‘Perkahwinan’ UMNO-PAS: Titik hitam aspirasi penyokong PAS

Dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ke Semenyih, dengan tirai pesta demokrasi bakal dibuka lagi bagi kerusi DUN Rantau di Negeri Sembilan. Apa-apa pun, kita menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Ramli Mohd Nor dan Yang Berhormat Zakaria Hanafi. Semoga amanah rakyat ini akan dihargai dengan perkhidmatan yang bernas serta bermakna kepada rakyat.'

Namun, kita tidak boleh memisahkan sesuatu kemenangan daripada cara ia diperoleh. Lakaran sejarah yang murni ini malangnya dicapai melalui kaedah, strategi dan taktik yang indah khabar dari rupa. 

Dengan keberkesanan strategi dan kemenangan yang mereka nikmati di Cameron Highlands dan Semenyih ini, UMNO dan PAS seperti dijangka memuktamadkan ‘perkahwinan’ mereka. Modalnya, ‘penyatuan ummah’ yang kononnya tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini. 

Setelah berkuasa lebih 60 tahun, UMNO pernah berpeluang menyatukan ummah pada tahun 1973, pada waktu UMNO mengalami kehilangan kerusi Parlimen yang mendadak selepas peristiwa 13 Mei. Setelah UMNO selesai mempergunakan PAS, parti itu ditendang keluar dari penyatuan tersebut pada 1977. Kini, apabila UMNO berada di denyutan nadi terakhir atas kesilapan mereka mentadbir negara dengan rasuah dan penyelewengan, PAS datang membawa tali hayat baru. 

Tak usah kita bicara fitnah dan tuduhan liar yang tersurat mahupun tersirat yang dilempar terhadap DAP dan Pakatan HARAPAN yang tidak masuk akal.  Kesemua itu datang daripada keterdesakan untuk menang, demi melangkaui ancaman eksistensial dihadapi UMNO dan PAS. 

Adakah kebobrokan, ketirisan dan rasuah UMNO tidak lagi menjadi masalah kepada ahli PAS? 

Malahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengajak orang PAS melupakan dendam pada UMNO seolah-olah kezaliman yang ditanggung oleh ahli-ahli bawahan PAS beberapa dekad sudah terpadam sebegitu sahaja. Terbukti, UMNO-PAS ketandusan idea dalam menawarkan solusi mahupun wacana yang membina. Bukan saja mereka tidak mampu menyesuaikan diri dalam lanskap politik Malaysia Baru, malah mereka sanggup bersama dan mengekalkan politik fitnah, perkauman dan agama yang bersifat assobiyah dan takfiri.

Tidak lama dahulu, PAS hanya berani menyorok-nyorok dan berkhalwat tanpa mengaku kerjasama mereka dengan pemimpin UMNO yang kleptokrat, terpalit dengan rasuah dan merompak wang rakyat. Hari ini, mereka akhirnya memuktamadkan ‘perkahwinan’ mereka tanpa segan silu dan berpaling tadah dari idea perjuangan mereka yang anti rasuah dan penyelewengan.

Bagi pimpinan besar dari PAS dan UMNO yang kebelakangan ini bagai hempedu lekat di hati, bagai kuku dengan isi, mereka kini gembira ‘berkahwin semula’ atas nama ‘penyatuan ummah’. Bagi mereka dari akar umbi PAS yang masih berpegang kepada perjuangan asal pula, langkah ini jijik bagai melepaskan anjing yang tersepit. Penyertaan PAS ke dalam Kerajaan Perikatan Campuran dahulu dibahas dan diundi oleh ahli-ahli PAS, namun pada hari ini ‘perkahwinan’ ini hanya diselesaikan melalui keputusan pimpinan pusat.

Tarian di antara pemimpin PAS dan UMNO amat memedihkan mata dan menyakitkan hati penyokong perjuangan asal PAS. Perkahwinan dan ikatan kepimpinan UMNO dan PAS hari ini adalah suatu fitnah dan pengkhianatan yang menjijikkan hati dan menyedihkan ramai ahli akar umbi PAS yang masih setia kepada perjuangan asal parti. Atas nama penyatuan ummah ini, PAS dan UMNO menuduh parti pilihan rakyat sebagai rasis dan cauvanis, dengan melontarkan penipuan dan fitnah. Hakikatnya merekalah yang rasis dan cauvanis serta menipu rakyat melalui siri kerjasama-kerjasama di belakang tabir sebelum ini.

UMNO dan PAS kini secara terang-terangan sanggup menggunakan helah dan penipuan demi mendapatkan kuasa politik. Ketika hangat perbahasan mengenai isu saman fitnah terhadap Clare Rewcastle Brown di UK, tiba-tiba PAS menarik balik saman tersebut. 

Helah mereka terbongkar dengan bukti jelas pembayaran kepada peguam Clare Rewcastle Brown yang sehingga hari ini masih dinafikan oleh pimpinan PAS. Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak pula sebelum ini tanpa segan silu menuduh DAP menerima dana asing tanpa sebarang bukti. 

Dalam pada itu, PAS dan UMNO turut menggunakan penyebaran berita palsu sebagai taktik untuk cuba menjejaskan kestabilan kerajaan Pakatan HARAPAN Perak seperti khabar angin bahawa Barisan Nasional telah berjaya mendapat majoriti dalam Dewan Negeri dan telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak. DNA helah dan penipuan seperti sudah sebati di dalam jiwa mereka. 

Ketua Pemuda PAS Negeri Perak pula kini bernada menghalalkan rampasan kuasa seperti yang pernah menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2009. PAS yang sebelum ini berada di dalam gabungan Pakatan Rakyat telah melalui fasa ‘rampasan kuasa’ secara haram oleh Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah di negeri Perak. Namun, tanpa segan silu mereka sanggup pula untuk bersama-sama dengan UMNO kembali demi survival kuasa politik mereka.

Apabila penyatuan ummah disebutkan sebagai sebab utama UMNO dan PAS berkahwin hari ini, adakah ahli-ahli akar umbi PAS sedia terima penyatuan tersebut didirikan dibawah payung penipuan, perompakan, penyamunan rakyat dan kleptokrasi yang sinomin dengan UMNO? 

Apa yang kita saksikan pada hari ini adalah permulaan kepada satu titik hitam kepada aspirasi penyokong PAS yang masih jujur dan ikhlas menentang kezaliman terhadap rakyat dan rasuah dalam kalangan pimpinan UMNO yang ini dimuktamadkan sebagai ‘pasangan’ baru kepada PAS. 

*Howard Lee adalah Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Adun Pasir Pinji merangkap Exco Belia, Sukan & Pembangunan Modal Insan Negeri Perak
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan