PETALING JAYA: Kemelut 1MDB berlaku kerana kegagalan pucuk
pimpinannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Beliau berkata walaupun terdapat peraturan, mekanisme tadbir urus dan
sistem pelaporan, namun ia gagal sama seperti krisis lain yang berlaku
di seluruh dunia berikutan individu di belakangnya tidak memiliki hati
nurani dan timbul ketamakan.
Beliau menambah individu yang jahat boleh menjadi kreatif dan akan berusaha melaksanakan mekanisme ini.
“Kita mengharapkan pemimpin kita berbuat baik dan membantu kita untuk
mencapai lebih kejayaan. Namun, kita sering melihat keadaan sebaliknya
berlaku apabila pemimpin gagalkan kita.
“Mereka ini pemimpin yang lebih memikirkan keuntungan daripada
segala-galanya. Mereka membenarkan kepentingan peribadi mereka untuk
mengatasi kepentingan bersama dan mereka menggunakan kekayaan untuk
membeli pengaruh,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak
Tanggungjawab Korporat dan Kemapanan Asean hari ini.
Sidang kemuncak sehari yang bertemakan “Membangunkan Masa Depan
Lestari – Cabaran bagi Perbadanan dan Perniagaan” dihadiri pemimpin
perniagaan dan masyarakat sivil untuk membincangkan mengenai pelaksanaan
Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan bagaimana membina masyarakat
lebih inklusif dan mampan.
Dr Wan Azizah berkata pemimpin harus memimpin dengan hati nurani, sentiasa berpandukan moral dan komitmen.
Beliau menegaskan memiliki hati nurani lebih daripada sekadar
pengetahuan tentang apa yang betul dan salah, ia juga menjurus kepada
kemampuan untuk mengintegrasikan pemikiran moral ke fikiran mereka dan
sebelum membuat keputusan.
Tambah beliau, walaupun nilai-nilai berkenaan bersesuaian untuk
merealisasikan SDGs yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu, ia tidak seharusnya diperlakukan sama seperti trend lain atau
untuk mewujudkan peluang perniagaan untuk kroni dan ahli keluarga.
“Kami memerlukan pemimpin yang memimpin dengan hati nurani, yang benar-benar komited kepada SDGs,” katanya.
Dr Wan Azizah memberitahu pemberita, kesihatan suaminya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim bertambah baik tetapi beliau akan terus menjalani
pemeriksaan di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menjalani
ujian dan penilaian kesihatan.
“Sejak keluar dari penjara dan hospital, dia tidak pernah berehat. Saya fikir dia perlu berehat,” katanya.
Anwar, Ketua Umum PKR, dimasukkan ke hospital pada Sabtu lepas
berikutan mengalami kesakitan akibat sakit bahu kanan dan bahagian
belakang.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan