Oleh Mohd Azrone Sarabatin
SIDANG Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen
Ke-14 bermula Isnin ini dan tentunya satu lagi detik bersejarah
tercatat apabila persidangan berkenaan yang pertama bagi kerajaan baharu
selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
pada 9 Mei lalu.
Persidangan ini juga menyaksikan buat
kali pertama Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang selepas
memerintah negara selama 60 tahun dan yang pasti, mereka memegang
jawatan Ketua Pembangkang serta perlu menerima hakikat jawatan Perdana
Menteri kini hak mutlak PH selepas 'kuasa rakyat' menumbangkan parti
komponen diketuai UMNO itu.
Sebuah akhbar berbahasa
Inggeris melaporkan, Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disebut-sebut akan dilantik sebagai
Ketua Pembangkang berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Timbalan
Perdana Menteri.
Sidang berlangsung selama 20 hari itu
akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, pada hari
kedua persidangan. Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan titah
perasmian pada hari sama.
Pada hari pertama persidangan,
kerajaan akan melantik Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara,
selain majlis angkat sumpah Ahli Parlimen yang menang dalam PRU-14 lalu.
Antara nama disebut-sebut dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat
atau Speaker ialah ahli politik veteran yang juga bekas Menteri
Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
dilaporkan berkata, pucuk kepemimpinan tertinggi PH mengadakan mesyuarat
untuk memutuskan calon akhir Speaker Dewan Rakyat sebelum dicadangkan
kepada Parlimen, iaitu seminggu sebelum pembukaan rasmi persidangan
Parlimen.
Difahamkan, PKR sudah menyerahkan calon kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan.
Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat yang dipetik menerusi portal rasmi Parlimen, www.parlimen.gov.my
melaporkan pertanyaan bahawa jawapan lisan dan bertulis mengikut
Peraturan Mesyuarat 22(2) menetapkan tiap-tiap pertanyaan sepanjang
persidangan itu perlu diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat
selewat-lewatnya 29 Jun lalu.
Waktu Persidangan dari 10
pagi hingga 1 tengah hari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada Isnin,
Selasa, Rabu dan Khamis, namun boleh berlanjutan hingga lewat malam dan
awal pagi mengikut keputusan kerajaan dan sokongan majoriti ahli Dewan
Rakyat.
Mansuh akta
Difahamkan Akta
Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000
dan penjara sehingga enam tahun yang diwartakan April lalu akan
dibentangkan pada sidang kali ini untuk dimansuhkan. Ini turut diakui
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Akta
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2018 yang diluluskan pada April 2014
juga dijangka dibentangkan untuk dimansuhkan sejajar Manifesto Pakatan
Harapan (PH) Janji 100 Hari.
Kementerian Kewangan sebelum
ini mengumumkan GST berkadar sifar peratus dilaksanakan mulai 1 Jun
lalu, sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada
September ini.
Sementara itu, bekas Yang di Pertua Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut berkongsi pengalaman 10 tahun
memegang jawatan berkenaan.
Dipetik dalam laman
Facebooknya, beliau berkata: "Mengimbau kembali pengalaman saya sebagai
Yang Dipertua Dewan Rakyat selama sepuluh tahun dan mengambil kira
keadaan politik sekarang di mana kerajaan baharu - Pakatan Harapan -
mempunyai majoriti yang kecil, saya mendoakan agar pengganti saya dapat
mengemudikan persidangan Dewan Rakyat dengan baik dan 'adil'.
"Sebenarnya saya tertunggu-tunggu untuk menyaksikan bagaimana cara Yang
Dipertua Dewan Rakyat dari Kerajaan Pakatan Harapan mengendalikan
persidangan dan mengatasi kerenah Ahli Parlimen, khususnya dari
pembangkang - BN,".
Seperti Pandikar Amin yang juga bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, rakyat berbilang kaum dan berbeza
fahaman politik juga ternanti-nanti persidangan berkenaan.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri
Dr Ronald Kiandee menyatakan harapannya agar Ahli Parlimen khususnya
muka baharu supaya mematuhi peraturan mesyuarat bagi mengelak sidang
Dewan Rakyat menjadi pusat perbualan seperti sebuah 'pasar'.
Katanya, paling penting mereka memahami setiap peraturan mesyuarat dan
belajar daripada kesilapan Ahli Parlimen sebelum ini yang suka mencelah
tetapi melanggar peraturan.
Patuh peraturan Mesyuarat
"Ada antara mereka diarahkan keluar dan digantung daripada dewan. Saya
percaya siapapun yang dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat mereka
memiliki kekuatan dan kelebihan untuk mengawal persidangan.
"Saya faham ada antara Ahli Parlimen muda yang ghairah berhujah, itu
tidak salah, namun pastikan tidak melanggar peraturan mesyuarat,"
katanya yang juga Ahli Parlimen Beluran.
Pengalaman
penulis membuat liputan Sidang Dewan Rakyat, ada Ahli Parlimen diarah
keluar dewan kerana melanggar peraturan dewan termasuk Peraturan
Mesyuarat 44 (3) yang membolehkan mereka digantung.
Ini
pernah berlaku kepada Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang (DAP-Gelang
Patah) yang digantung daripada Parlimen selama enam bulan kerana
mengingkari arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya berhenti mengganggu
perjalanan persidangan.
Peraturan berbahas mencakupi isu
ucapan, had perbahasan, tidak mengganggu perbahasan dan diam ketika Yang
Dipertua Dewan Rakyat atau timbalannya bercakap perlu dipatuhi.
Setiap Ahli Parlimen juga perlu memiliki ketahanan mental, kerana
selain bertikam lidah di antara penyokong kerajaan dan pembangkang,
mereka juga perlu berhujah dengan fakta dan mengelak mengeluarkan
perkataan kesat dan berbohong bagi mengelak diarahkan keluar.
Kerap kali persidangan berlanjutan sehingga jam 2 pagi, malah pernah
sehingga 4 pagi terutama ketika membahas dan meluluskan sesuatu rang
undang-undang dan dalam konteks ini, Ahli Parlimen perlu memiliki
stamina yang tinggi.
Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan
Jenayah (Pindaan) (POCA) 2017 misalnya, diluluskan Dewan Rakyat pada jam
4.05 pagi selepas dibahaskan selama 12 jam pada 9 dan 10 April tahun
lalu.
Justeru, Sidang Dewan Rakyat adalah sesuatu yang
dinanti-nantikan apatah lagi ia sidang pertama bagi kerajaan baharu yang
pastinya menguji kewibawaan Ahli Parlimen mereka, manakala bagi BN pula
ini yang pertama mereka menjadi pembangkang.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan