Hentikan sekolah aliran kaum sebelum ratifikasi ICERD, saran Pemuda AMANAH


Oleh Arif Atan

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan berpendapat isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu ditangani secara rasional termasuk menghentikan sekolah aliran berasaskan kaum terlebih dahulu.

Menurutnya, pendekatan jangka panjang bagi memupuk perpaduan itu membuka ruang lebih luas untuk meningkatkan interaksi antara anak-anak Malaysia dan saling memahami serta menghormati tanpa mengira warna kulit dan keturunan.

Mengulas kenyataan Adun Tras, Chow Yu Hui dan Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong pada 9 dan 11 November lalu berhubung desakan supaya DAP menyokong ratifikasi ICERD, beliau berkata, pelaksanaan sekolah satu aliran dalam pendidikan kebangsaan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum meratifikasi konvensyen itu.
“Kesediaan untuk meninggalkan warisan kolonial dan politik komunal BN dengan menukar status sekolah beracuan kaum kepada Sekolah Kebangsaan (SK) contohnya adalah selari dengan semangat Malaysia Baharu dan hasrat untuk menghapuskan ‘politik berasaskan prinsip perkauman’ pada masa akan datang seperti yang turut ditekankan Chow Yu Hui.

“Langkah memastikan anak-anak Malaysia bersekolah di bawah satu bumbung itu akan dilihat oleh rakyat sebagai satu keputusan yang lebih jujur dalam melihat lahirnya rasa kebersamaan atas semangat bangsa Malaysia bukan lagi didorong perkauman sempit selepas ini,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sany yang juga Adun Taman Templer, Selangor berkata, pihaknya memandang serius polemik berlanjutan berkaitan ratifikasi ICERD yang dibimbangi akan tergelincir menyemarakkan sentimen rasisme.

Beliau menyifatkan kenyataan Yu Hui dan Yoke Kong yang menegaskan tidak perlunya label ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ dengan mengaitkan Deklarasi Setapak 1967 adalah bercanggah dengan semangat Deklarasi Shah Alam 2012 yang berjaya menampilkan citra DAP sebagai parti tidak cauvinis seperti yang ditohmahkan.

“Pemuda AMANAH turut ingin mengingatkan Muafakat PH pada 6 Januari lalu yang antara lain berikrar melaksanakan janji menjunjung unsur tradisi identiti negara iaitu prinsip-prinsip utama Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak setiap individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar DAP sebagai rakan komponen Pakatan Harapan (PH) bertenang terlebih dahulu bagi memberi ruang kepada kerajaan meneliti pelbagai aspek berkaitan ICERD melalui jawatankuasa teknikal sudah sedia ditubuhkan diketuai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Rakyat berbilang kaum yang telah memberi kepercayaan kepada PH sebagai parti pemerintah pasca PRU-14 sedang menantikan banyak lagi polisi dan perkara yang perlu disegerakan penyelesaiannya terutama berkaitan usaha menangani bebanan kos sara hidup dan jurang ekonomi dalam masyarakat.

“Polemik berlanjutan berkaitan ICERD bukan sekadar memberi peluru kepada musuh politik PH sebagai parti pemerintah yang baharu berusia enam bulan diberi mandat bahkan dibimbangi menebalkan kembali rasa prejudis antara kaum rakyat yang di luar politik kepartian,” tegas Sany lagi.
https://denyutreformasi.blogspot.com/
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan