Pemuda
AMANAH Nasional mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
juga MP Marang untuk mendedahkan identiti pemimpin Pakatan Harapan (PH)
yang kononnya mengakui bahawa AMANAH ditubuhkan sebagai alat DAP.
Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, Pemuda AMANAH Nasional percaya
bahawa tuduhan liar yang dibuat tanpa sebarang bukti ini hanyalah satu
lagi cubaan untuk mewujudkan persepsi jahat terhadap AMANAH yang semakin
mendapat tempat dalam kalangan rakyat yang mendambakan politik Islam
yang berkonsepkan rahmatan lil alamin.
“Pemuda AMANAH Nasional dengan tegas ingin mengulangi cabaran yang
dibuat oleh Timbalan Presiden AMANAH, YB Datuk Salahuddin Ayub terhadap
Presiden Pas untuk terus mendedahkan identiti pemimpin PH tersebut dan
tidak lagi berselindung di sebalik pelbagai alasan yang menunjukkan niat
jahat terhadap sesama Muslim.
“Pendedahan ini adalah wajar bagi membuktikan bahawa Presiden Pas
adalah seorang yang berintegriti dan tidak berpegang pada khabar angin
dan sangkaan jahat semata-mata.
“Adalah sangat dikesalkan apabila tuduhan ini yang masih gagal
dibuktikan turut dilafazkan oleh pemimpin tertinggi mereka sendiri yang
sewajarnya memilih untuk berpolitik secara matang dan sejahtera
sebagaimana yang dicanang-canangkan.
“Permainan persepsi jahat yang menjadi strategi ampuh Pas saban hari
adalah sangat bertentangan dengan konsep politik matang dan sejahtera
yang dibangga-banggakan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Ujar Mohd Sany, adalah sangat menghairankan apabila Pas lebih ghairah menyerang parti AMANAH tetapi begitu lunak bersama Umno.
Tambahnya, rakyat haruslah membuka mata bagaimana politik matang dan
sejahtera yang dilaungkan semasa pemerintahan Umno dahulu semakin jelas
hanyalah sekadar retorik semata-mata.
“Kepada Presiden Pas, sedarlah bahawa perbuatan mengadu domba ini
tidak akan membawa politik negara ke tahap yang lebih baik akan tetapi
ia akan dikenang oleh rakyat sebagai satu lagi episod dalam siri tuduhan
rambang tanpa asas oleh pimpinan Pas terhadap seteru politik.
“AMANAH sebagai salah satu parti komponen yang membentuk gabungan
Pakatan Harapan akan teguh bersama rakan-rakan komponen yang lain selagi
mana tidak bercanggah dengan prinsip agama serta kedaulatan
undang-undang,” kata Adun Taman Templer itu.
Media baru-baru ini melaporkan bahawa Presiden Pas itu berkata
terdapat pemimpin PH tertentu mendakwa bahawa AMANAH ditubuhkan sebagai
alat DAP.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan