Oleh ABDUL HALIM A KARIM
Terdapat
beberapa pandangan atau tuduhan bahawa Ketua Setiausaha (KSU) pembuli
Menteri, Menteri tunduk kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan
KSU; PTD bersultankan Umno atau senada dengannya.
Mungkin benar mungkin tidak atau mungkin ada lompang pengetahuan atau
ilmu tentang peranan KSU/PTD atau pentadbir, justeru terhasil persepsi
sedemikian. Ini adalah satu keadaan yang tidak menghairankan
memandangkan kedua-dua pihak KSU/PTD dan Menteri berkaitan sedang
melangkah ke dunia baru.
Malah pihak ketiga sebagai pemegang taruh yang terbesar iaitu
penyokong dan pendokong parti yang berkepentingan yang banyak merungut
tentang perkara ini.
Izinkan saya memberi sedikit pandangan. Pertamanya yang harus
difahami ialah segala sesuatu tentang pentadbiran sebuah organisasi
besar seperti Kementerian ditadbir oleh penjawat awam dengan kuasa
perundangan bertulis melalui akta dan peraturan yang termaktub dan
berkuatkuasa turun-temurun.
Pembahagian kuasa dan penurunan kuasa jelas termaktub. Pegawai awam
tidak mempunyai wewenang dan wibawa selain yang telah termaktub. Kuasa
Menteri juga jelas di bawah akta dan peraturan bertulis.
Jadi, Menteri perlu ambil masa untuk belajar dan memahami. Seperkara
lagi walau bertahun Menteri mengepalai sebuah Kementerian dia tidak
berupaya tahu setiap perkara yang berlaku dalam konteks pelaksanaan
tugas dan fungsi terperinci di bawah Kementeriannya yang punya berbelas
Bahagian dan berbelas Badan Berkanun di bawahnya.
Jadi, bila terdapat persoalan tentang perkara detail yang bukan dasar
utama maka Menteri nak tanya siapa? (Ini ulasan asas dan umum saja)
Perkara kedua ialah tentang KSU dan PTD. PTD atau Malayan Civil
Service (MCS) adalah legasi yang diwarisi daripada zaman sebelum
Merdeka. Beberapa kali sudah tukar nama.(sejarahnya panjang termasuk
cerita PTN bagi bekas Unfederated Malay State dan lain-lain)
Ringkasnya, tugas PTD adalah sebagai pentadbir dalam hal Dasar,
Kewangan, Perkhidmatan dan Perjawatan, Pembangunan dan Perkhidmatan Am.
Hal-ehwal pelaksanaan tugas profesional adalah di bawah jagaan Pegawai
Profesional berkaitan.
Contoh, Kem Pendidikan ada KSU dan Ketua Pengarah Pendidikan; Kem
Kesihatan ada KSU dan ada Ketua Pengarah Kesihatan. Kini kebanyakan
pangkat mereka adalah sama. Jadi jangan letak semua kepada KSU.
Pentadbir termasuk pegawai profesional yang mengelilingi Menteri.
Bertukarlah Menteri atau sesiapa pun yang berjawatan politik namun
peranan asas kementerian dan jabatan tidak berubah.
Apabila sesuatu dasar dan peraturan baru yang dibawa oleh Menteri
maka Pentadbir tidak boleh halang selagi tidak melanggar akta dan
peraturan. Malah, mereka wajib melaksanakannya dengan gigih.
Adakah bukti mana-mana Pentadbir melanggar arahan Menteri? Beranikah
Pentadbir melanggar arahan Menteri selagi Menteri tidak melanggar akta
dan peraturan?
Malah, pentadbir seharusnya menasihati dan menghalang jika Menteri melanggar.
Mungkin berlaku ada pentadbir bersekongkol melakukan pelanggaran dengan Menteri dalam pentadbiran kerajaan yang lepas.
Mungkin, tetapi menuduh pentadbir tidak bekerjasama dengan menteri
adalah berat. Namun tidak hairan jika ramai penyokong PH yg beranggapan
demikian kerana ini pertama kali parti bukan BN memerintah dan kurang
faham tentang peranan pentadbir.
Tulisan ini sekadar ikhtiar menjelaskan. Wallahu’alam
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan