Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju agar siasatan
berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu diteruskan,
kata peguam Ramkarpal Singh.
Ramkarpal berkata demikian selepas menyertai pertemuan antara bapa
Altantuya, Dr Setev Shaariibuu dengan Dr Mahathir di Pejabat Perdana
Menteri, Putrajaya hari ini.
“Tun (Dr Mahathir) setuju siasatan perlu dibuat terhadap kes ini,
asalkan ia mengikut undang-undang,” katanya ketika ditemui pemberita.
Setev tiba di Putrajaya kira-kira pukul 4.20 petang dan keluar dari Pejabat Perdana Menteri sekitar jam 6.00 petang.
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, pihaknya percaya ada pihak lain
yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya terutamanya orang yang
mengarahkannya.
“Siapa yang arahkan pembunuhan ini perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Awal hari ini, Ramkarpal dan Setev membuat laporan polis di Ibu
Pejabat Polis Daerah Dang Wangi agar siasatan baru dimulakan bagi kes
berkenaan.
Dalam laporan polis itu, Setev menamakan bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak, Musa Safri.
Ramkarpal yang juga anggota parlimen Bukit Gelugor menambah, pihaknya
berharap penyelesaian itu dapat dijalankan dalam masa terdekat.
“Tiada jangka masa dibuat tapi kami harap ianya tak mengambil masa yang terlalu lama mungkin antara 3 hingga 6 bulan,” katanya.
Sementara itu, Setev berkata beliau sangat berbesar hati kerana
berpeluang bertemu dengan Dr Mahathir dan membincangkan secara lebih
jelas mengenai isu membabitkan pembunuhan anaknya itu.
“Saya berpeluang untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dan saya amat berpuas hati dengan pertemuan ini,” katanya.
Altantuya, 28, ditembak dan diletupkan menggunakan bahan letupan
tentera di kawasan hutan berhampiran Puncak Alam pada Oktober 2006.
Bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar disabitkan
bersalah atas pembunuhan itu pada 2009 dan dijatuhkan hukuman gantung.
Mereka dibebaskan setelah mahkamah rayuan menolak keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 2013.
Mahkamah persekutuan selepas itu mengekalkan hukuman mati terhadap
mereka pada 2015. Sirul melarikan diri ke Australia sementara Azhar kini
sedang menunggu hukuman.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan