Bahagian 2 : Mencari - Cari Faktor Utama Kekalahan PH Dalam Pru14 di Kelantan Dan Terengganu

Oleh HAYAR HASSAN

Memang benar saranan teman-teman bahawa seusai PRU 14, kebanyakan daripada saluran-saluran TV percuma atau pun berbayar dan surat khabar-surat khabar arus perdana telah membuat perubahan yang cukup drastik terhadap corak kecenderongan persembahan mereka.

 Kalau dahulu, orang ramai beralih kepada surat khabar dan media alternatif untuk mendapatkan berita-berita yang lebih seimbang, tetapi selepas tertubuhnya Kerajaan Pakatan Harapan(PH) di Putrajaya, semua akhbar arus perdana mengubah corak persembahan mereka dan ternyata jualan mereka masih tetap laris. Tidak menghairankan juga pada waktu ini Saluran TV Astro Awani(501) telah menjadi tontonan utama saya sekeluarga dan juga majoriti penonton.

Saya sebenarnya sudah cukup bersedia untuk mengikuti temuramah Saudara Nazri Kahar(Astro Awani) dengan Saudara Husam Musa, Pengerusi PH Kelantan dan Naib Pengerusi Amanah Nasional.

Pastinya tentulah ada jawapan yang tuntas daripada Pengerusi PH Kelantan sendiri perihal persoalan di atas.

Rupanya Saudara Husam Musa secara halus mengelak untuk membicarakan secara panjang lebar akan punca kekalahan PH di Kelantan. Mungkin beliau secara peribadi sudah ada jawapan-jawapannya. Namun atas memegang prinsip PH, beliau tidak menyentuhnya, mungkin kerana PH sendiri masih belum mengadakan bedah siasat(Post Mortem) kekalahan PH itu ! .

Bukan kah kita memahami bahawa semua keputusan PH perlu dibuat secara persetujuan bersama(concensus) ! Malahan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menarik balik niatnya untuk menjadi Menteri Pendidikan Malaysia pasca PRU 114 setelah diingatkan bahawa manifesto PH tidak mengizinkan Perdana Menteri memegang sebarang portfolio tambahan ! Itu lah indahnya PH waktu ini. Corak pentadbiran semak dan imbang(check and balance) itu sememangnya sudah dipraktikkan, bukannya sekadar “omongan kosong dong” !

Dalam tulisan lalu(Bhg 1), saya melontarkan pendapat bahawa faktor utama Kekalahan PH di Kelantan dan Terengganu adalah disebabkan PH TIDAK DIKEPALAI OLEH AGAMAWAN .

Dari sudut sejarah, dahulu UMNO/BN berjaya mentadbir agak begitu lama di Terengganu kerana keberadaan Dato’ Seri Wan Mokhtar Wan Ahmad, seorang lulusan agama dari Universiti Al Azhar(1974-1999).

Pas sendiri dibawah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nikmat(TGNA), seorang agamawan mampu menguasai pentadbiran Kelantan Darul Naim selama 30 tahun lebih. Itu lah faktanya.
Bagi pendapat saya, faktor utama kedua kekalahan PH di Kelantan dan Terengganu adalah BERKESANNYA PAS MENEFAATKAN SENTIMEN AGAMA ISLAM DALAM KEMPEN-KEMPEN MEREKA.

Sebelum ini untuk PRU 12 dan 13, anak-anak Kelantan dan Terengganu yang merantau di Lembah Kelang dan Pulau Pinang demi mencari rezeki agak berjaya dalam usaha mereka mempengaruhi kaum keluarga mereka di Kelantan dan Terengganu untuk mengundi Pakatan Rakyat(PR). Namun lain ceritanya untuk PRU 14 ini ! Pelbagai cerita yang boleh dikutip menunjukkan bahawa suasana agak berbeza. Rata-rata anak-anak perantauan Kelantan dan Terengganu kali ini menceritakan bahawa usaha mereka kali ini gagal kerana kaum keluarga mereka mempunyai hujah lain ! Kaum keluarga mereka di Kelantan dan Terengganu menyatakan bahawa untuk PRU 14 ini , “ UNDI UNTUK PAS ADALAH UNTUK SELAMATKAN ISLAM !”

Pengundi-pengundi orang Melayu berjaya dimomokkan dengan hujah picisan ini bahawa PH dikatakan menjadi tunggangan DAP, hanya kerana agak ramai ahli Parlimen DAP memenangi PRU 13 ! Walau pun telah ditegaskan berkali-kali bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah bakal calon Perdana Menteri Malaysia seandai PH memenangi PRU 14. Tetapi itu lah realitinya. Penceramah dan aktivis-aktivis PAS berjaya menanamkan persepsi karut tersebut di kalangan pengundi-pengundi Melayu !

Mesej picisan ini diviralkan secara meluas melalui media internet dan telefon pintar menjelang hari mengundi. Anak-anak perantauan yang pulang ke kampong menyatakan bahawa mereka terpaksa mengalah demi menjaga silaturrahim dengan kaum keluarga di kampong. Namun ada juga terjadi pertengkaran kecil antara kaum keluarga atas perbedaan pandangan politik masing-masing.

Dalam hal ini, saya melihat pimpinan PAS telah secara sedar atau tanpa sedar telah berjaya memanipulasikan keadaan dan persepsi yang tidak betul atas nama Islam. Ianya diburukkan lagi apabila yang berceramah itu adalah golongan agamawan. Masyarakat kampong cukup terpengaruh dengan cakap-cakap ustaz-ustaz kampong, walau pun cakap-cakap itu tidak tepat dan boleh dipertikaikan fakta-faktanya.

Ini lah yang telah berjaya dimenafaatkan oleh PAS untuk kepentingan perjuangan politik sempit mereka, walau pun akhirnya seusai PRU 14, Perdana Menteri ke 7 adalah tetap Tun Dr Mahathir Mohamad, masih seorang Melayu dan Islam ! Hatta YB Saudara Lim Kit Siang tetap kekal sebagai hanya seorang ahli Parlimen !

Kita amat berharap isu pencalonan peguam kanan dan terkenal Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara tidak akan menjadi suatu lagi peluru kepada PAS untuk terus mencari kesilapan PH, hanya kerana dalam PH itu wujudnya parti Amanah yang rata-rata ahli-ahlinya adalah bekas orang PAS. Pencalonan Tommy Thomas itu adalah kerana beliau mempunyai merit dan intergriti yang tinggi, walau pun beliau seorang bukan Islam. Hatta PAS sendiri pun pernah menggunakan khidmat beliau di mahkamah dalam beberapa tuntutan. Jangan lah melihat semua yang dibuat oleh golongan lain itu tidak betul, hanya kerana golongan itu tidak bersama dengan kita.

Sepatutnya pimpinan dan ahli-ahli Pas boleh berlapang dada dengan mengenangkan bahawa suara-suara Islam itu masih dibawa oleh Amanah. Agenda Islam itu tetap ada dalam struktur dan kerangka PH. Berpolitik lah secara sihat, sesuai dengan slogan baru PAS “ Politik Matang Dan Sejahtera” demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Zaman label melabel dan politik membenci itu sudah berlalu. Biarlah ianya sekadar terselit dalam lipatan sejarah Malaysia. Marilah kita membina Malaysia Baru dengan cara berpolitik yang lebih matang. Slogan “ Rahmatan Lil Alamin” wajar kita dokung secara bersama demi kelangsungan anak cucu kita.













Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan