ROMBAKAN barisan Exco kerajaan negeri Johor dijangka dimuktamadkan
menjelang akhir minggu ini, kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.
Beliau berkata penyusunan barisan Exco masih diperincikan lagi.
“Seperti yang saya cakap, saya akan memilih Exco yang saya selesa
bekerja dengan mereka…insya-Allah kita akan lihat nama-nama itu (senarai
baharu). Nanti saya umumkan…insya-Allah beberapa hari lagi sebelum
minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya status rombakan barisan Exco
kini serta sama ada akan terdapat pengguguran atau nama baharu dalam
senarai berkenaan.
Dr Sahruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit
Kepong itu turut mengesahkan tiada tambahan portfolio kepada 11
portfolio termasuk yang dipegang menteri besar kini.
Semalam, sebuah portal melaporkan barisan Exco kerajaan negeri Johor
yang baharu akan menyaksikan pengguguran dua Exco lama iaitu Pengerusi
Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Mazlan Bujang
dan Tan Hong Pin, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan
Teknologi.
Mazlan merupakan Adun Puteriwangsa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Tan merupakan Adun Skudai daripada DAP.
Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor ke-17 di
Istana Bukit Serene Ahad lepas menggantikan Osman Sapian yang meletak
jawatan 8 April lalu.
Sehari sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan
Iskandar ada menetapkan syarat supaya menteri besar Johor yang baharu
membuat rombakan kepada barisan Exco kerajaan negeri. – Bernama
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan