Edar Bible berlaku sejak dulu, kata pemimpin BERSATU


Pemimpin Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) menyifatkan perbuatan mengedar kitab Bible kepada pelajar Melayu di Pulau Pinang baru-baru ini sebagai tindakan provokatif.

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata perbuatan itu juga boleh menimbulkan ketegangan kaum memandangkan orang Melayu cukup sensitif terhadap usaha memurtadkan mereka daripada agama Islam.

"Itu yang komuniti bukan Muslim di negara ini perlu faham dan hati-hati apabila cuba berkongsi perihal kepercayaan mereka dengan Muslim di negara ini. Saya hanya menasihati dan memberitahu realiti sosio-budaya umum masyarakat Malaysia terutama di Semenanjung.

"Isu agama masih taboo dan sensitif terutama bagi kaum Melayu kerana definisi Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan pun mengikat mereka dengan agama Islam sahaja.

"Maka jika ada mana-mana pihak yang berharap untuk memurtadkan Melayu di negara ini, sanggupkah kalian menghadapi ketegangan kaum serta huru-hara mengenainya?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Muhammad Faiz berkata kes pengedaran kitab suci masyarakat Kristian di kalangan kaum Melayu itu berlaku sejak pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lagi.

Malah beliau juga menyatakan kes seumpama itu semakin banyak berpunca daripada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di era Najib.

"Aktiviti mengedar Bible kepada Melayu ini telah pun terjadi sebelum era Malaysia Baru lagi. Sila rujuk laporan-laporan akhbar sekitar tahun 2013-2014. Siapa pelakunya? NGO mana yang diwakili mereka? Kita pun kurang pasti kerana ada yang dedahkannya ke media sosial terlebih dahulu tetapi tidak diheret ke balai polis.

"Ia juga dijadikan modal politik perkauman oleh pihak tertentu untuk menanamkan rasa benci terhadap kelompok etnik tertentu di negara ini. Kes seperti ini makin muncul setelah tiadanya ISA. Di zaman siapa ISA dimansuhkan?" soalnya.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam seperti yang tular baru-baru ini.

Mujahid berkata, sejurus perkara berkenaan tersebar, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP); Jabatan Pendidikan negeri serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan.

Kata beliau, pihak yang berbuat demikian dipercayai wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun tidak mewakili gereja atau persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan