui kuliah-kuliah agama.
Datuk saya, Haji Baharom Taib, iaitu ayah bapa saya, setiap kali
bertandang ke rumahnya, mesti bermukadimah dengan khutbah ringkas, wajib
menyokong parti Islam.
Politik tidak boleh dicerai-tanggal daripada penghayatan agama. Dalam
masa sama, Umno dilihat berdolak-dalik untuk menerima Islam sepenuhnya,
membiarkan arak dan judi berleluasa, dan alasan paling besar, menolak
undang-undang Islam.
Datuk saya itu sentiasa membuka lembaran kitab lama, rasanya syarah
seorang bekas mufti Turki, yang dibacanya berulang-ulang apabila kami
bersembang.
Jadi, keyakinan saya terhadap PAS sentiasa disuburkan. Kepada
rakan-rakan di sekolah, kampus dan sehingga menjadi wartawan dan penulis
buku politik, saya dianggap “budak PAS”. Biarpun saya banyak mengulas
isu-isu dalaman Umno, terutama dalam tempoh 1992-98, saya tetap dilihat
fanatik PAS.
Dan saya tidak kekok dengan tanggapan begitu. Malah saya berbangga
dengan PAS, walaupun ketika PAS kalah paling teruk, misalnya dalam
pilihan raya negeri Kelantan, Mac 1978 dan pilihan raya Parlimen 1986.
Melalui tulisan, dengan pendekatan tersendiri, saya sentiasa mempromosi,
mempertahan dan mahu mengembangkan PAS.
Ya, mungkin ada ahli dan pimpinan PAS yang tidak begitu berkenan dengan
gaya tertentu saya, tapi niat saya semata-mata berkempen untuk parti
Islam. Itukan perkara biasa, saya pun tidak bersetuju sepenuhnya dengan
cara mereka.
Tetapi, apabila saya ditimpa keuzuran serius, bermula akhir 2014, saya
seperti tidak akrab lagi dengan PAS. Banyak perkembangan baru, terutama
pergolakan dalaman, yang saya tidak arif mengenainya.
Saya tidak begitu faham krisis pemilihan menteri besar Selangor
menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya seperti terpinga-pinga dengan
konflik serius yang membahagikan PAS kepada dua kumpulan, menjelang
muktamar 2015.
Saya cukup terkejut dengan fenomena baru melanda parti yang saya dukung sejak di bangku sekolah rendah itu.
Saya seperti tidak lagi mengenali watak dan budaya PAS. Harakah, yang
saya terajui untuk kali kedua, bermula 2006, juga tidak seperti dulu.
Serba-serbi macam tidak kena aja. Dalam waktu sakit berpanjangan itu,
saya kurang bertemu pimpinan parti, termasuk rakan-rakan saya yang
memegang jawatan strategik. Terkejut juga bila tertubuh parti baru,
Amanah, yang kebetulan dipimpin oleh mereka yang agak rapat dengan saya.
Ramai kenalan dekat memilih bersama Amanah, tetapi saya masih dengan
PAS, masih di Harakah walaupun tidak lagi di bahagian editorial.
Saya amat menghargai peranan dan sumbangan besar KeADILan dan DAP.
Hubungan saya masih baik dengan pimpinan dan aktivis parti berkenaan.
Dan saya harap ia berterusan.
Sehingga kini saya masih tidak faham mengapa Pakatan Rakyat harus
dibubarkan. Saya tidak faham bagaimana hubungan PAS dan DAP boleh
diputuskan, ketika rakyat menaruh harapan besar buat kerajaan alternatif
menggantikan kerajaan korup Umno-BN.
Masalah penglihatan saya, sehingga menyebabkan begitu sukar membaca,
menghalang saya daripada mendapatkan informasi secukupnya tetapi naluri
saya tetap merasakan cukup banyak yang tempang dan pincang dalam
pembangkang sekarang.
Dan paling malang apabila saya dihadapkan dengan seribu satu soalan
mengenai sikap dan pendirian PAS, yang saya sendiri tidak faham itu.
Saya menjadi lebih kecewa dengan prestasi jualan Harakah sekarang,
mungkin kerana laporannya terhad kepada kegiatan parti sendiri sahaja,
tidak lagi mencakupi parti-parti pembangkang yang lain.
Zaman siswa
Mengimbas kembali zaman siswa, bagaimana saudara menilai diri saudara
pada ketika itu? Adakah saudara terlalu berdarah panas, atau itu
sesuatu yang lumrah untuk anak muda pada usia itu dan dalam zaman itu?
Malah, lebih penting, apakah saudara masih memegang pendirian yang sama
tentang isu yang diperjuangkan ketika itu?
Lumrah anak muda memang berdarah panas, berkobar-kobar semangatnya,
tangkas dan lincah aksinya, kaya dengan idealisme. Saya sentiasa
menganggap mahasiswa adalah jurubicara masyarakat dan golongan yang
tiada berkepentingan, sentiasa resah gelisah dengan persekitarannya,
tidak takut bereksperimen.
Gerakan pelajar harus menjadi satu kuasa pengimbang yang digeruni elit
pemerintah. Mereka lantang bersuara bagi pihak tertindas. Zaman saya
sinonim dengan semangat Revolusi Islam Iran dan popular dengan
perjuangan golongan mustadhafin melawan mustakbirin.
Namun, saya tidak pula menganggap diri saya sarat dengan ciri-ciri anak muda seperti itu.
Ya, saya pendiam, gagap dan sukar bercakap, justeru tidak pandai
bergaul, masih dibelenggu rasa rendah diri. Tapi bila saya tersentuh
dengan sesuatu isu tertentu, misalnya pengharaman purdah pada 1984, saya
tidak boleh tanganinya secara main-main. Saya rasa tidak memadai dengan
hantar sekali dua surat bantahan atau panggil sidang akhbar.
Bila program mahasiswa disekat sewenang-wenangnya, saya tidak boleh
membatu, diam. Sekurang-kurangnya mesti luahkan amarah itu.
Beritahu dunia kita tidak suka dan serentak itu, apa pula syor kita.
Begitu juga dengan Akta Universiti yang diberi janji demi janji oleh
menteri, Anwar Ibrahim waktu itu, akan dirombak, sedangkan satu
perenggan pun tidak diusik. Negatifnya, dengan sikap saya itu, tidak
banyak isu-isu masyarakat di luar yang dapat diperjuangkan kerana sibuk
dengan hal-hal dalaman kampus.
Saya pula obses dengan isu-isu tertentu sahaja, sehingga terabai hal-hal
lain. Apa pun saya bersyukur, selain tangani isu, kami serius
menganjurkan program Islami, untuk mendidik ke arah penghayatan hidup
beragama secara syumul. Mempersiapkan anak muda kampus dengan akhlak
Islam.
Asas kami bergerak adalah prinsip amar makruf nahi mungkar, berusaha berbuat baik sebanyak-banyaknya.
Ada salah tanggapan yang mendakwa kami sama sekali menolak bentuk
hiburan di kampus, misalnya menganjurkan tunjuk perasaan membantah
konsert. Selain mahukan kehidupan warga kampus dipandu akhlak yang baik
dan cuba mengelak aktiviti negatif, kami membantah sikap double standard
atau berpilih-pilih universiti dalam meluluskan program.
Kegiatan yang mencerdaskan minda, memurnikan rohani, mencelikkan akal,
seperti forum, ceramah dan seminar berdepan kesulitan untuk diluluskan,
apatah lagi jika melibatkan tokoh-tokoh yang tidak disenangi pemerintah,
sedangkan program konsert mudah pula dilepaskan.
Bagi saya, mahasiswa sudah terlalu dewasa untuk memilih skop aktiviti yang pelbagai untuk manfaat mereka.
Berikan ruang kebebasan itu. Hatta, pilihan raya kampus biar mereka
sendiri uruskan. Tak perlulah lagi wujudnya Hal Ehwal Pelajar yang
membazir itu. Kini, mahasiswa berdepan zaman yang lebih mencabar.
Negara tidak pernah melalui zaman gelap seperti ini.
Kemungkaran ekonomi dan politik di mana-mana, skandal kewangan bersilih
ganti. Rakyat bawahan hidup melarat, baik di pinggir bandar atau di
tengah kota, apatah lagi di ceruk kampung. Hampir tidak nampak mekanisme
penyelesaian di atas segala krisis besar itu. Semua institusi penting
dan strategik, seperti SPRM, SPR, Peguam Negara, PDRM, kehakiman
dilumpuhkan. Media disekat dan dikawal ketat. Ini cabaran besar gerakan
pelajar dan warga kampus umumnya, termasuk para pensyarah.
Saudara pernah bertembung dengan Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim
pada zaman siswa. Barangkali saudara boleh menceritakan perbezaan
pendekatan kedua-dua tokoh ini berdepan dengan siswa ketika menyandang
jawatan Menteri Pelajaran.
Semasa memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UTM, saya
melalui dua zaman, Abdullah dan Anwar. Berdepan isu pemecatan mahasiswa
purdah, PMUTM mengadakan pertemuan awal dengan Pak Lah. Majlis yang
dimulai makan malam itu berjalan penuh mesra dan harmonis.
Watak Pak Lah nampak cool, tidak suka bertembung dan mengelak
konfrontasi. Pak Lah mendengar dengan cermat hujah dan permintaan kami,
tidak suka mencelah dan meminimumkan rasa kurang senang pimpinan
pelajar. Kami rasa tidak tertekan langsung.
Sedangkan sebelum pertemuan, kami sudah rancang untuk menekan Pak Lah, tapi akhirnya samasama senyum simpul tanda berpuas hati.
Sekurang-kurangnya dalam isu purdah itu, walaupun isu-isu lain seperti
hak dan kebebasan berpersatuan tidak diberi jaminan positif.
Apabila Anwar yang dilihat lebih dekat dengan Perdana Menteri, Dr
Mahathir Mohamad, menjadi Menteri Pendidikan, melalui Barisan Bertindak
Mahasiswa Negara (BBMN) saya bersama rakan-rakan pimpinan tertinggi
kampus lain, dengan cepat mengatur pertemuan.
Sebenarnya, berbanding Pak Lah, perbincangan bersama Anwar lebih
bersifat dua hala, tidak begitu formal suasananya. Cuma, Anwar nampak
mudah tersentuh dan pantas memberi reaksi. Lagipun, harapan pelajar
cukup tinggi untuk Anwar membuat perubahan.
Kami masih menghormati idealisme Anwar semasa memimpin gerakan mahasiwa
dan pertubuhan belia dulu. Dengan itu, seakan-akan terserlah sikap Anwar
yang berdolakdalik. Sesekali kami meninggikan suara dan begitu juga
Anwar.
Dia dilihat mengkhianati perjuangan yang diasaskannya sendiri. Bukankah
Anwar mula membina nama besar semasa menggerakkan mahasiswa Universiti
Malaya pada akhir 60-an dan disegani sewaktu mengetuai ABIM tidak lama
kemudian?
Apakah pengalaman sebegitu menanam benih sehingga saudara dilihat bersikap lebih kritikal terhadap Anwar Ibrahim selepas itu?
Saya dipecat UTM pada pertengahan tahun 1986. Ia tiada kaitan langsung
dengan Anwar. Cuma dua minggu sebelum itu saya ada menulis surat terbuka
kepada Anwar, sebenarnya surat ucapan tahniah atas pelantikannya
sebagai Menteri Pendidikan, tapi sekali gus mengingatkannya tentang
kewajipan membuat perubahan kepada sistem pendidikan negara ke arah
Islam.
Akhbar Watan melaporkannya di muka depan, dan diberi tajuk utama SISWA UGUT ANWAR.
Selang tidak lama kemudian, akhbar sama, juga melaporkan di muka depan,
saya dipecat. Jadi, ada anggapan pemecatan saya itu mempunyai kaitan
dengan surat saya itu, sedangkan ia tiada hubungan sama sekali.
Saya bersikap kritikal kepada Anwar tiada kaitan dengan isu peribadi. Ia
bermula sejurus Anwar menyertai Umno menjelang Pilihan Raya Umum 1982.
Saya cukup kecewa dengan “ijtihad” Anwar itu dan yakin beliau salah
besar dalam membuat pilihan.
Apabila Anwar mencabar Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden Umno
pada 1993, saya menjangkakan tiada siapa dapat menghalang Anwar untuk
mendaki kerjaya politiknya. Anwar pasti akan menang dan jadi TPM,
seterusnya mungkin perdana menteri.
Dalam suasana banyak pihak memilih untuk mengampu Anwar, dalam keadaan
syarikat akhbar dan stesen TV terkemuka sepenuhnya di bawah pengaruh
beliau, saya yakin boleh berperanan sebagai faktor semak dan imbang.
Buat apa saya mengkritik Ghafar yang hampir pasti kalah, lebih wajar
saya meneropong dari dekat Anwar ini dan tidak segan-silu mengkritik
serta menegur seorang tokoh masa depan.
Waktu itu, tidak macam sekarang, peluang rakyat mendapat informasi
secukupnya memang terbatas. Kalau ada pun, mungkin surat-surat layang.
Jadi, saya cuba mewakili suara yang dipendamkan itu.
Harakah dan kebebasan media
Saudara masuk Harakah pada tahun 1987, seminggu sebelum terbitan
sulungnya. Saudara juga beberapa kali keluar masuk Harakah. Bolehkah
saudara mengimbas kembali pengalaman atau pertembungan dengan majikan
ketika itu – sehingga saudara memilih untuk meletak jawatan sebagai
ketua pengarang pada 1993?
Saya dijemput menyertai Harakah oleh Ustaz Nakhaei Ahmad, Naib Presiden
PAS, yang mengusahakan penerbitan lidah rasmi PAS itu bersama Haji Subky
Latif. Sebelumnya, Ustaz Fadzil Noor juga pernah bertanyakan kerjaya
saya selepas meninggalkan UTM.
Saya mula bekerja sebagai pemberita sambilan Mingguan Tanahair,
berpejabat di Taman Nirwana, Ampang, kemudian berpindah lokasi ke rumah
pemiliknya, Haji Ikhwan Nasir, bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia,
berhampiran ibu pejabat Risda, di Jalan Ampang. Saya banyak belajar di
Harakah. Ahli-ahli PAS memberi sokongan penuh termasuk mendahulukan
bayaran untuk beberapa keluaran Harakah.
Petugasnya pula, untuk bulan pertama kerja, hanya diberi kemudahan makan
percuma di sebuah gerai di depan pejabat, tapak Hospital KPJ Tawakal
sekarang. Pendek kata, semua berkorban untuk membangunkan Harakah.
Ramai juga yang menyumbang dari sudut idea dan pengalaman kewartawanan
serta grafik, termasuk dari editor akhbar harian. Cukup seronok. Memang
beberapa kali saya keluar masuk Harakah, antaranya kerana tidak begitu
serasi dengan pihak pengurusan dan pengarah urusan.
Saya tidak dapat bekerja dalam suasana tidak kondusif dan juga tidak
mahu perselisihan faham antara kami boleh merencatkan penerbitan Harakah
Saya meletakkan jawatan sebagai pengarang kumpulan hanya selepas enam bulan dilantik ke jawatan itu pada pertengahan 1993.
Puncanya, berbeda pendapat tentang pendekatan editorial yang dianggap
pihak atasan sebagai terlalu keras mengkritik perdana menteri.
Saya memuatkan di muka depan berita anak Dr Mahathir Mohamad menggunakan
alamat kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana, dalam urusan
bisnes mereka. Bagi saya, ia boleh disifatkan sebagai “conflict of
interest”.
Pengarah Urusan marah dengan berita itu, dan menjangkakan kerajaan boleh bertindak sehingga mengharamkan Harakah.
Saya tidak dapat menerima hujah itu dan bertindak balas dengan
menghantar surat peletakan jawatan serta merta. Mungkin faktor darah
panas anak muda, yang baru nak mencecah usia 30 tahun (ketawa).
Boleh jadi kami melihat dari sudut berbeda; saya mahu mengejar scoop dan
Pengarah Urusan bimbang dengan survival Harakah. Tapi, selepas
berhenti, saya terus menyumbang rencana kepada Harakah. Hubungan saya
dan Harakah tidak pernah putus.
Saudara seorang wartawan. Namun pada masa yang sama saudara juga
seorang aktivis yang setia dengan PAS. Sebagai Ketua Pengarang yang
menerajui lidah rasmi parti ketika itu, bagaimana saudara mengimbangi
antara kebebasan bersuara dengan kepentingan parti? Kerana sudah tentu
lidah parti ada batas kebebasannya, dan seandainya saudara berpegang
kepada satu pendirian yang tidak memihak kepada kepentingan parti, atau
tidak sehala dengan pendirian parti, bagaimana saudara mengendalinya?
Apabila diminta untuk kali kedua menjadi Ketua Pengarang Harakah pada 2
Februari 2006, dan melepaskan jawatan Pengarang Siasah, saya lebih
bersedia untuk mengendalikan akhbar parti.
Ya, usia pun sudah lebih dewasa berbanding kali pertama pada 1993. Saya
tidak diikat apa-apa syarat ketat. Bagi saya, Lembaga Pengarah
memberikan kepercayaan besar kepada saya, dan ini satu amanah dan
tanggungjawab berat serta penting.
Alhamdulillah, ruang untuk saya agak selesa. Sebenarnya akhbar yang
bebas tidak akan merugikan sesiapa, termasuk pemiliknya, apatah lagi
ahli dan pimpinan PAS. Lebih penting, ia beri manfaat kepada pembaca.
Sudah pasti Harakah sentiasa menerima panduan, tunjuk ajar dan teguran
parti. Pimpinan parti ada saluran khusus, melalui lembaga pengarah; saya
mempunyai hubungan baik dengan pengerusi dan pengarah urusannya, mereka
amat menghormati kerjaya kewartawanan. Manakala kepentingan parti
tentulah menjadi keutamaan. Kami sentiasa diingatkan, terutama oleh
Presiden PAS, jangan berkompromi dengan kebenaran dan fakta, usah sama
sekali terlibat dengan fitnah dan penipuan walaupun semacam ada
keuntungan jangka pendek kepada parti. Kalau tersalah, segera minta maaf
dan betulkan kesilapan itu.
Saya selesa bekerja. Sesekali melalui Catatan Hujung saya selitkan
kritikan membina, sama ada kepada parti dan juga Pakatan Rakyat. Tentu
ada juga reaksi negatif, biasalah, Harakah ‘kan organ parti politik?
Masalah lebih besar datang dari KDN. Banyak syarat permit tidak
munasabah. Beberapa kali saya dipanggil ke Putrajaya. Harakah juga kerap
dirampas kerana dijual di tempat awam, bukan premis parti.
Bagi saya, itu syarat gila dan karut-marut! Ia mesti ditentang keras.
Tapi pihak atasan parti memilih untuk melaksanakan selagi boleh syarat
ketat KDN itu.
Kebebasan akhbar yang saya perjuangkan selama ini adalah dalam batas realiti, tertakluk kepada pantang larangnya.
Sebagai Muslim, sejak dilahirkan kita juga terikat dengan hukum halal
haram dan sebagainya. Peraturan tidak jadi masalah untuk kita patuh,
tapi jangan paksakan peraturan tidak masuk akal dan karut-marut seperti
sekatan KDN itu.
Lagi satu, biarlah arahan itu dibuat secara hitam putih, supaya ada
rekod. Cuma, menjelang muktamar PAS 2015, sebenarnya bermula lebih awal
pada muktamar di Batu Pahat, tahun 2014, dan saya pun sudah uzur,
kewartawanan Harakah telah beralih zon, agak merimaskan.
Campur tangan politik kadang-kadang berada pada tahap yang cukup tinggi darjahnya.
Ya, mungkin benar kata orang, saya tidak mempunyai watak sebagai ketua
pengarang akhbar parti yang baik. Saya mungkin terlalu berpegang kepada
profesionalisme seorang wartawan daripada idealisme seorang petugas
parti yang taat. Saya mengakui, itu kelemahan saya. Harakah mengharungi
zaman politik yang menyaksikan pasang surut kelarisannya.
Bagaimana saudara mentakrifkan posisi Harakah, pada zaman sebegini?
Lebih-lebih lagi apabila politik kita terperangkap dalam kebuntuan
dewasa ini. Semua parti politik terpaksa menjana “tranformasi”
masing-masing, untuk bergerak seiiring dengan langkah zaman. Namun,
apabila ideologi asal dicairkan untuk menarik lebih ramai
pembaca/pengundi atas benteng, sudah tentu akan muncul suara-suara yang
mahu mempertahankan yang “asal” atau “tulen”, supaya tidak dilihat
“menggadaikan prinsip semata-mata untuk memikat undi”. Apakah cara
terbaik untuk berdepan dengan dilema ini?
Alhamdulillah, saya ditakdirkan berada dalam kebanyakan semua fasa
perkembangan Harakah. Sempat bersama semasa pelancarannya pada 1987.
Dan ketika era Reformasi, saya juga di Harakah, walaupun diamanahkan
menerajui bahagian majalah, Tamadun dan Muslimah. Muncul semula selepas
prestasi PAS tidak memberangsangkan pada PRU11 dan bertungkus-lumus
dalam pilihan raya bersejarah 2008. Juga melalui zaman getir, di awal
kemerosotan Harakah pada hujung 2014, sebelum dinasihatkan berhenti.
Pada 1998, zaman Reformasi, Harakah bukan sekadar akhbar alternatif
tetapi jauh mengatasi harian utama ketika itu, Utusan Malaysia dan
Berita Harian. Ia memuatkan laporan yang ditunggutunggu pembaca, memberi
kepuasan kerana menghidangkan berita eksklusif. Jualan yang baik
memberi banyak manfaat kepada PAS.
Selain sumber rezeki petugasnya, lebih penting dapat membiaya kegiatan
parti dan sebaran Harakah mampu mengetuk setiap pintu rumah pengundi
Melayu khususnya.
Dalam PRU10, tahun 1999, ahli Parlimen PAS dipilih Ketua Pembangkang
selepas memenangi majoriti hati masyarakat Melayu, ketika cetakan
Harakah hampir 400,000 naskhah.
Benar, apabila PAS rancak berkembang selepas 1998, keahliannya juga
meliputi pelbagai latar belakang dan empayar pengaruhnya makin membesar.
Untuk menjadi parti yang semakin membesar, cabaran dalaman juga
kompleks.
Alhamdulillah, di bawah Ustaz Fadzil Mohd Noor, PAS berjaya melepasi
banyak cabaran dan tentangan dari dalam, bermula kerjasama dengan
Semangat 46 pada 1990 dan juga sokongan terbuka kepada Anwar Ibrahim
yang diaibkan, 1998. Bukan senang untuk membawa perubahan dalam PAS.
Ternyata jiwa besar dan kebijaksanaan pimpinan PAS waktu itu berupaya
mengolah, meletakkan asas dan menyuburkan budaya politik baru.
Pokok pangkal terletak kepada peneraju parti, apakah dia mahu merintis
perubahan dan bersedia berdepan dengan segala risikonya, atau tunduk
dengan tekanan?
Setiap perubahan sudah pasti mengundang kecaman dan bantahan. Yang
penting pemimpin mampu menjawab segala keraguan, bersedia bermuzakarah,
turun ke akar umbi, sama ada dalam majis formal ataupun santai.
Ternyata Ustaz Fadzil, antaranya berkat kesabaran, kebijaksanaan dan
sedia mendengar rungutan orang bawah, berjaya melepasi segala tribulasi
itu. Prinsip tetap dipertahankan, manakala parti mampu berkembang
melalui pendekatan berhikmah.
Bolehkah saudara ceritakan pengalaman dan perasaan saudara, sepanjang
hari-hari terakhir sebagai Ketua Pengarang Harakah. Ramai yang
membacanya sebagai “langkah politik” untuk menyingkirkan saudara, kerana
saudara dilabel dan tergolong dalam “puak Erdogan”. Pada masa yang
sama, kita juga dimaklumkan masalah kesihatan yang membelenggu saudara.
Jadi, apakah ceritanya dari pihak saudara?
Saya memang uzur ketika itu. Penglihatan saya kabur, jalan perlu bertongkat dan fungsi ginjal mulai merosot.
Dalam waktu yang sama, parti dilihat mula bergolak. Hubungan sesama
Pakatan Rakyat, bukan saja PAS dengan DAP, malah berkait KeADILan pun
tidak begitu baik. Berita dan gambar Anwar dalam Harakah pun jadi isu,
apatah lagi DAP. Timbul gelaran tertentu, merujuk masalah dalam PAS,
seperti Erdogan, yang membayangkan PAS seperti mula terbahagi, dibedakan
dengan pendekatan politik yang berlainan. Petugas Harakah digelar
Jebon. Saya pula agak kerap mengambil cuti sakit.
Pada 26 Disember 2014, Pengerusi Harakah dan Pengarah Urusan, dalam satu
pertemuan, memaklumkan keputusan Jemaah Pengarah, agar saya berhenti
dan akan diusahakan mendapat kemudahan pencen ilat Perkeso.
Saya terkejut besar kerana merasakan saya mampu bekerja lagi walaupun uzur. Saya membantah.
Mereka berjanji memanjangkan bantahan saya dalam mesyuarat berikutnya. Episod selepas itu tidak seharmonis dulu lagi.
Apabila pecah hal itu kepada media, maka ia menjadi berita politik yang
panas, yang terbuka kepada spekulasi dan tafsiran masing-masing.
Memang saya dilihat rapat dengan pimpinan tertentu dalam kumpulan
Erdogan, tapi bagi saya, itukan lumrah; kita serasi dengan orang
tertentu dan agak renggang dengan orang lain.
Saya dipanggil dalam mesyuarat Jemaah Pengarah yang bakal memutuskan
nasib saya. Kebanyakan anggotanya, terutama yang sebaya dengan saya,
adalah rakan baik.
Saya pasti mereka tidak akan menganiayai saya. Hampir dua bulan selepas
itu, secara rasmi saya dimaklumkan berpindah ke jawatan baru, bahagian
latihan. Dengan perubahan dasar dan pendekatan editorial, saya seperti
kebingungan, mampukah saya menguruskan hal ehwal latihan, seleras dengan
wajah Harakah yang baru ini?
Apakah pengalaman yang paling mengguris hati sepanjang saudara
berkhidmat dalam Harakah? Apa pula yang paling gembira dalam bilik media
Harakah?
Subhanallah. Saya amat bersyukur kerana dipilih bekerja dengan Harakah
untuk tempoh yang lama. Segala pengalamannya menyeronokkan. Saya selalu
berkata, perkara yang pahit waktu dilalui pun, akan menjadi manis
sebagai kenangan. Untuk jangka masa tertentu, saya jujur menyatakan saya
mampu memperjuangkan kebebasan media walaupun bertugas dengan sebuah
akhbar parti.
Sarjana media, Dr Janet Steele pun seperti kehairanan, mengapa saya
memilih bekerja dengan Harakah. Saya memperolehi nikmat berkarya di
situ. Saya boleh menjemput kolumnis dan penulis yang bukan daripada
kelompok PAS. Saya mewancara tokoh-tokoh yang tidak ada kena mengena
dengan PAS. Mereka boleh saja menegur PAS dan memberi cadangan, yang ada
kalanya pedih.
Rakan-rakan sepejabat juga baik sekali. Mungkin kemahiran dan pengalaman
terbatas tetapi iltizam mereka tinggi. Kalau UTM menjadi universiti
pertama saya, ISA universiti kedua, Harakah adalah kampus ketiga saya,
sebelum UKM yang keempat. Tiada apa yang mengguris hati, segalanya
pengalaman penuh bermakna sementara diberi kesempatan menarik nafas di
bumi Allah ini.
Terbitan media alternatif
Apakah momentum yang mendorong saudara untuk menerbitkan media
cetakan politik, sama ada berkala atau tidak – meskipun berkali-kali
diharamkan Kementerian Dalam Negeri?
Saya mula menulis dan menerbitkan sendiri makalah politik sekitar 1987-88. Waktu itu, era kediktatoran Dr Mahathir mula terasa.
Suasana takut amat mencengkam khususnya ketika Operasi Lalang, Oktober 1987. Setiap orang merasa dia boleh ditahan ISA.
Isu Memali menjadi bahan pertama terbitan saya kerana tragedi berdarah 19 November 1985 itu terasa dekat sekali.
Sejurus selepas Peristiwa Memali, sebagai Setiausaha Agung PMUTM, saya
berkunjung ke sana. Terpaksa melalui empat atau lima sekatan polis yang
ketat. Bekas-bekas darah masih dapat dilihat di rumah Ustaz Ibrahim
Libya. Kemudiannya, beberapa minggu selepas Ops Lalang, saya sekali lagi
atas kapasiti wartawan Harakah turun meninjau mencari bahan untuk
penerbitan majalah isu, Percikan Darah Syuhada.
Selepas berhenti Harakah pada 1988, secara solo saya menerbitkan makalah, Selepas 3 Tahun Memali, BN Bertaubat?
Menulis mungkin mudah, tapi untuk mencari pencetak yang sanggup adalah
sukar. Saya berhutang dengan kawan-kawan untuk membeli kertas kerana
pencetak mahu sekurang-kurangnya wang tunai yang cukup untuk bekalan
kertas. Masalah timbul apabila kilang percetakan itu tiada kemudahan
binding.
Bayangkan, saya terpaksa melakukannya secara manual di rumah sewa, di Kampung Dato’ Keramat, KL.
Malang bertindan. Van yang memuatkan makalah Memali itu terbalik di
Sungai Ular, Kuantan dalam perjalanan ke Rusila, Marang. Berterabur atas
jalan helaian kertas yang sudah siap dicetak tapi belum binding.
Saya terpaksa menerbitkan akhbar tidak berkala, yang tiada permit kerana
semua permohonan saya untuk mendapatkan lesen dari KDN ditolak
mentah-mentah.
Permohonan pertama saya, majalah isu semasa berjudul Kini, yang dihantar
seminggu sebelum saya ditahan ISA pada 1989. Maka permohonan itu
ditolak tanpa saya dipanggil temuduga.
Saya mencari alternatif dengan menyewa permit penerbitan daripada
rakan-rakan. Sekurang-kurangnya dua permit, iaitu majalah Detik dan
Wasilah. Tapi usia kedua-dua majalah ini di bawah saya hanya setahun. Ia
diharamkan KDN ketika sambutannya cukup bagus. Saya kecewa sekali.
Namun saya gagahi juga atas semangat mahu menawarkan bahan bacaan yang
saya yakin bermanfaat untuk mencerdaskan minda pembaca, selain satu
kerjaya yang agak menguntungkan.
Ya, duit pun dapat, kepuasan pun ada. Saya seronok dan bahagia dengan
kerja penerbitan politik walaupun sering dikejar polis dan KDN. Waktu
itu, internet belum meluas, penguasa bukan sahaja mengawal sumber
maklumat tapi juga memonopolinya, dan saya cuba pecahkan monopoli itu.
Ada kritikan bahawa media alternatif sungguhpun melambak ketika zaman
Reformasi, tetapi ia tidak menampilkan wacana yang mendalam – ketika
kita membincangkan demokrasi, nilainilai sejagat seperti adil, kebebasan
dan sebagainya – sehingga perdebatan tentang sistem sekular, hudud,
kedudukan istimewa bumiputera dsb masih tidak habis-habis sehingga hari
ini. Isu-isu ini seolah-olah gagal dirungkaikan, apatah lagi menemui
jalan keluar. Sebagai seorang penulis merangkap penerbit, apakah
pandangan saudara?
Ya, mungkin ada benarnya tanggapan itu, tapi sekurangkurangnya penerbit
media alternatif, yang sentiasa bekerja di bawah tekanan, mempunyai
sumbangan tersendiri untuk merancakkan gelombang Reformasi. Mereka
berusaha menawarkan pilihan kepada masyarakat dalam suasana serba
kekurangan. Industri media mahal kosnya. Bagaimana mahu mendapatkan
wartawan, editor dan pengarang terbaik jika poket kosong?
Lagipun, sukar untuk mencari penyumbang yang baik kerana kita hidup
dalam budaya takut yang melampau. Pensyarah takut, budayawan takut,
agamawan juga takut. Tapi saya akui itu bukan dalih untuk tidak
menghasilkan wacana yang mendalam.
Sementara saya secara peribadi mengakui, ketika mengendalikan majalah
Detik sepanjang tahun 1999, dan kemudiannya siri akhbar tidak berkala,
kebanyakan masa, tumpuan dan prioriti saya lebih kepada watak seorang
penerbit berbanding seorang ketua editor.
Saya menguruskan hal-hal teknikal seperti grafik, percetakan,
pengedaran dan juga pentadbiran pejabat. Saya perlu menangani masalah
pengedar yang cukup liat untuk membayar. Kerenah penguatkuasa yang
selalu mengadakan operasi rampasan juga membazirkan masa saya. Sebab itu
saya agak jarang menulis, kecuali kolum, sepanjang waktu itu. Ada
kalanya saya sendiri gagal untuk menghadam isu-isu yang agak kompleks
kerana kalut dengan halhal bukan editorial.
Di peringkat awal, saya bertuah sekali dibantu Fathi Aris Omar,
wartawan-editor yang berkebolehan, tapi hanya sekejap, sekitar enam
bulan pertama.
Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dengan sumbangan kami, terutama di awal era Reformasi sehingga menjelang pilihan raya 1999.
Mungkin jika ditakdirkan hayat Detik bersambung selepas November 1999,
Detik boleh membedah-siasat “kegagalan” Reformasi ataupun menghuraikan
isu-isu susulan, misalnya gembar-gembur perpaduan Melayu dan lain-lain
lagi.
Sejauh manakah saudara berjaya memupuk kesedaran masyarakat kita
tentang “kebebasan bersuara” – melalui tulisan saudara sepanjang tempoh
berdekad-dekad ini? Misalnya, kita sering menegaskan bahawa kerajaan
tidak seharusnya mencabul kebebasan media. Sudah tentu ia tidak
bermaksud media mempunyai kebebasan tanpa batas, cuma ia harus
disemakimbang oleh masyarakat (bukan dengan kuasa daulah). Namun
demikian, apabila timbul isu media menghina agama, seringkali masyarakat
kita akan mendesak agar kerajaan mengambil tindakan terhadap media,
sehingga kerajaan pun menggunakan alasan ini untuk menyekat kebebasan
media. Apakah pandangan saudara?
Topik dan agenda kebebasan bersuara memang menjadi keutamaan saya, baik
dalam penulisan mahupun kegiatan. Melalui KAMI, pelbagai aktiviti
dianjurkan, terutama sekitar tahun 2000. Isu kebebasan akhbar tidak
begitu menarik minat awam. Mungkin tiada yang keliru tentang bantahan
terhadap ISA, tapi ramai yang kurang faham mengenai Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan, Akta Hasutan dan lain-lain peraturan dan amalan yang
mengongkong.
Pengharaman majalah dan akhbar tidak menimbulkan aksi protes yang
meluas. Malah pengurangan kekerapan penerbitan Harakah daripada dua kali
seminggu kepada dua kali sebulan ketika ia dicetak hampir 400,000
naskhah juga hanya mencetuskan reaksi kecil.
Pemerintah dianggap mempunyai kelebihan untuk mengawal dan memperalatkan
media, termasuk yang dibiayai dana awam. Sebahagian masyarakat pula
beranggapan siapa pun menjadi kerajaan akan mempunyai tabiat buruk yang
sama.
Maka, kita pernah mendengar desakan pembangkang sendiri agar menggunakan ISA kepada pihak yang bertentangan dengan mereka.
Saya juga bertemu tokoh oposisi yang tidak boleh terima desakan
mansuhkan Akta Cetak dan Penerbitan. Kata mereka, mana boleh macam itu,
kita cadang buat pindaan kepada seksyen tertentu saja.
Kita memerlukan lebih daripada jiwa besar dan sikap berlapang dada untuk
mendengar pandangan berbeda, apatah lagi sekiranya kita di posisi
kerajaan. Keadaan menjadi lebih sukar apabila pertimbangan utama adalah
survival kuasa yang mahu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun.
Pakatan Rakyat, yang memerintah Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan juga
tidak menunjukkan model terbaik dalam konteks menjamin kebebasan
bersuara ini. Enakmen Kebebasan Maklumat yang diluluskan tidak memadai.
Elit politik kita lebih cenderung untuk bersikap bebal bila berdepan
suara-suara bantahan.
Mereka hanya mahir untuk memperkasakan kuasa bagi menyelesaikan isu
berbangkit. Saya tidak peduli lagi dengan sikap pemimpin BN, tetapi saya
masih risau dengan mentaliti pemimpin “kerajaan menunggu”.
Kadang-kadang mereka sendiri mencurigai wartawan bebas.
Malang sekali jika wartawan hanya berstatus alat atau perkakas kepada
sesiapa saja yang menerajui kerajaan. Oleh itu, tiada jalan lain kecuali
mencerdaskan minda dan mencerdikkan fikiran rakyat. Kebebasan akhbar
mesti dituntut dan diperjuangkan, bukan hanya menunggu ihsan atau
pemberian penguasa.
Saudara sebenarnya orang yang paling banyak mendedahkan skandal
rasuah bekas MB Selangor Khir Toyo. Namun ia seolaholah tidak
mencetuskan satu gelombang sehingga Khir Toyo diheret ke mahkamah.
Sebaliknya, beliau hanya didakwa selepas Tsunami Politik 8 Mac 2008,
setelah kerajaan negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Ironinya, nama
saudara tidak begitu ditonjolkan sepanjang kes ini dibicarakan. Saya
mengandaikan kes Khir Toyo antara peristiwa besar dalam hidup saudara.
Apakah perasaan saudara, sepanjang proses ini, dan saat-saat apabila
mendapat tahu bahawa beliau akhirnya dijatuhkan hukuman penjara?
Rasuah diakui barah yang boleh menjahanamkan negara, selain suatu dosa
yang dikutuk Islam. Namun begitu, jenayah ini sukar dibuktikan kerana
selalunya penerima rasuah tidak mahu mendedahkannya. Jenayah rasuah
berbeda dengan kesalahan lain, seperti bunuh atau curi, kerana
seolah-olah tiada mangsa dalam jenayah jijik itu. Rasuah amat berkait
dengan kuasa. Jika seseorang itu mempunyai kuasa yang terlalu luas,
apatah lagi jika tidak diimbangi dengan mekanisme semak dan imbang,
kuasa itu cukup terdedah kepada salah guna.
Di negara kita, kuasa orang politik, khususnya perdana menteri,
seolah-olah tidak terbatas. Begitu juga kuasa menteri besar di peringkat
negeri, terutama dalam meluluskan permohonan tanah. Konsep pengagihan
kuasa pula tidak dihormati.
PM berkuasa dan dapat mempengaruhi institusi penting negara, seperti
badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Jabatan Peguam Negara,
Suruhanjaya Pilihan Raya, PDRM. Media yang seharusnya independen, iaitu
dapat mempraktikkan jurnalisme yang profesional, dikawal dengan
syarat-syarat ketat lesen dan dasar pemilikan.
Saya bernasib baik kerana ada beberapa pihak yang terkilan dan tidak
berpuas hati dengan Dr Khir Toyo, termasuk pemimpin yang rapat dengannya
dalam kerajaan Selangor, hatta anggota kanan Exconya sendiri,
membocorkan maklumat penting kes korupsinya.
Mereka mungkin ada niat dan kepentingan tersendiri. Saya tidak mahu tahu
tujuan mereka mendedahkan bukti kes kepada saya, mungkin saja untuk
menggantikannya bila Khir tumbang. Yang penting, saya mendapat informasi
sahih yang boleh menjadi sandaran kuat kepada laporan saya. Seperti
yang saya selalu tekankan, Khir bukan musuh peribadi saya dan dia
bukannya pelaku rasuah paling teruk. Sistem kuasa kita bukan saja
melindungi perasuah yang mempunyai hubungan baik dengan perdana menteri,
tetapi ladang yang subur untuk menternak perasuah.
Seorang menteri, Dr Rais Yatim, yang saya kunjungi di Putrajaya berkata
kepada saya, jangan harap Khir akan dihadapkan ke mahkamah semasa beliau
masih berkuasa. Paling tinggi pun, mungkin tidak lagi dipilih dalam
pilihan raya berikutnya. Tugas saya hanya membuat laporan dan
pendedahan, disokong bukti dan keterangan kes, juga memberi tekanan
kepada SPRM supaya menyiasat dengan telus dan berani.
Saya faham benar, Jabatan Peguam Negara yang akan membuat pendakwaan,
tertakluk sepenuhnya kepada arahan dan kehendak PM. Sebab itu sistem
kuasa mesti dirombak, termasuk dengan mewujudkan lebih ramai pendakwa di
luar Jabatan Peguam Negara.
Selepas BN dikalahkan dalam PRU12 dan Khir menjadi Ketua Pembangkang
dalam Dun Selangor, terdapat bukti baru yang boleh mensabitkan dia
dengan kesalahan rasuah.
Khir juga mempunyai ramai musuh politik dalam Umno sendiri. Apabila
mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya, ada juga rakan-rakan
yang mengucapkan tahniah kepada saya. Kata mereka, walaupun ia bukan
bersumberkan kes yang saya lapor, tapi akhirnya perjuangan saya berjaya
juga.
Saya jawab, jangan begitu, kes Khir tidak pun membuktikan sistem kuasa
kita telah berubah, ia masih seperti dulu, segalanya tertakluk kepada
restu PM. Seperti juga apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar
tidak bersalah pada September 2004, ia tidak bermakna hakim-hakim kita
sudah bebas.
Kes Khir memberi banyak pengalaman kepada saya, terutama dapat memahami
bagaimana SPRM beroperasi dan mengetahui begitu mudahnya ahli-ahli
politik membina kekayaan sehingga ratusan juta ringgit. Benar kata Dr
Rais Yatim semasa saya mewawancara beliau pada 1997, dengan satu lorekan
mata pena oleh sang menteri, seseorang itu mampu menjadi jutawan
sekelip mata.
Saya juga ditimpa penyakit serius yang tidak diketahui puncanya,
sehingga terlantar lebih setahun, sekitar tahun 2001, selepas
bertungkus-lumus membuat siri pendedahan mengenai kes ini. Namun
segalanya manis sebagai kenangan di hari tua saya ini (ketawa).
PAS dan diri anda Sebagai aktivis PAS, bagaimana perpecahan PAS sehingga tertubuhnya Amanah itu memberi kesan kepada saudara?
Sedih dan pedih sekali. Persahabatan yang dijalin sekian lama atas dasar
akidah dan perjuangan terungkai dengan mudah. Lebih buruk, kata nista
dan umpat fitnah dihamburkan sewenangwenangnya. Tuduhan dibuat tanpa
menyemak dulu kebenarannya.
Walaupun saya uzur teruk waktu bermulanya perpecahan dalam PAS sehingga
tertubuh Amanah, saya tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya.
Saya juga menjadi mangsa tuduhan melulu terutama dalam konteks kandungan
dan paparan Harakah.
Saya memilih untuk tidak menjawab persepsi buruk itu dengan harapan ia
bakal berlalu begitu saja. Rupanya tidak, perpecahan menjadi tambah
serius, terutama menjelang muktamar pemilihan PAS di Kuala Selangor.
Saya bercuti panjang waktu itu.
Saya hanya mampu berdoa agar kekusutan dapat dileraikan dengan semangat ukhuwah Islamiyah.
Sudah tentu saya menghabiskan banyak masa di tempat tidur atau berehat
di rumah. Saya agak kerap menangis mengenangkan tragedi yang berlaku
dalam parti Islam ini. Saya tidak mampu mengungkapkannya melalui tulisan
lagi. Saya harapkan agar kedua-dua parti Islam ini,
PAS dan Amanah, bersaing secara sihat dan matang. Malaysia perlu diselamatkan, kepentingan rakyat perlu didahulukan.
Sepanjang penglibatan dan pengamatan saudara dalam PAS, apakah
kelebihan dan kelemahan parti yang bakal berumur 65 tahun ini? Adakah
prestasinya hari ini lebih baik daripada sewajarnya, atau sebaliknya?
Apakah punca masalah di sebaliknya?
Saya memilih PAS disebabkan asas perjuangan Islamnya dan keperibadian
para pemimpinnya. Ahli-ahli parti cukup komited, rela berkorban dan
taat. PAS juga memilih pendekatan sederhana. Biarpun teruk ditekan,
ditipu, sehingga ada aktivisnya dipenjarakan, dibuang daerah, ditukar
tempat kerja ke ceruk kampung, dianaktirikan, menjadi mangsa
diskriminas, namun PAS tetap dengan jalan sederhananya, jauh sekali
untuk memberontak atau memilih jalan kekerasan. Maknanya, PAS mempunyai
sumbangan besar bagi mengekalkan kestabilan politik negara ini. PAS juga
terbukti sedia bekerjasama politik dengan parti-parti pembangkang lain,
yang sebahagiannya baru saja ditubuhkan.
Selepas era Reformasi 1998, ia semakin hari menarik perhatian setiap
segmen dalam masyarakat. Pengaruhnya bukan lagi terhad di Pantai Timur
dan Utara Semenanjung, tetapi melebar ke Pentai Barat termasuk di kubu
Umno seperti Johor.
Dasar PAS For All, selain penolakan total terhadap semangat perkauman,
cukup memikat. Walaupun diserang dengan tuduhan kurang kemelayuannya,
PAS tetap dengan dasar Islamnya, yang melangkaui batas sempadan kaum.
Cuma apabila PAS dilihat antara parti paling bermasalah dalam Pakatan
Rakyat, saya sedih dengan tuduhan itu. Lebih tidak dapat diterima, Parti
Islam ini dianggap tidak berpegang dengan janji dan ditohmah mahu
mengadakan rundingan sulit dengan Umno. Krisis MB Selangor pada 2014
merisaukan saya.
Sebenarnya, bermula lebih awal lagi, cakap-cakap negatif tentang
pembentukan kerajaan negeri Selangor dan Perak sejurus keputusan PRU12
pada 2008 juga mengganggu fikiran.
Apatah lagi di saat ini, apabila PAS tidak bersama Pakatan Harapan dan
banyak isu yang ditimbulkan rakan-rakan, kebanyakannya pengamal media,
tidak dapat saya jawab kekeliruan mereka. Saya tidak boleh menerima sama
sekali apabila PAS dianggap memberi talian hayat kepada Najib Razak.
Kesimpulannya, saya buat masa ini tidak mampu untuk membuat penilaian
adil kepada PAS, namun kebimbangan saya terhadap masa depannya semakin
tinggi. Banyak pihak yang saya temui pula rasa kecewa. Kata mereka,
tindakan PAS menghampakan harapan rakyat yang mendambakan perubahan.
Saudara pejuang PAS dan Islam sepanjang hayat. Setelah melalui
liku-liku hidup untuk lebih setengah abad, bagaimana saudara menilai
perjuangan saudara itu sendiri? Adakah ia mengubah pemikiran saudara
pada peringkat awal? Misalnya, saudara mencurahkan segalanya, termasuk
kesihatan untuk Harakah – demi satu perjuangan Islam yang berwadahkan
PAS. Namun akhirnya saudara dilayan sebegini dalam satu institusi
bernamakan Islam – pada saat-saat akhir sebelum dilucutkan jawatan.
Apakah impaknya terhadap saudara?
Terlalu kerdil untuk dianggap saya pejuang Islam sepanjang hayat. Saya
hanya menyumbang apa yang terdaya oleh kemampuan saya, dengan keyakinan
ia bermanfaat untuk perjuangan yang panjang ini.
Saya yakin setiap individu Muslim tidak boleh tercicir daripada turut
sama dalam bahtera besar perjuangan. Dengan bakat menulis, saya kira
saya patut melakukannya sebaik mungkin. Dan bila sudah bermula, jangan
berpatah balik lagi. Jalan terus, sambil berdoa semuanya menjadi amal
kebajikan dan pahala di hari akhirat, atas prinsip amar makruf nahi
mungkar. Semoga karya yang terus dibaca itu menjadi pencen kubur.
Soal saya mahu dilayan atau akan diingati bagaimana, itu terserah. Ya,
sebagai insan biasa, tentu sekali ada perasaan terkilan atau kecewa,
tetapi selepas berusia setengah abad, saya mencabar diri untuk bersabar,
ikhlas dan reda.
Harapnya saya tidak putus semangat untuk kembali menulis selepas lega
sikit dari keuzuran ini. Setiap kita ada kelemahan tersendiri, jadi
jangan diungkitkan sangat kesalahan itu.
Harakah sebenarnya banyak membantu saya dan saya bangga sempat menjadi
anggota dalam keluarga besarnya. Buku ini juga diharap menjadi penawar
atas apa yang saya lalui mutakhir ini, insya-Allah.
Saudara terbelenggu dengan masalah kesihatan untuk sekian lama, malah
untuk satu tempoh yang agak panjang saudara tidak mampu membaca dan
menulis. Pengalaman sedemikian sememangnya pedih dan pahit untuk
saudara, lebih-lebih lagi sebagai seorang penulis. Apakah ia mengubah
pemikiran dan sikap saudara, atau apakah makna yang tercetus untuk diri
saudara lantaran keuzuran ini?
Ya, isteri saya beritahu, sejak hari pertama perkahwinan, dia mengenali
Lutfi yang sakit-sakit (ketawa). Sebelum pembedahan pintasan jantung dan
diserang stroke, yang melemahkan pergerakan fizikal saya, kesihatan
saya sudah kerap terganggu. Apatah lagi bila penglihatan kabur teruk
yang menghalang saya daripada aktiviti membaca dan menulis, iaitu
kegiatan paling bermakna dalam hidup ini.
Diikuti masalah kegagalan fungsi buah pinggang yang menuntut saya menjalani proses dialisis tiga kali seminggu.
Apa pun, sepanjang saya turun naik hospital, masuk keluar wad, dan
menunggu lama untuk rawatan alternatif lainnya, saya berjumpa dengan
ramai pesakit yang lebih berat ujiannya.
Saya juga temui mereka yang kurang upaya tetapi terus mampu menyumbang dengan tekun dan gigih.
Baru-baru ini saya berjumpa sahabat lama, Prof Dr Agus Yusoff di Bangi.
Selepas bersembang agak lama, berbual mengenai masa depan PAS, beliau
menegur secara terbuka: “Selepas Lutfi sakit, pandangan politik you
tidak lagi tajam. Agak tersekat-sekat dan tidak selancar dulu.”
Saya mengaku, dalam tempoh menggantung pena selama hampir dua tahun,
saya jarang mengikuti pergolakan semasa, apatah lagi sukar untuk
membaca. Guru saya, Dr Musa Fathullah Haron sewaktu menziarahinya di
Sungai Buloh, juga berpesan: “Walaupun dalam keadaan uzur, cuba untuk
teruskan amalan membaca dan menulis, kerana ia boleh mengelak daripada
nyanyuk.”
Keuzuran berpanjangan ini mengingatkan saya tentang nikmat kesihatan dan
masa lapang. Usah tertangguh untuk melakukan suatu tugas mulia. Lakukan
saja. Jangan tunggu esok. Esok pun sudah terlalu lama.
Dan nasihat yang paling menjemukan dari orang sakit: Jaga makan, elak
stress, cuba bersenam, sesekali bawa famili berjalan, hargai kasih
sayang sahabat apatah lagi anggota keluarga, luahkan masalah kepada
seseorang yang dipercayai, beribadah setulusnya, dampingi kalam Tuhan.
Simpulkan perjuangan saudara. Kepuasan saudara, dan kekesalan saudara sepanjang hidup.
Tidak semua yang kita impikan, terlaksana. Kita insan lemah, ya ...
lemah sangat. Tidak mungkin kita berjaya capai kehendak kita kecuali
dengan izin Allah. Mungkin ketika saya melangkah kaki ke kampus UTM pada
1981 saya bercita-cita menjadi jurutera tetapi saya bersyukur dan
seronok sangat kerana dilorongkan untuk berbakti melalui dunia
kewartawanan.
Saya mengimpikan memiliki majalah atau akhbar sendiri, yang
mempraktikkan idealisme saya tentang kewartawanan, tapi terkubur ekoran
pengharaman KDN dan operasi penguatkuasa. Faktor kesihatan juga
membataskan. Yang penting, kita dapat sesuaikan dengan mudah dan cepat
berdasarkan kemampuan kita pada sesuatu masa tertentu.
Jangan hanya menunggu dan mengharapkan keadaan berubah. Saya belum mahu
“tutup buku” walaupun buku ini menghimpunkan tulisan rakan-rakan,
seumpama tribute untuk sumbangan kewartawanan saya selama hampir 30
tahun, seolah-olah selepas ini saya sudah menjadi sejarah dan hanya
sekadar pemerhati pasif.
Selagi nadi berdenyut dan nyawa masih ada, berbuat baiklah
sebanyak-banyaknya pada orang lain, pada masyarakat, pada negara.
Teruskan perjuangan membebaskan media, berusaha melakukan reformasi
menyeluruh ke atas institusi strategi negara.
Cerdikkan akal dan cerdaskan minda masyarakat. Yang kita harap-harapkan dalam hidup ini tidak semestinya ianya baik untuk kita.
Jadi, tidak perlu disesalkan apa yang ditakdirkan. Saya pun masih
mencuba untuk menerima seadanya, dengan penuh ikhlas, segala ketentuan
hidup. Alhamdulilah, yang menyukakan kita, setinggi kesyukuran kepada
Ilahi, manakala kalau ada penyesalan, iringilah dengan istighfar dan
taubat.-http://bukulutfi.blogspot.my/
Wawancara ini petikan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas,untuk
mendapatkan buku tersebut dengan harga istimewa ,sila WhatsApp/Hubungi
Ahmad Luqman Hakim 019-2903291
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan