Tsunami 9 Mei: Ramai masih meroyan

Oleh Tok Perak

*WALAUPUN dakwat di jari telunjuk sudah hilang, ada sesetengah orang masih tidak dapat menyesuaikan diri – dan perasaan – dengan keputusan PRU14.

Bagi pengundi yang telah membuat pilihan tepat, tempoh bersorak dan riang ria telah tamat; sekarang adalah masa untuk bekerja keras merealisasikan apa yang dihasratkan sebelum 9 Mei.

Tetapi ramai juga yang masih termangu-mangu macam terkena ubat gegat, sebab tidak dapat menerima hakikat bahawa tsunami rakyat telah merubah segala-galanya.

Bagi yang tenat dilanda sindrom hilang kuasa, mereka mula berjalan bagaikan tidak jejak di bumi, dan merepek yang bukan-bukan.

Maka, harap-harap sehari dua ini tidak ada yang bercakap seorang diri, atau marah-marah pada pokok dan tiang lampu.

 *ALKISAH sebelum tsunami melanda, ramai yang khayal dan leka dengan kehebatan kuasa, sehingga mereka bertindak dan bercakap sesedap lidah, tanpa sedikit pun prihatin terhadap perasaan orang lain.

Sebagai contoh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Pakatan Harapan, dicaci dan dihentam ‘kaw-kaw’. Maruah orang tua itu dipijak-pijak dalam keangkuhan.

Maka, banyaklah tuduhan dan gelaran tidak manis diberikan kepada Tun M. Ada yang kata orang tua tidak sedar diri, nyanyuk, gila, meroyan.

Semuanya menjadi terbalik kot dilanda tsunami rakyat. Ternyata orang yang dulu celupar mulut menuduh meroyan, kini dia sendiri yang meroyan tidak keruan.

Sebab itu jangan terlalu menghina orang, akhirnya kita sendiri yang terhina.

*TIDAK sahaja meroyan, ramai juga yang kini tidak senang duduk, tidak selesa baring, tidak sedap tidur gara-gara dilanda igauan ngeri.

Almaklumlah, melihat satu demi satu kawan-kawan disiasat pihak berkuasa, ramai lagi tidak fasal-fasal panas punggung, rasa macam hendak lari ke planet lain.

Kalau tidak dihalang pihak berkuasa rasanya ramai yang ingin berhijrah ke benua lain, sebab di bumi sendiri iklim semakin panas membahang.

Mereka yang dulu cakap berdegar-degar dan berlumba-lumba tayang harta kekayaan dalam media sosial, kini menikus dan kecut perut takut SPRM serbu rumah atau pejabat.

Hatta mereka yang selama ini suka berlagak samseng pun bagaikan hilang taring, cuba main sorok-sorok dengan polis. Ada yang berehat dalam kebun.

*ANTARA yang terkesan teruk dengan tsunami rakyat pada ‘ibu segala pilihan raya’ ialah Umno.

Ramai calon hebat mereka kecundang, semua terkancing gigi.

Lanjutan dari gelombang rakyat, parti terbesar orang Melayu itu mula menunjukkan tanda-tanda semakin kelemasan. Terkini, ada tanda-tanda kehabisan wang.

Ibu pejabat Umno memberitahu, peruntukan bulanan ke semua bahagian parti itu di seluruh negara akan ditamatkan “berikutan kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14.”

Surat bertarikh 22 Mei, daripada Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada semua setiausaha bahagian dan penolong setiausaha semua sayap parti, menyebut:
“Sayugia dimaklumkan, Ibu Pejabat setelah meneliti kedudukan kewangan parti dan ingin memaklumkan yang mana penyaluran peruntukan bulanan kepada pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap-sayap Bahagian terpaksa ditamatkan...

Siapa sangka cempedak menjadi nangka!

*DULU besar dengan keahlian lebih 3 juta orang, semua berebut dan megah – sesetengahnya angkuh – hendak menjadi ahli Umno.

Sekarang kapal sudah bocor, layar sudah koyak rabak, hampir karam, maka ramai yang cuba menyelamatkan diri dengan melompat ke kapal lain.

Sebenarnya sebaik sahaja BN diumumkan kalah pada malam 10 Mei itu, beberapa ahli dan pemimpin parti tidak segan silu memohon untuk menyertai parti Bersatu.

Sehari dua ini ahli Umno belot dan lompat parti bukan berita lagi. Sana-sini ada sahaja yang melompat parti. Sepatah kata Datuk Ibrahim Ali: “Sekarang ada banyak katak di negara kita!”

*AKHIR kalam, Tun M menjadi semakin popular, sehingga seorang produser Bollywood merancang memfilemkan kemenangan beliau menjawat kembali jawatan Perdana Menteri.

Raman Kumar, 73, memberitahu Bernama filem itu akan memberi tumpuan kepada intrik politik dan bagaimana Tun M menggunakan akal budi, kebijaksanaan dan pengalamannya selama 22 tahun sebagai perdana menteri untuk menerajui negara sekali lagi.

Apa kata Shah Rukh Khan dan Kajol diambil berlakon dalam filem ini?
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan