KUALA LUMPUR: Anggota 9 jabatan serta agensi yang layak mengundi dan
disahkan majikan perlu bertugas pada hari mengundi boleh memohon sebagai
pengundi pos dalam negara sehingga 5 hari sebelum hari penamaan calon,
menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Anggota jabatan dan agensi terbabit adalah petugas Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan
Penyelamat; Jabatan Kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja);
Sukarelawan Polis; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan
Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan
Pendaftaran Negara (yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar sahaja)
boleh memohon undi pos.
“Mereka yang termasuk dalam kategori tersebut boleh memohon dengan
menggunakan Borang 1C yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang
SPR.
“Permohonan melalui Borang 1C yang telah diisi lengkap hendaklah
dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya melalui e-mel kepada upup@spr.gov.my atau melalui faks ke 03-88810424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369.
“Atau (mengemukakan permohonan) melalui pos ke alamat Suruhanjaya
Pilihan Raya Malaysia, Menara SPR, No 2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat
Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya (u.p. Unit Pengurusan
Undi Pos),” menurut SPR dalam catatan #infopru14 di laman Facebook rasmi
suruhanjaya itu di www.facebook.com/Pilihanrayaumumke14/.
Setiap permohonan yang diterima akan diproses dan pemohon dimaklumkan
oleh SPR mengenai status permohonan mereka itu sama ada diluluskan atau
sebaliknya.
“Untuk sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my,” menurut catatan itu.
Satu lagi kategori pengundi pos adalah kategori petugas pilihan raya,
polis serta tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal, dan petugas
media boleh membuat permohonan melalui Borang 1A.
Permohonan melalui Borang 1A yang lengkap diisi perlu dihantar ke
pejabat pegawai pengurus di bahagian pilihan raya masing-masing. Tarikh
tutup permohonan kategori ini adalah pada hari penamaan calon.
Sementara itu, bagi permohonan pengundi pos luar negara warganegara
Malaysia yang diterima selepas 12 tengah malam pada hari pembubaran
Parlimen tidak akan diproses, kata SPR lagi.
Syarat bagi memohon kemudahan mengundi secara pos mestilah pemilih
berdaftar kategori pengundi biasa atau bukan pengundi tidak hadir luar
negara dan pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak
kurang dari 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran Parlimen
atau Dewan Undangan Negeri yang ke-13.
Pemohon juga perlu menetap di luar negara kecuali bagi mereka yang
tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla
dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak
layak diberikan kemudahan untuk mengundi melalui pos dan perlu balik
mengundi pada hari pengundian.
Menurut SPR, permohonan hendaklah dikemukakan dengan menggunakan
Borang 1B – Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara)
yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang SPR.
“Permohonan yang telah diisi lengkap hendaklah dihantar kepada Ibu
Pejabat SPR di Putrajaya di alamat dan e-mel yang sama seperti
permohonan mengundi pos dalam negara tetapi dengan catatat (u.p. Unit
Pengurusan Undi Pos Luar Negara)”, menurut SPR di laman Facebooknya.
“Setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon
akan dimaklumkan status permohonan itu sama ada diluluskan atau
sebaliknya.
Walau bagaimanapun, warganegara Malaysia yang mendaftar sebagai
Pengundi Tidak Hadir (PTH) di luar negara adalah pengundi pos dan oleh
itu tidak perlu memohon,” menurut SPR.
SPR turut menasihatkan semua warganegara Malaysia yang telah
berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di
luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR.
“Permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara hendaklah
dilampirkan (dimuat naik) bersama salinan pasport sebagai pengesahan
pengenalan diri oleh pemohon.
“Pengemaskinian alamat terkini di luar negara adalah bagi tujuan
penghantaran kertas undi pos untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan
datang,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan