PM: Kena pinda perlembagaan, mustahil kerajaan boleh lulus ICERD

PORT MORESBY (Papua New Guinea), — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini hampir mustahil untuk dilakukan.

Perdana menteri menegaskan majoriti dua pertiga anggota parlimen diperlukan untuk melaksanakan perkara itu.

Ini, katanya, hampir mustahil berikutan komposisi semasa anggota Dewan Rakyat daripada kerajaan dan reaksi yang ditunjukkan berhubung perkara itu daripada pihak pembangkang serta anggota kerajaan.

"Hanya dengan sokongan daripada pembangkang yang akan membolehkan kita mencapai majoriti dua pertiga, malah anggota kerajaan sebelum ini pun mungkin tidak menyokongnya.

"Jadi, saya berpendapat adalah hampir mustahil bagi kami untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan (untuk meminda perlembagaan)," katanya.

Dr Mahathir bercakap kepada media Malaysia di akhir sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik  (APEC) 2018 di sini.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan bantahan berhubung ICERD, manakala parti pembangkang merancang untuk menganjurkan perhimpunan bersama bulan depan bagi menentang cadangan untuk meratifikasi konvensyen itu.

Dr Mahathir mengambil maklum bahawa ICERD adalah sensitif kepada kaum Melayu di Malaysia dan kerajaan tidak menolak pandangan yang disuarakan rakyat tentang perkara itu.

"Perkara ini sensitif kepada orang Melayu, kami memahaminya. Dalam ucapan di (perhimpunan agung) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, saya menyebut tentang kerumitan dalam pelaksanaan ICERD. Jadi, kami tidak menyatakan komitmen bahawa kami akan melakukannya,” katanya.

Semalam presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata orang Melayu beragama Islam akan "mengamuk" untuk membantah ikrar kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi ICERD.

Mengulas perkara itu, perdana menteri berkata: "Melainkan Zahid menimbulkan masalah, tidak akan timbul sebarang rusuhan (berhubung ICERD)." — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan