SUBANG JAYA: Kementerian Pendidikan akan melakukan beberapa
intervensi untuk membantu sekolah tahfiz bagi memastikan pelajar tahfiz
mampu berdaya saing sama ada di dunia akademik atau pasaran kerja yang
semakin mencabar.
“Biasanya, isu yang berbangkit di sekolah tahfiz adalah mengenai
kualiti pengajaran dan pendidikan. Jadi, kita ingin memastikan supaya
sekolah tahfiz tidak menggadaikan kualiti pendidikan untuk anak-anak
kerana mereka inilah masa depan negara,” kata Menteri Pendidikan Maszlee
Malik kepada Bernama.
Ditemui selepas merasmikan Konvesyen Pendidikan Kebangsaan ke-24 dan
Persidangan Agung Perwakilan ke-36 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia
hari ini, beliau berkata langkah itu bagi memastikan semua pelajar
tahfiz mempunyai keseimbangan antara ilmu ukhrawi dan duniawi.
“Kita tidak mahu apa yang diajarkan di sekolah tahfiz itu akan
melahirkan pelajar-pelajar yang tidak mengenal ilmu duniawi. Ia kena ada
keseimbangan di antara ilmu akhirat (ukhrawi) dan duniawi yang
diperlukan terutamanya dari segi Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,”
katanya.
Ditanya mengenai kenyataan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin
Maidin yang mencadangkan penutupan sekolah tahfiz yang disifatkan
terlalu radikal, Maszlee berpendapat semua ibu bapa mempunyai hak untuk
memilih pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
“Itu tidak menepati dengan aspirasi saya yang percaya kepada
kebebasan ibu bapa untuk memilih pendidikan yang terbaik buat anak-anak
mereka,” katanya.
Sementara itu, Maszlee juga menggesa agar setiap sekolah rendah
menyediakan sudut pidato atau sudut berbicara (speakers’ corner) sebagai
medium kepada murid mengasah bakat dalam bidang pengucapan awam.
“Setiap hari, hendaklah ada dalam kalangan anak-anak murid yang
dilatih untuk menyampaikan pidato atau pengucapan awam. Kita dapati di
kebanyakan negara-negara maju, mereka mempunyai sudut-sudut yang
sedemikian di sekolah-sekolah.
“Ia akan membantu melahirkan anak-anak murid yang bukan sahaja
mempunyai kemahiran untuk berbicara di khalayak ramai tetapi juga
berkeyakinan tinggi,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan