Oleh
PAKATAN Harapan (PH) seperti tidak belajar daripada kesilapan selepas
kalah tiga pilihan raya kecil (PRK) kata penganalisis, dan kini bakal
berdepan PRK yang keempat tahun ini.
PH diramal menang PRK Sandakan bulan depan kerana kerusi Parlimen itu merupakan kubu kuat DAP Sabah sejak dua penggal lalu.
Namun, tiga keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini membayangkan
trend yang seharusnya membimbangkan parti-parti kerajaan, kata mereka.
Penganalisis politik yang meneliti keputusan PRK Cameron Highlands,
Semenyih dan Rantau berkata PH masih kurang ampuh jentera pilihan
rayanya berbanding Barisan Nasional (BN).
Ia masih bergelut menyusun mesej yang berkesan untuk meraih undi,
terutama mengekalkan undi yang mereka dapat pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
PH, kata mereka, sebaliknya masih cenderung menyerang lawan –
strategi yang lebih cocok semasa mereka jadi pembangkang dan bukannya
sekarang apabila sudah menjadi kerajaan.
Aktivis PH yang berkempen di Rantau mengakui pandangan ini. Kata
mereka, pemimpin strategi parti masih menggunakan formula sama semasa
PRU14.
“Masalahnya strategi ini dah tak boleh pakai dalam PRK sebab kita dah
jadi kerajaan. Kita tak boleh hentam orang sahaja. Kita kena terangkan
apa kita dah buat dan apa kita nak buat,” kata aktivis PKR Selangor yang
hanya mahu dikenali sebagai Jamal, yang berkempen di Semenyih dan
Rantau.
Satu-satunya berita baik untuk PH ialah ia kalah di kawasan yang
merupakan kubu kuat BN, kata Kamarul Barhrin Zahid daripada badan
pemikir Institut Darul Ehsan (IDE).
“BN berjaya membawa keluar semua pengundinya dalam PRK ini. Ia dapat
kekalkan sokongannya pada tahap sama seperti yang ia terima dalam PRU14.
“Tetapi PH tak dapat lakukan benda yang sama dengan penyokongnya dan pengundi atas pagar yang sokong PH pada PRU14,” katanya.
Kubu BN
Peralihan sokongan yang terbesar daripada PH ke BN ternampak dalam
PRK Rantau. BN menokok sokongan di semua 14 pusat daerah mengundi antara
50 hingga 360 undi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal berkata trend
pengundi Melayu di Rantau menunjukkan sokongan kaum itu kepada PH masih
rapuh dan tidak konsisten.
“Faktor Anwar Ibrahim tidak berkesan apabila kempennya dilihat tidak
berupaya melonjakkan pengundi Melayu dan meyakinkan majoriti India untuk
keluar mengundi PH,” katanya, yang turut membuat tinjauan dalam
kalangan pengundi di semua PRK tahun ini.
Kamarul Baharin daripada IDE sebaliknya berpendapat peralihan undi
daripada PH kepada BN di Rantau minggu lalu lebih kerana faktor calon
Mohamad Hasan.
“Rantau memang kubu kuat keluarga Tok Mat (Mohamad). Sebelum beliau menang pada 2004, adiknya pegang kerusi itu pada PRU 1999.
“Rantau ini sama pada Tok Mat seperti Pekan kepada Najib Razak dan Permatang Pauh kepada Anwar,” katanya.
Di Cameron Highlands dan Semenyih, peralihan undi dari BN kepada PH
sangat kecil. BN menambah undinya daripada penyokong PAS setelah dua
parti itu menjalin kerjasama
.
Tidak ambil iktibar
Menurut Azlan, kelemahan PH nampak seperti berjangkit dlaam ketiga-tiga PRK baru-baru ini.
“Masalah internal PH tidak selesai dan pulih. Jentera PH masih lagi
dilihat terpisah dan tidak dikoordinasi sebagai sebuah pakatan antara
PKR, Bersatu, Amanah dan DAP.
“Mereka bergerak mengikut jentera parti masing-masing dan tiada penyelarasan yang tersusun,” katanya.
Walaupun PKR nampak dominan dalam kempen di Rantau, penglibatan
parti-parti lain – Bersatu, DAP dan Amanah – masih kurang, kata Azlan.
Sama seperti dua PRK sebelumnya, mesej kempen PH nampak hanya
menyerang rekod masa lampau BN dan bukannya menghebahkan apa yang
kerajaan buat.
“PH pula terlalu menumpukan isu-isu pra PRU14 dan tidak dilihat
sebagai sebuah parti kerajaan. Serangan terhadap peribadi Tok Mat pada
minggu terakhir ibarat senjata makan tuan,” katanya.
Jelas beliau, PH harus mula jaga daripada lena dan menunjukkan dengan
jelas bagaimana dasar-dasarnya mengubah hidup rakyat terutamanya dalam
isu ekonomi dan kos sara hidup.
“Keputusan PRK yang terakhir ini referendum terhadap PH,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan