Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman hari
ini mengumumkan keluar Umno serta Barisan Nasional dan akan menjadi
Adun bebas berkuat kuasa serta merta.
“Saya akan menjadi Adun pembangkang bebas yang konstruktif serta
menjadi penimbang tara sesuai dengan politik masa kini,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Saddi mengucapkan terima kasih kepada bekas presiden Umno Datuk Seri
Mohd Najib Tun Razak dan bekas pengerusi badan perhubungan Umno Sabah
Tan Sri Musa Aman atas peluang diberikan bagi mencurah bakti kepada
rakyat di Dun Sukau sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Dalam pada itu, Saddi berkata beliau menyokong mana-mana parti politik berasaskan parti tempatan yang memperjuang isu
Perjanjian Malaysia 1963 termasuk tuntutan royalti minyak dan gas yang adil kepada Sabah daripada kerajaan Persekutuan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Saddi juga berharap pengundi Dun Sukau yang telah memilih beliau pada PRU14 dapat terus bekerja sama dengannya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Saddi yang bertanding atas tiket
BN mempertahankan kerusi Dun Sukau dengan majoriti 1,628 undi selepas
memperoleh 4,660 undi mengalahkan tiga calon lain dan perkembangan
terbaru itu menjadikan wakil BN yang kini hanya diwakili Adun Umno dalam
Dun Sabah berbaki 10 orang.
Secara keseluruhan, ada 21 wakil rakyat pembangkang dalam Dun Sabah
ketika ini termasuk enam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), dua
daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan tiga Adun Bebas iaitu
masing-masing satu bekas ahli Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun
Murut Bersatu (Upko), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Umno.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan