3 Tahun pencapaian Amanah membanggakan

Oleh Mohd Sayuti Omar

SEMALAM satu detik dan tanggal yang bersejarah buat rakyat negara ini khasnya mereka yang cinta dan sayangkan Malaysia. Semalam adalah tarikh penubuhan Persekutuan Malaysia, majlis sambutannya diadakan di Sabah.

Tanggal keramat itu menjadi signifikan kepada sebuah parti politik kerana ia berkongsi hari dan tarikh penubuhannya. Semalam juga adalah hari ulang tahun Parti Amanah Negara, (AMANAH). Sambutan HUT AMANAH akan diadakan di Temerloh 22 September ini.


Untuk meletakkan Amanah di garis selari dengan Malaysia agak melampau. Tetapi jika dihitung dari segi usia dengan pencapaiannya, AMANAH bolehlah dianggap sebuah parti yang hebat. Kejayaan dan kecemerlangan digapainya mengiringi pencapaian Persekutuan Malaysia yang berusia 55 tahun.

Salahuddin Ayub
Saya sendiri tidak menduga prestasi dicapai AMANAH setinggi itu. Dalam usia setahun jagung AMANAH berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan parti-parti besar lain khasnya dalam gabungan PH; seperti PKR dan DAP.

Sekiranya soal jawatan dalam kerajaan dijadi ukuran kehebatannya, ternyata pencapaian AMANAH membangga dan memberangsangkan. Pencapaian dan harga yang diberikan kepada parti itu, ia boleh dianggap parti paling hebat dan dihormati. Bahkan dari sisi itu AMANAH  mengatasi rekod parti sekutunya Pas yang sudah wujud dan menongkat langit selama 64 tahun namun belum pernah sekalipun Pas mencapai setanding dengan apa diraih oleh AMANAH.


Menyertai pilihan raya.
Pada 9 Mei lalu adalah penyertaan pertama AMANAH dalam Piraum -- pilihan raya umum dalam negara ini. Dalam kata lain penyertaan itu buat pertama kali ia masuk gelanggang politik secara rasmi. Dalam usia setahun jagung miskin segala prasarana, dalam gelora penghinaan, -- pemimpinnya dimaki hamun dan dinesta dengan pelbagai kata dan cara, tidak ada siapa terfikir yang AMANAH mampu meraih kejayaan itu. Bagi mereka yang memperkecilkan AMANAH mungkin "kena reti", dan malu sendiri dengan pencapaian AMANAH hari ini.

Mereka yang melihat AMANAH sebagai parti picisan yang diselokai sebagai parti polybeg, parti yang akan mati dalam perut atau lahir cacat yang para pemimpinnya dianggap khianat, derhaka sewajarnya menutup muka dan mulut untuk tidak menghina AMANAH kalaupun tidak memohon maaf kepada para pemimpinnya.

Apabila kita menilai kejayaan AMANAH, sebenarnya ia tidak memelikkan walaupun parti itu baharu ini kerana para pemimpinnya bukan baharu dalam politik. Mereka sudah mempunyai berbagai pengalaman dan lasak. Pengalaman dan kepakaran yang dimiliki para pemimpinnya itulah menjadi pengasas, menjadi azimat serta "pamor" kekuatan kepada AMANAH untuk menerjah benua siasah negara.

Beberapa orang pemimpin merupakan pemancu politik negara ini yang telah pun dibakar tidak hangus dan diselam air tidak lemas. Mereka semua sudah diuji dengan masa dan keadaan. Mereka sudah dewasa dalam politik Pas yang menjadi madrasah politik kepada mereka. Mereka bukan sahaja “kalah menang dan kalah” dalam pilihan raya, semasa berada dalam PAS, tetapi ada juga yang meringkuk dalam lokap dan penjara kerana perjuangan atas nama PAS.

Perjuangan mereka tidak perlu diukur sukat lagi untuk mengetahui nilai dan jumlahnya.

Husam bersama barisan kepimpinan Amanah Pasir Puteh.
Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Mohd Hatta Ramli, Khalid Samad, Husam Musa, Mahfuz Omar, Dr Dzulkifly Ahmad, Dr Mariah Mahmud, Mohd Anuar Tahir, Mazlan Aliman dan lain-lain adalah mangsa keberanian dan keuletan mereka dalam politik dan jihad. Aset itulah menjadi baja kepada AMANAH yang menyubur kini.

Sebelum menyertai pilihan raya umum ke-14 AMANAH ikut sama bertanding di oilihan raya negeri Sarawak dan dua Pirake -- pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Pencapaian di Sarawak tidak begitu memberangsangkan mungkin kerana bumi Sarawak bukan lembah subur untuk sebuah parti seperti AMANAH. Kesemua 13 kerusi ditandingi AMANAH dalam pilihan raya negeri Sarawak tidak dimenangi satu kerusi pun.

Kegagalan itu tidak membantutkan usaha untuk merawat dan membesar AMANAH. Penyertaan Amanah di Sarawak bolehlah dianggap sebagai memperkenalkan parti tersebut di negeri bumi Kenyalang itu. Sebaliknya penyertaan dalam pilihan raya kecil (Pirake) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberi petunjuk akan potensi masa hadapannya. AMANAH parti yang memperjuangkan Islam secara holistik, dengan seruan Rahmatan li alamin menampakkan akan culanya dalam dua pilihan raya itu.

Dalam pertandingan tiga penjuru BN dan Pas, calonnya di Sungai Besar berjaya meraiah undi lebih banyak daripada calon Pas. Pencapaian itu sudah memberi indikator dan isyat yang AMANAH bakal bersaing dengan PAS dan akan berdiri sama tinggi duduk sama rendah di masa akan datang. Pilihan raya itu menyuntik semangat para pemimpin dan penyokongnya untuk menyertai Piraum ke 14.

Dan ternyata apabila dalam Piraum ke-14 AMANAH yang bertanding di 27 kerusi parlimen berjaya menang 11 kerusi, atau hampir separuh, manakala untuk kerusi Dun bertanding 96 menang menang di 30 kerusi. Sementara undi popular diraih oleh AMANAH sebanyak 645,000. Hari ini AMANAH berjaya meletakkan wakilnya di setiap Dewan Undangan Negeri kecuali, Kelantan, Terengganu dan Pahang serta di Sabah dan Sarawak. Sekali lagi kejayaan ini menjadikan AMANAH mengatasi PAS yang mampu berbuat demikian setelah bertanding tiga empat kali dalam pilihan raya umum.

Daripada 30 kerusi DUN dimenangi AMANAH adalah, 8 (Selangor), 6 (Perak), 4 (Kedah), 2 Melaka, 3 Negeri Sembilan dan 9 di Johor.

Apa juga mengejut sekaligus meletakkan AMANAH sebagai parti dihargai ialah apabila 10 ahli parlimennya dilantik menganggotai jemaah menteri Dr Mahathir Mohamad, lima sebagai menteri dan empat sebagai timbalan menteri.

Mereka yang dilantik menjadi menteri; Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan), Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian) Khalid Abdul Samad (Menteri Wilayah Persekutuan), Dr Dzulkifly Ahmad (Menteri Kesihatan), dan Dr Mujahid Yusuf (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Empat dilantik sebagai timbalan menteri pula, Dr Mohd Hatta Ramli, (Menteri Pembangunan Usahawan) Mahfuz Omar (Tenaga Manusia), Mohd Anuar Tahir, (Jabatan Kerja Raya) dan Hanipa Maidin (Jabatan Perdana Menteri).

Selain dari itu tiga pemimpin Amanah dilantik menjadi ahli Dewan Negara (Senator), Husam Musa, Raja Bahrin Shah dan Aiman Atirah al Junaid.

Dr Mariah Mahmud
Di peringkat kerajaan negeri pula beberapa orang ADUN AMANAH  dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri dan seorang juga Speaker. Mereka dilantik Exco antaranya, Dr Ismaail (Kedah), Dr Mariah Mahmud dan Izham (Selangor), Sofi Abdul Wahab (Melaka), Asma Awi (Perak). Aminuhuda Hassan (Johor) dan Negeri Sembilan.

Apabila bercakap pencapaian AMANAH sedikit menyedihkan kerana bagi Kelantan, Terengganu dan Pahang terutamanya, dimana tidak ada seorang pun calon mereka yang menang di kerusi Dun maupun Parlimen. Namun begitu masa depan di negeri-negeri berkenaan tidak membimbangkan.
Seperti mana kata Presiden Mohamad Sabu, berbondong-bondong rakyat di negeri Kelantan dan Terengganu menyertai AMANAH sehingga borang keahlian dicetak setiap minggu.

Masa depan AMANAH. 
Dengan rekod pencapaian cemerlang dan diluar jangka itu AMANAH mempunyai masa depan yang cerah. Potensi dan sambutan kepada AMANAH akan bertambah lagi apabila parti induknya PAS telah jauh tergelincir dari landasan sebenar menjadikan sebuah wadah berwajah Islam kontemporari. Ura-ura parti agama itu akan berkerjasama dan bergabung dengan Umno memberi ruang baik kepada AMANAH. Mereka yang cuak dan loya dengan tindak tanduk pemimpinnya persis "ikan keli dalam besen" akan meninggalkan parti berkenaan dan mereka pastinya akan mencari wadah alternatif, menyertai parti-parti gabungan PH terutamanya AMANAH yang dilihat sama DNA dengan mereka.

Kegagalan Pas berfungsi sebagai sebuah parti Islam progresif sesuai dengan kelestarian kemajmukan  masyarakat negara ini akan membuka peluang kepada parti menggunakan tagline, Amanah, Progresif dan Peduli ini untuk terus bersaing dengan Pas.

Dengan maksud dan tujuan penubuhannya menjadi sebuah parti memperjuangkan Islam apabila menyedari PAS kebelakangan ini gagal memainkan peranannya, AMANAH juga kompeten untuk menjadi alternatif di masa depan apa lagi setelah berjaya meancakkan diri dalam Piraum lalu.

Dan peluang ini boleh dipenuhi sekiranya pemimpin AMANAH senantiasa istiqamah dengan matlamat perjuangan dan menyedari akan tugas mereka menubuhkan AMANAH bukan untuk mengapai kedudukan dalam kerajaan, tetapi yang penting untuk menjadikan AMANAH sebagai wadah membawa kefahaman Islam yang progresif.

Dan hendak tidak hendak suka atau tidak, AMANAH perlu memainkan peranan bermaknanya dalam Pakatan Harapan sebagai parti berlandas dan bersemangat Islam. Para pemimpin AMANAH kena pastikan mereka mendominasi isu-isu berkaitan dengan agama. Kalau boleh elakkan AMANAH terlarut dalam liberalisme agama (Islam) seperti mana didukung oleh rakan-rakan lain.

AMANAH kena mempastikan yang gerakan mereka bukan hanya badan siasah tetapi badan dakwah bersifat parti Islam bukan parti agama.  AMANAH tidak perlu malu alah dengan rakan-rakan lain untuk menegur dan menegakkan kebenaran dianjurkan Islam kerana itulah tanggungjawab dan amanah terpikul di pundak mereka. 

Kepada AMANAH diucapkan dirgahayu ulang tahun ke tiga, semoga AMANAH benar-benar dapat me Rahmatan lialaminkan negara dan bangsa dengan amanah. Tahniah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan