Strategi Menyusahkan Pakatan Harapan Serba Tidak Menjadi!

Oleh Hayar Hassan

Lebih kurang tiga minggu lagi, sekitar 14 juta rakyat Malaysia yang menjadi pengundi berdaftar akan keluar membuang undi pada PRU 14 yang jatuh pada hari Rabu, tanggal 9 Mei 2018. Mereka akan menentukan corak pemerintahan dan pentadbiran Kerajaan Malaysia untuk tempoh masa lima tahun lagi.

Kalau di Republik Indonesia(RI), tarikh Pemilihan Umum(PEMILU) awal-awal lagi telah ditetapkan tarikhnya oleh Komisi Pemilihan Umum(KPU), tiada teka-teki tarikhnya. Hatta Presiden RI sendiri tidak tahu akan tarikh. Ianya ditetapkan oleh KPU, sebuah badan bebas. Itu lah hebatnya demokrasi RI. Ianya lebih subur daripada kita. Tidak menghairankan lah pada waktu ini pelabur-pelabur asing lebih gemar menanam modal di RI. Yang jelas, kita akan mendapati bahawa pekerja-pekerja RI sudah banyak berkurangan di Malaysia. Kebanyakan daripada mereka telah pulang ke RI kerana peluang pekerjaan disana menjadi terlalu banyak.

Dalam konteks PRU 14, ramai kita berpendapat bahawa banyak usaha dan strategi-strategi telah dijalankan secara halus atau pun secara terbuka bagi menyusahkan atau menggagalkan usaha-usaha pembangkang utama Pakatan Harapan(PH) menyertai PRU 14.

Setelah berjayanya menguburkan Pakatan Rakyat yang telah berjaya mendapat undi popular sekitar 52 % dalam PRU 13 lalu, usaha-usaha untuk mengkucarkacirkan PH terus diusahakan.

Parti Democratic Action Party(DAP)  adalah sasaran utama. DAP terpaksa membuat semula pemilihan pucuk pimpinannya yang dianggap tidak sah . DAP yang akur kepada arahan Pendaftar Pertubuhan @Register Of Soceities(ROS) akhirnya tidak jadi dibatalkan pendaftarannya. Itu lah hebatnya DAP , mereka berjaya melepasi segala onak dan duri yang ditaburkan di atas jalan yang mereka lalui.

Namun demikian tidak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM). Sehari sebelum pengumuman pembubaran Parlimen, PPBM telah menerima notis ‘ Pembatalan Sementara’ daripada ROS. Alasan yang diberikan adalah PPBM gagal memenuhi arahan-arahan ROS berkaitan dengan perjalanan Mesyuarat Agong Tahunan@Annual General meeting(AGM) mereka.

Dengan ‘Pembatalan Sementara’ PPBM ini, peluang untuk PH untuk didaftarkan secara sah adalah turut musnah. Impian semua ahli-ahli serta penyokong PH untuk memakai satu logo PH dalam PRU 14 tidak kesampaian ! Ramai berpendapat PH akan menjadi tidak tentu arah, lesu, lemah dan berkemacuk kerana ketiadaan satu logo. Itu lah yang dirancang oleh pihak lawan PH.

Siapa dapat menyangka bahawa Majlis Presiden PH rupanya betul-betul telah mempunyai Pelan B dan C dalam menghadapi kemelut logo PH itu. Dalam masa yang singkat juga Pengerusi PH, Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad telah memaklumkan bahawa semua calon-calon Parlimen serta Dewan Undangan Negeri(DUN) PH tetap akan menggunakan satu logo sama ,iaitu lambang Parti Keadilan Rakyat(PKR) dalam PRU 14.

Yang hebatnya semua pemimpin dan ahli dalam parti-parti PH boleh berlapang dada menerima keputusan tersebut tanpa riuh rendah. Tegasnya usaha-usaha untuk menyusah dan mengkucarkacirkan PH setakat hari ini telah GAGAL. UMNO/BN sebenarnya begitu mengharapkan agar ahli-ahli DAP dan AMANAH akan membuat bantahan terhadap keputusan Majlis Presiden PH itu.

Dalam hal ini ,parti DAP telah membuat pengorbanan yang amat besar. Semenjak tertubuhnya parti DAP, mereka telah menggunakan logo roket dalam setiap PRU atau PRK. DAP boleh sahaja menolak cadangan menggunakan lambang PKR kerana waktu ini mereka mempunyai kerusi Parlimen yang terbanyak dalam PH. Tetapi mereka boleh beralah, sepertinya mereka telah pun beralah untuk tidak mengungkit jawatan Perdana Menteri seandainya PH memenangi PRU 14. Itu lah hebatnya persefahaman dan eratnya kerjasama pimpinan Majlis Presiden PH, Syabas kita ucapkan. Semoga corak kerja dan cara membuat keputusan-keputusan besar dalam PH nanti tetap diambil secara konsensus ,sebulat suara dan secara maufakat.

Kalau difikir-fikirkan secara halus, kegagalan PH mempunyai logonya sendiri menjelang PRU 14 nanti ada hikmahnya. ROS mungkin juga akan meluluskan logo PH sehari sebelum hari Penamaan Calon. Mana mungkin pencetak mampu mencetak segala poster dalam masa 24 jam. Begitu juga dengan pembekal bendera dan baner. Sekarang ini soal logo PH sudah tidak dibincangkan lagi oleh ahli dan penyokong-penyokong PH. Semua telah bersetuju untuk menggunakan logo PKR, khalas !.

Istimewanya logo PKR telah lama dikenali dan sudah pernah digunakan dalam beberapa PRU yang lalu. Orang ramai dan pengundi sudah amat tahu akan sejarah dan asal cerita logo PKR. Trajedi Mata Lebam DSAI adalah kisah sedih yang amat menyayat hati kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya bagi orang-orang Melayu.

PH sudah tidak perlu bersusah payah berkeliling ke seluruh Negara untuk mempromosi logo baru PH.

Semua ini berjaya diatasi oleh pimpinan PH adalah kerana natijah daripada kesungguhan dan komitmen seluruh pimpinan PH untuk mengalahkan UMNO/BN dalam PRU 14 nanti. Mereka meletakkan kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang melebihi daripada kepentingan peribadi dan kelompok kecil mereka .

Yang nyata, pimpinan PH, khususnya Majlis Presidennya sentiasa mempunyai jawapan dan jalan-jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang dikenakan kepada PH. Yang menariknya, keputusan Majlis Presiden itu tidak mengambil masa yang terlalu lama. Ianya pantas dan tepat. Itulah kekuatan Majlis Presiden PH pada waktu ini. Kekompakan PH sukar untuk dirobekkan .

Setelah berjaya menyelesaikan isu pembahagian kerusi-kerusi Parlimen serta DUN, jawatan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri dan isu logo untuk PRU 14 , PH pastinya akan tetap terus mampu menyelesaikan sebarang masalah yang berkaitan dengan politik dan pentadbiran Negara.

Sewajarnya semua rakyat dan pengundi dapat melihat akan kelebihan yang sedang dimiliki oleh PH sekarang ini. PH mampu membuat keputusan-keputusan yang tepat dengan cepat. Hilangkan lah sebarang keraguan terhadap kemampuan PH untuk menerajui tampok pemerintahan dan pentadbiran Putrajaya.

Mari lah kita memberikan mandat baru kepada PH dalam PRU 14 nanti kerana sesungguhnya PH memang mempunyai pemimpin-pemimpin yang berkaliber, berfikiran rasional, matang dan bertanggongjawab untuk mentadbir Negara tercinta ini untuk tempoh lima tahun ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan