Oleh Tengku Putra Haron Aminurrashid
Musim Aidilfitri ini merupakan tempoh yang cukup sesuai bukan sahaja
untuk kita bermaaf-maafan, tetapi untuk kita kenang kembali masa lalu,
bersyukur untuk apa yang dikecapi, serta berdoa untuk masa hadapan.
Semua yang berlaku ada hikmahnya, dan Allah SWT tahu apa yang terbaik.
BN telah dihukum apabila ia hilang kedudukan sebagai kerajaan persekutuan, buat pertama kali sejak penubuhannya.
Majoriti meletakkan kesalahan ke atas 1MDB, serta salah guna kuasa
oleh pemimpin Umno, manakala sebahagian lagi menyalahkan sikap sombong
atau keangkuhan pemimpin terhadap masyarakat umum.
Sepertimana yang telah saya jangkakan, keinginan yang memuncak
sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) itu adalah untuk melihat sesuatu
yang mustahil telah berlaku.
Antara Umno dan BERSATU
Pertamanya, menjadi saksi kepada kejatuhan parti yang tertua di dunia.
Keduanya, melantik seorang individu berusia 93 tahun untuk kembali ke pejabat Perdana Menteri.
Tetapi Allah itu Maha Besar. Tatkala BN mungkin sudah jatuh, Umno
masih lagi kekal sebagai satu parti yang mempunyai kerusi Parlimen
terbanyak berbanding parti-parti lain tanpa gabungan.
Kisah dongeng yang sering diceritakan bagaimana orang Melayu hampir
keseluruhan telah menolak Umno bagi menyokong parti Melayu alternatif
iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), cuma sekadar kisah
rekaan semata-mata.
Fakta 1: Umno mempunyai 41 kerusi lebih banyak berbanding BERSATU dalam Dewan Rakyat (Umno - 54, BERSATU - 13).
Fakta 2: Umno mempunyai 111 kerusi lebih, berbanding BERSATU di Dewan Undangan Negeri (Umno - 139, BERSATU - 28).
Kami dalam parti masih menganggap Umno parti pilihan di kalangan
orang Melayu, jauh sekali terkubur dari segi politik. Anggota Umno
bawahan harus berwaspada dan tidak perlu gusar.
BERSATU dilihat sebagai parti Melayu yang lebih baik hanya kerana perdana menteri kini dilantik dari parti itu.
Apa yang mereka tidak sedar ialah pengerusi mereka Tun Dr Mahathir
Mohamad hanyalah perdana menteri minoriti di kalangan gabungan parti
kerajaan masa kini, yang mana beliau boleh diminta berundur sebagai
perdana menteri pada bila-bila masa sahaja sejurus beliau menyelesaikan
apa jua permasalahan awal, termasuk membuang sekutu-sekutu dari rejim
terdahulu, dan mewujudkan kerajaan yang berfungsi sepenuhnya untuk
Malaysia baharu ini.
Apabila semua itu selesai, tempoh masa beliau sebagai perdana menteri
mungkin akan menjadi singkat sekiranya beliau memilih untuk terus kekal
dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tanpa sebarang perancangan. Mujurlah Dr
Mahathir bukan jenis individu yang tiada perancangan.
Mainkan peranan lebih tepat
Sementara pembetulan dalam pasaran politik ini berlaku dengan
meletakkan Umno dalam ‘tempoh hukuman’, ia juga harus dilihat sebagai
satu wake up call (seruan untuk bangkit) bagi Kebawah Duli-Duli
Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, yang mana mereka juga kini dinilai
oleh rakyat sebagaimana parti-parti politik dinilai.
Sejak 2015, atas kapasiti saya sebagai seorang ahli Dewan Undangan
Negeri (DUN), saya sentiasa menggesa dan menasihati pihak istana agar
mereka menjauhkan diri dari politik dan perniagaan, bagi mengelakkan
salah guna kuasa, serta kemungkinan penolakan dari rakyat sendiri.
Kini, seperti mana yang saya jangkakan, individu-individu yang memegang takhta turut diperhatikan rakyat.
Di bawah kerajaan baharu ini, setiap transaksi perniagaan, serta
‘titah’ yang dikelaurkan ke atas penjawat-penjawat awam yang telah
melangkaui sempadan undang-undang, tidak akan terlepas dari pemeriksaan.
Dan saya pasti, apabila cengkaman politik mereka mula meluas,
penjawat awam pun akan membelakangkan tuan mereka demi menyelamatkan
diri sendiri, apatah lagi mereka yang sebelum ini menjalankan tugas di
bawah tekanan, akan mula bersuara dan memberi keterangan.
Di suatu ketika dahulu kaum Melayu lah yang paling kuat
mempertahankan institusi raja dari serangan, namun kini ia sudah luntur
sedikit, apatah lagi melihat kegagalan sesetengah raja
mempertahankan
kepercayaan dan kepentingan kaum Melayu dalam isu-isu dan lebih
mementingkan kaum lain.
Perkara ini telah saya nyatakan dalam blog saya The Patriot, bertajuk “Leave Palace Out Of Politics” pada 25 Ogos, 2015.
Perenggan terakhir terang-terang menyatakan keberangkalian perkara
yang sedangpun berlaku pada hari ini, dan ianya ditulis tiga tahun yang
lepas.
Namun demikian, adalah penting untuk kaum Melayu untuk terus
mengekalkan simbol warisan kita, iaitu sistem Raja Berperlembagaan.
Walaubagaimanpun, jika ada individu-individu yang menyalahgunakan
takhta mereka untuk kepentingan diri sendiri, individu itu harus diadili
dengan segera dan sebaiknya, bagi menyelamatkan institusi raja dari
menjadi mangsa kemarahan rakyat jelata.
Kerajaan BN dahulu ternyata terlalu berlembut, dan berlebih-lebihan
dalam menunjukkan penghormatan kepada istana, hingga beberapa
keputusannya telah menyumbang kepada kekalahan kita dalam pilihan raya.
Adalah penting supaya Kebawah Duli Raja-Raja kini memainkan peranan
yang lebih tepat terhadap peruntukan yang telah pun sedia termaktub
dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan keadaan yang kurang
senang di kalangan rakyat yang selama ini setia kepada Istana.
Daulat Tuanku. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan