PM India lawat Dr M

PUTRAJAYA: Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau tiba di Perdana Putra pada 11.35 pagi dan disambut oleh Dr Mahathir.

Modi, singgah sebentar ke Malaysia untuk menyampaikan ucap selamat dan tahniahnya secara peribadi kepada Dr Mahathir atas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 dan pelantikan beliau sebagai perdana menteri Malaysia ke-7.

Ini merupakan pertemuan pertama di antara 2 pemimpin itu. Lawatan terakhir Modi ke Malaysia adalah pada 23 November 2015.

Semasa persinggahan singkat itu, Modi juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa berkata pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara itu menggariskan kekuatan asas perhubungan yang terjalin beribu tahun lalu di antara Malaysia dan India.

Lawatan itu juga menunjukkan komitmen tinggi daripada kedua-dua negara untuk terus mengukuhkan lagi perkongsian strategik.

Malaysia dan India menjalin hubungan rapat menerusi budaya dan sejarah serta dalam pelbagai bidang utama terutamanya pembangunan infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
India merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah dagangan berjumlah RM61.43 bilion pada 2017.

Modi kini dalam lawatan ke 3 negara Asean iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Lawatan ke Indonesia (dari 29 hingga 31 Mei) dan Singapura (31 Mei hingga 2 Jun) bagi memenuhi undangan daripada Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan