Hebatnya Politik Dato Seri Wan Azizah Ismail Pasca Pru14

Oleh Hayar Hassan

Meneliti berita-berita atas talian pada 10 Oktober 2018 lalu, saya begitu cukup teruja apabila membaca sebuah tajuk berita yang berkisar dengan lawatan resmi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail(DSWAWI) ke Republik Indonesia. Sewaktu berucap kepada sekitar 200 orang warga Malaysia di Dewan Kedutaan Malaysia, Jakarta, DSWAWI untuk pertama kalinya secara terbuka telah mendedahkan bahawa beliau telah ditawarkan oleh Yang di-Pertuan Agung untuk menjawat jawatan keramat Perdana Menteri Ke 7 seusai PRU 14.

Menurut cerita-cerita yang berlegar dalam media maya, pada pagi 10 Mei 2018, sehari selepas PRU 14, pemimpin-pemimpin utama parti-parti dalam Pakatan Harapan(PH) telah dipanggil mengadap di Istana Negara. Presiden PKR, DSWAWI, Presiden Amanah Tuan Haji Mohamad Sabu, Presiden PPBM(Bersatu) Tan Sri Mahyuddin Yassin dan Setiausaha Agung DAP, Tuan Lim Guan Eng dipanggil mengadap seorang demi seorang secara empat mata untuk mendengar titah daripada Yang di-Pertuan Agung berkisar kepada perlantikan Perdana Menteri Malaysia ke 7.

Dalam pertemuan empat mata itu, dikhabarkan Yang di-Pertuan Agung, Sultan Muhammad Ke V bertitah bahawa DSWAWI atas sifatnya sebagai Presiden PKR ditawarkan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 7, bersesuaian dengan besarnya jumlah kerusi Parlimen yang telah dimenangi oleh Pakatan Harapan(PH) yang secara kebetulan pula bertanding dengan menggunakan lambang simbol PKR !

Kita tidak tahu sama ada DSWAWI sudah bersedia menerima soalan berkenaan atau pun tawaran tersebut merupakan suatu yang diluar jangkaan kepada beliau. Secara adat kebiasaan, apabila menerima soalan atau pun tawaran daripada Yang di-Pertuan Agung, sewajarnya lah DSWAWI memberikan jawapannya pada waktu itu juga, tanpa memohon waktu untuk diadakan perundingan dengan ahli keluarga. Untuk DSWAWI berunding dengan suami tentu lah suatu yang sukar kerana pada waktu itu Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) masih lagi berstatus sebagai seorang banduan. Cuma yang dipunyai oleh DSWAWI adalah satu persetujuan Majlis Presiden PH berkaitan jawatan Perdana Menteri ke 7.

Kita telah dimaklumkan bahawa sebelum PRU 14, Majlis Presiden PH telah membuat ketetapan dan persetujuan bersama secara konsensus bahawa seandainya PH menang dalam PRU 14, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjawat jawatan Perdana Menteri Ke 7 dan DSWAWI akan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Kita tidak dapat membayangkan apa yang ada di dalam benak fikiran DSWAWI ketika diajukan soalan tersebut. Beliau mempunyai dua pilihan sahaja. Menerima tawaran tersebut atau menolaknya.

Menerima tawaran tersebut adalah suatu yang mudah kerana beliau akan dilihat akur kepada titah Yang di-Pertuan Agung. Menolak tawaran tersebut boleh membawa erti engkar kepada titah Yang di-Pertuan Agung.

Namun begitu lah hebatnya sosok yang bernama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, beliau tentunya dengan secara hormat dan penuh takzim menolak tawaran tersebut dan mungkin telah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agung bahawa PH telah menetapkan bahawa jawatan Perdana Menteri itu adalah untuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau akan menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Tegasnya DSWAWI tidak gelap mata dan tenggelam punca apabila memberikan jawapan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Saya tidak pasti kalau orang lain yang berada di posisi DSWAWI ketika itu, mungkin lain ceritanya. Mungkin dengan segera akan menerima tawaran tersebut dengan alasan bahawa ianya adalah atas titah Yang di-Pertuan Agung.

Walau pun DSWAWI seorang wanita yang dikatakan tidak punya karisma seperti suaminya DSAI, tidak petah berpidato dan kurang pengalaman berpolitik, beliau mempunyai suatu sifat yang amat terpuji. DSWAWI dalam apa keadaan pun tetap berpegang kepada persetujuan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH. Jawatan Perdana Menteri ke 7 adalah untuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan DSWAWI itu telah menyelamatkan PH dan memungkinkan proses penubuhan Kerajaan Malaysia Baru berjalan dengan lancar dan teratur.

Dalam dunia politik, memegang kepada janji bersama adalah kunci utama terhadap perpaduan dan kerjasama politik yang stabil. Petah berpidato dan cekap menjawab soalan-soalan pemberita bukanlah kriteria utama.

Apabila kita kukuh serta tabah mempertahankan perjanjian yang telah dipersetujui secara bersama, itulah buktinya bahawa kita juga seorang yang berkarisma. Syabas dan tahniah DSWAWI, YB adalah contoh politikus yang tidak mementingkan kepentingan peribadi. YB telah meletakkan kepentingan PH dan kehendak rakyat di hadapan. Semoga DSWAWI akan terus berjaya menabur bakti kepada rakyat Malaysia.










Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan