Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) menggesa Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) membuat kenyataan dengan jelas berkaitan penggunaan kasut
sekolah hitam yang bermula tahun depan.
Presidennya, James Loke berkata, kerajaan perlu mengeluarkan
kenyataan bertulis kepada industri berhubung perkara itu kerana mereka
sudah membuat tempahan awal sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun bagi
kasut sekolah putih bagi menjamin bekalan mencukupi dalam pasaran.
“Oleh itu, kami (MRA) memohon KPM memberikan kenyataan rasmi bertulis
kepada pihak industri untuk membolehkan pihak industri menyediakan
perancangan yang lebih baik bagi mengelakkan lambakan stok kasut sekolah
putih.
“Malah, MRA juga memohon agar KPM dapat memberikan tempoh masa lebih
sesuai sekitar 12 hingga 18 bulan untuk membuat keputusan meneruskan
pelaksanaan penggunaan kasut sekolah putih kepada hitam dan bukannya
bermula pada awal tahun hadapan,” katanya pada sidang media di sini
Pejabat MRA di Kuala Lumpur, hari ini.
Loke berkata demikian mengulas pengumuman yang dibuat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkaitan pemakaian kasut sekolah hitam yang akan dibuat secara berperingkat, tahun depan.
Maszlee berkata, pelaksanaan itu dibuat bagi mengelakkan ibu bapa
terbeban dan pelbagai pihak yang terlibat dapat menyesuaikan diri dengan
ketetapan baru itu.
Sementara itu Loke turut berkata sekiranya cadangan itu diteruskan,
akan berlaku lambakan stok kasut sekolah berwarna putih yang tidak
terjual di pasaran.
Ini kerana, katanya, kebanyakan industri telah membuat pembelian
dalam jumlah yang besar sekitar 100,000 pasang kasut untuk tahun depan.
Pihaknya juga percaya sekitar 70 hingga 80 peratus kasut sekolah digunakan buat masa kini berwarna putih.
Bebankan pengguna
Ahli majlis Penasihat MRA, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, yang juga hadir
dalam sidang akhbar itu turut menyuarakan perkara yang sama bahawa
kerajaan perlu berunding dengan pihak berkepentingan mengenai kesan
keputusan baru itu.
"Apa yang relevan adalah apa yang difikirkan oleh pihak
berkepentingan. Kementerian perlu mengeluarkan kenyataan yang jelas,
yang ditulis kepada industri supaya kita semua tahu apa yang perlu
dilakukan seterusnya.
"Kebimbangan kami ialah kami tidak tahu apa yang kami baca di akhbar
itu adalah kenyataan rasmi (atau bukan). Kita mungkin mula memesan kasut
hitam esok dan kemudian kita mungkin menghadapi masalah sebagai
pengimport dan pengeluar, " katanya.
Justeru Ameer berkata pihaknya akan bertemu dengan KPM dalam masa
terdekat bagi membincangkan dan memberi pandangan berhubung perkara
tersebut.
“Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada industri, bahkan akhirnya
akan membebankan pengguna. Pihak industri hanya akan menawarkan stok
kepada pengguna dan pengguna yang akan menanggung bebanan pembelian
berkenaan," katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan