Pengakuan, tindakan Abdul Hadi tak seiring - Khalid

PUTRAJAYA : Pengakuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak menyokong UMNO semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dilihat tidak seiring dengan tindakan yang dilakukan oleh jentera parti miliknya semasa Hari Penamaan calon, kelmarin.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad, berkata beliau mendapat laporan bahawa UMNO dan PAS di Shah Alam mengadakan perbincangan untuk menggerakkan jentera bagi membantu calon di Semenyih.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tindakan itu seolah olah tidak mencerminkan apa yang didakwa oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO di Semenyih selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi.

“Apa yang (Abdul Hadi) janjikan, apa yang dikatakan saya pun tidak tahu (dengan lanjut), tapi pada dasarnya jentera PAS digerakkan untuk sokong calon UMNO. Ia bukan membabitkan (bilik gerakan) di Semenyih saja tetapi saya dapat laporan ia turut berlaku di Shah Alam.

“Jadi apa yang dikatakan oleh Presiden PAS itu sama ada ia adalah ‘bohong wajib’ atau tipu helah atau dia sendiri tidak akan turun sedangkan dia membenarkan ahli di peringkat bawahan untuk teruskan (berkempen), saya tidak tahu. Perkara ini perlu dapat penjelasan daripada beliau sendiri.

“Tapi PAS itu sendiri jelas kelihatan berperanan dalam kempen di Semenyih,” katanya kepada media selepas menghadiri Kenduri Rakyat dan Karnival Sukan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Kompleks Futsal Presint 18, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khalid turut mengucapkan tahniah kepada Unit Amal PAS yang menghulurkan pertolongan serta melindungi, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika diserang sekumpulan penyokong pembangkang selepas tamat penamaan calon PRK Semenyih, kelmarin.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya peristiwa yang membabitkan Menteri Belia dan Sukan itu. (Peristiwa) ini tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya kita. Saya minta pihak berkuasa untuk ambil tindakan tegas kerana perkara ini ternyata membenarkan budaya samseng berleluasa seterusnya bertapak di kalangan masyarakat dan parti politik.

“Tahniah pada Unit Amal PAS yang menghulurkan bantuan, ini memberi bukti jelas bahawa PAS di peringkat akar umbi dan UMNO di peringkat sama tidak bersatu,” katanya.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan akan menggerakkan jentera untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) semasa PRK Semenyih seperti yang dilakukan ketika PRK Parlimen Cameron Highlands sebelum ini.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata jentera UMNO dan PAS sudah dibina bersama dan semasa memperkenalkan calon, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan turut hadir.
Bagaimanapun, sehari sebelum Hari Penamaan Calon, Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Al-Bukhary.

Dr Mahathir berkata dalam pertemuan itu mereka berbincang mengenai soal politik dan PAS tidak akan menyokong pembangkang iaitu UMNO. Dalam pertemuan itu juga, Dr Mahathir mengesahkan Abdul Hadi turut membuat pengakuan secara bertulis dan ditandatangani.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan