Bank Negara: 47% belia tanggung hutang kad kredit

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47% belia Malaysia menanggung hutang kad kredit yang tinggi manakala 38% dikenal pasti membuat pinjaman peribadi, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nazrul Hisyam Mohd Noh.

Nazrul Hisyam berkata pada 2017, lebih 3,400 orang yang berusia antara 20 dan 30 tahun mendapatkan kaunseling dan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Saya cabar anda semua untuk lari daripada stereotaip generasi muda tidak celik kewangan dan tidak menyumbang kepada statistik ini,” katanya dalam ucapan beliau semasa acara akhir pertandingan #IDAREYOUChallenge 2017, hari ini.

Pertandingan #IDAREYOUChallenge, yang diadakan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Kementerian Pendidikan, memilih pembentangan pemasaran dan video terbaik mengenai kepentingan insurans hayat daripada 10 finalis yang mewakili 4 universiti.
Sementara itu, Presiden LIAM, Anusha Thavarajah berkata 56% rakyat Malaysia ketika ini memiliki perlindungan insurans, dengan angka itu dijangka mencecah 75% menjelang 2020.

Beliau berkata beberapa syarikat insurans melancarkan skim “Perlindungan Tenang” yang menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) dengan bayaran sehingga serendah RM3.80 sen sebulan.
“Halangan utama kita adalah kurang kesedaran mengenai insuran dalam kalangan rakyat. Kami berharap dengan pertandingan ini, lebih banyak kesedaran dapat diwujudkan terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.

Pertandingan #IDAREYOUChallenge itu dimenangi oleh Lee Ming Chin daripada Universiti Malaya, yang membawa pulang hadiah utama wang tunai berjumlah RM15,000. Beliau juga memenangi anugerah video terbaik dengan hadiah bernilai RM2,000.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan