Penggunaan
masjid dan surau dalam aktiviti yang jelas membawa mesej politik
kepartian adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku
Ketua Agama di negeri ini.
Malangnya, Pemuda AMANAH Perak mendapati sekurang-kurangnya empat
program yang jelas menggunakan nama parti telah dijalankan di masjid dan
surau sekitar negeri Perak.
Menurut Ketuanya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim antaranya adalah
program yang dianjurkan oleh Wanita Umno dan Muslimat PAS Lumut di
Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dan Masjid Al-Khairiah
Kg Banjar, Teluk Intan yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Malaysia.
Katanya, surau lain yang digunakan untuk menganjurkan program atas
nama parti adalah Surau Klebang Prima yang membawa kain rentang berlogo
parti Umno dan PAS di dalam masjid, dan Surau Al-Ittihad di Kampung
Temiang Ipoh yang membawa Timbalan Presiden PAS dalam program tersebut.
“Apa yang lebih menyedihkan adalah program-program tersebut
dijalankan dengan pengetahuan AJK Masjid dan tiada sebarang tindakan
dibuat bagi mengekang perkara tersebut,” katanya.
Jelas beliau, tindakan yang dibuat oleh kedua-dua parti ini tidak
menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa DYMM Tuanku
Sultan dan mencabar kredabiliti JAIPk dalam menguatkuasa peraturan sedia
ada.
“Kami menggesa supaya semua pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini
terutamanya JAIPk agar bertindak lebih profesional dan memantau setiap
aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau selaras dengan titah DYMM
Tuanku Sultan yang melarang Masjid dan surau dijadikan pentas permainan
politik,” jelas beliau dalam kenyataan.
Pemuda AMANAH Perak juga menggesa agar semua pihak terutamannya Umno
dan Pas menjalankan program parti di premis lain pada masa akan datang
dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan masjid dan surau di negeri ini
dengan berselindung di sebalik program keagamaan.
“Kami juga ingin menasihatkan kepada semua AJK Masjid dan surau yang
dilantik agar dapat bertindak tegas dalam perkara ini meskipun ada
sebahagiannya yang cenderung menyokong parti-parti tertentu tetapi usaha
memelihara kesucian masjid dan surau dari pengaruh politik kepartian
mestilah menjadi keutamaan,”katanya.
DYMM Sultan ketika menjadi Raja Muda Perak pernah menitahkannya pada
majlis sembah menghadap Orang Besar Jajahan Perak dan pegawai tadbir
agama daerah di Kompleks Islam di Ipoh antara lain menegaskan bahawa
masjid dan surau tidak wajar dijadikan pentas untuk permainan politik,
sebaliknya hendaklah menjadi instrumen perpaduan untuk menyatupadukan
ummah.
Perkara ini turut diberi peringatan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam
Perak (JAIPk) Dato Mohd Yusup Husin April lalu supaya
Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013
dipatuhi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan