Presiden PKR itu berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersama membangunkan Malaysia yang baharu.
"Saya bersyukur majlis angkat sumpah (jawatan) berjalan dengan lancar dan (pada Selasa) saya akan bincang dengan Perdana Menteri mengenai hala tuju seterusnya dan membantu agar Kabinet di bawah Tun Dr Mahathir berjalan lancar," katanya.
Dr Wan Azizah menganggap pemilihan beliau selaku wanita pertama memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri di negara ini sebagai satu penghormatan yang besar buat semua wanita Malaysia.
"Saya berharap peranan saya (selaku timbalan perdana menteri) ini akan meningkatkan sensitiviti gender dalam perjalanan pentadbiran hari ini dan (sasaran) penglibatan wanita 30 peratus (dalam barisan pembuat dasar) yang kami uar-uarkan dapat kami laksana dengan menyeluruh lagi," katanya.
Mengenai portfolio selaku Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Dr Wan Azizah berkata beliau sedang merancang untuk membangunkan dan menambah baik prestasi kementerian berkenaan.
"Banyak saya fikirkan... antaranya dasar-dasar berkaitan wanita, dasar keluarga dan sebagainya kerana kementerian ini luas (sifatnya), merangkumi peringkat belum lahir sampai akhir hayat.
"Tapi buat masa ini kami akan tumpu (aktiviti) pada bulan Ramadan untuk mengimarahkan Ramadan dan mengisi Ramadan ini dengan lebih baik," katanya.
-- BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan