Tun Daim Zainuddin mempersoalkan sama ada wakil khas bekas perdana
menteri, yang bertindak secara sendirian telah terlibat dalam
perbincangan dan rundingan terus bagi kontrak Laluan Rel Pantai Timur
(ECRL) yang lama.
"Adakah wakil peribadi bekas PM atau adakah wakil rasmi Kerajaan, seperti yang sepatutnya dalam kes ini," katanya.
Daim
bertanya sama ada wakil peribadi berunding secara terus dengan China
dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), menyebabkan
perjanjian ECRL yang lama ditandatangani pada kos amat tinggi dan tanpa
ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat.
"Adakah ia disediakan
oleh EPU seperti sepatutnya dalam kes ini, atau adakah EPU hanya
diarahkan untuk menerima kertas cadangan yang disediakan oleh agensi
lain?” soalnya.
Daim, yang juga duta khas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad ke China untuk merundingkan semula kontrak ECRL yang
lama, membangkitkan persoalan ini sebagai respons kepada Datuk Seri
Najib Tun Razak yang jelas amat aktif di laman sosial dalam
mempertahankan perjanjian yang ditandatangani oleh pentadbirannya.
Bekas
perdana menteri telah "mengabaikan nasihat baik" daripada agensi
kerajaannya sendiri -- iaitu EPU -- dengan mempertaruhkan rakyat dalam
mendesak bagi projek ECRL yang lama pada kos amat tinggi iaitu RM65.5
bilion, kata Daim dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
"Apakah
EPU tidak menyatakan dengan jelas bantahan dan kebimbangannya berhubung
kertas yang dibentangkan kepada Kabinet, dan kenapa bantahan dan
kebimbangan berkenaan diabaikan -- mungkin bekas perdana menteri dan
menteri bertanggungjawab ke atas EPU dapat memberi pencerahan kepada
kita.
"Bekas PM berkata beliau ada 'keraguan' mengenai perjanjian ECRL yang baharu.
"Saya
ingin mengingatkan beliau bahawa seluruh Malaysia mempunyai lebih
banyak “keraguan” mengenai perjanjian ECRL yang lama – konsepnya yang
kabur, kurang ketelusan, kurang integriti, kelulusan tergesa-gesa,
butiran tidak jelas, kos amat tinggi, tiada akuantabiliti kepada rakyat,
lain-lain lagi," katanya.
Daim berkata terdapat beberapa cubaan
untuk menjustifikasikan perjanjian ECRL yang lama sepertimana yang
dicadangkan oleh kajian McKinsey yang dibentangkan kepada Majlis Ekonomi
pada 2015 dan 2016.
"Saya telah dimaklumkan oleh pihak yang boleh
dipercayai bahawa kajian yang mencadangkan jajaran ECRL dari Tumpat ke
Gombak dan projek itu akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 18
tahun dengan kos RM47 bilion.
"Ini sudah tentu membabitkan
pulangan ekonomi yang rendah dan oleh itu laporan mencadangkan fasa 1
adalah dari Mentakab ke Dungun dan dibina untuk trafik penghantaran
sahaja.
"Namun, kita semua tahu apa yang berlaku. Bekas PM
sebaliknya menandatangani perjanjian ECRL dengan kos RM66.7 bilion dan
memutuskan untuk melaksanakannya sekali gus,” katanya.
Lagipun,
dalam dapatan dan cadangan bagi kajian pasaran ECRL yang dilaksanakan
oleh SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) pada Jun 2016, responden
telah meminta tempoh 24 bulan untuk menyediakan hujahan bidaan,
katanya.
“Namun, kerajaan BN memilih untuk memberikan projek itu
dalam masa hanya dua bulan kemudiannya pada Ogos 2016 menerusi pemberian
terus (dan) ini juga disebalik minat yang ditunjukkan beberapa pembida
lain.
"Kenapakan Menteri Kewangan ketika itu – yang juga merupakan
bekas PM – bersetuju kepada bayaran pendahuluan 15 peratus kepada CCCC
untuk projek ECRL kerana ini tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan
kerajaan sentiasa menetapkan bayaran pendahuluan sebanyak 5-10 peratus,
yang biasanya dihadkan kepada kontrak melibatkan penyediaan bekalan.
"Malah
syarikat-syarikat Bumiputera tidak diberikan keistimewaan seumpama itu.
Kenapa tergesa-gesa di pihak bekas PM untuk membayar lebih RM10 bilion
kepada CCCC?
"Kita perlu bertanya kepada beliau apa motif beliau di sebalik semua perkara ini," katanya.
Daim,
selepas sembilan bulan berusaha keras, berjaya merundingkan semula
perjanjian tambahan bagi ECRL dengan harga dikurangkan agak banyak iaitu
RM44 bilion, kurang 32.8 peratus atau RM21.5 bilion berbanding harga
lama RM65.5 bilion.
Beliau berkata ada kemungkinan harga dapat
dikurangkan lagi pada perbincangan teknikal di masa depan antara pemilik
projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC.
Daim berkata: "Apa
yang kita ada sekarang dengan perjanjian ECRL yang baharu adalah ianya
telus, bertanggungjawab dan boleh dipercayai dengan semua fakta dan
angka disediakan untuk pengetahuan orang ramai.”
ECRL tidak lagi diselubungi rahsia, dipenuhi kontroversi atau diliputi elemen tidak perlu dan amat mahal, tegasnya.
"Ia
kini projek yang berfungsi pada kadar lebih mampu untuk berkhidmat
kepada rakyat, yang kepentingan mereka menjadi keutamaan apabila
mengusahakan dan meluluskan sebarang inisiatif Kerajaan,”katanya.
Bagi
menjawab tuduhan bahawa perjanjian ECRL yang ditambah baik itu bukan
perkara besar sebenarnya, Daim berkata, "Saya mendapati tidak berbaloi
untuk berhujah dengan mereka yang tidak bercakap secara munasabah dan
sebaliknya lebih suka menyebarkan berita palsu, sepertimana yang
dilakukan bekas PM kebelakangan ini. Saya lebih suka mendengar pendapat
pakar dan berhujah secara logik."
- Bernama
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan